Kisah berkenaan Sultan Perak pertama menjadi satu kisah yang harus dikenang oleh generasi pada hari ini kerana di sinilah bermulanya kedaulatan Negeri Perak yang diterajui oleh sultan sehingga ke hari ini.
Kandungan
Asal Usul Sultan Perak Pertama
Pada waktu Sultan Mahmud Shah memerintah negeri Melaka dari tahun 1488 hingga tahun 1511, negeri Kelantan turut berada di bawah naungan kerajaan Melaka.
Sultan Mahmud Shah telah beristerikan puteri kepada Sultan Kelantan yang bernama Puteri Onang Kening. Seorang daripada putera Sultan Mahmud dengan Puteri Kelantan itu bernama Raja Muzaffar yang diputerakan dalam tahun 1505.
Apabila negeri Melaka tumbang dikalahkan Portugis dalam tahun 1511, Sultan Mahmud Shah bersama-sama isteri, putera serta pengiring baginda telah berundur ke negeri Johor (Ulu Muar).
Kemudian ke negeri Pahang lalu ke Pulau Bentan (Riau) dan berkerajaan pula di sana. Sewaktu di Pulau Bentan, Raja Muzaffar telah dijadikan bakal sultan dan dikahwinkan dengan Tun Terang.
Tun Terang ini adalah anak tiri kepada Sultan Mahmud Shah iaitu anak kepada Tun Fatimah dengan suaminya yang pertama (Tun Ali Anak Tun Tahir Seri Nara Diraja Melaka).
Apabila Tun Fatimah menjadi isteri kepada Sultan Mahmud Shah (suami ke dua), kemudian berputerakan Raja Ali (Raja Kecil Besar) dan putera tersebut ditabalkan menjadi bakal sultan dan dijadikan Sultan Muda bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II mengambil tempat abang sebapanya itu iaitu Raja Muzaffar.
Bentan telah dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1526. Sultan Mahmud Shah kemudian berundur ke negeri Kampar di Sumatera. Apabila baginda mangkat di Kampar lebih kurang pada tahun 1528, Raja Ali telah menggantikan baginda.
Memulakan Perjalanan ke Negeri Perak
Raja Muzaffar Shah bersama isteri dan putera baginda yang bernama Raja Mansur kemudian berangkat meninggalkan Kampar dan kemudian singgah di Kelang lalu ke negeri Perak.
Baginda Raja Muzaffar telah diangkat oleh orang Perak menjadi Sultan Perak yang pertama. Dalam pada masa yang sama, adinda baginda iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah II yang berada di Kampar berangkat ke negeri Pahang dan kemudian membuka negeri serta berkerajaan di negeri Johor.
Begitulah kisahnya tentang Sultan Perak yang pertama sepertimana yang tersebut dalam Sejarah Melayu. Namun begitu, lain pula ceritanya mengikut riwayat Raja Perak.
Dalam pada masa Sultan Mahmud Shah bersemayam di Kampar, negeri Perak masih lagi belum bersultan. Orang di negeri Perak kemudian telah menghantar wakil mereka iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kasim ke Kampar untuk menghadap Sultan Mahmud.
Putera Sultan Melaka Menjadi Sultan Perak
Tujuan wakil dari negeri Perak masuk menghadap Sultan Mahmud adalah untuk memohon perkenan baginda Sultan Mahmud supaya salah seorang putera baginda dapat dijadikan sultan di negeri Perak.
Oleh kerana negeri Perak yang asalnya Kerajaan Beruas dan Kerajaan Manjong berada di bawah takluk kerajaan negeri Melaka sejak Sultan Mahmud Shah berkerajaan di negeri Melaka lagi.
Sultan Mahmud Shah kemudian perkenan dengan permintaan wakil-wakil dari negeri Perak lalu putera baginda yang bernama Raja Muzaffar telah dititahkan untuk pergi ke negeri Perak bersama-sama dengan beberapa alat kebesaran untuk menjadi sultan.
Dari Kampar, Raja Muzaffar kemudian ke Kelang untuk menziarahi keluarga. Dari Kelang dengan panduan Nakhoda Tumi yang berasal dari Manjong, Raja Muzaffar kemudian meneruskan perjalanan ke negeri Perak.
Kedatangan Sultan Perak Pertama
Kedatangan Raja Muzaffar ke negeri Perak disambut baik di Beting Beras Basah lalu dibawa mudik melalui sungai Perak untuk masuk ke dalam negeri Perak.
Raja Muzaffar kemudian ditabalkan menjadi Sultan Perak pertama dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah di Tanah Abang (Air Mati) yang terletak dalam kawasan Lambor Kanan.
Dalam Sejarah Melayu ada menyatakan bahawa Sultan Muzaffar Shah telah menjemput Tun Mahmud (Seri Agar Raja) anak kepada Paduka Tuan (Tun Isap Berakah) dari Selangor untuk datang ke negeri Perak.
Bendahara kepada Sultan Perak Pertama
Tun Mahmud kemudian telah dijadikan sebagai bendahara di negeri Perak yang pertama. Tidak lama kemudian, Tun Mahmud telah dipanggil oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang berkerajaan di negeri Johor.
Mengikut riwayat raja Perak, tidak lama setelah Sultan Muzaffar Shah bertakhta di negeri Perak, kemudian mula timbul perselisihan faham antara baginda dengan Tun Saban.
Hal ini dikatakan kerana Tun Saban tidak mahu memberikan anak perempuannya yang bernama Tun Merah untuk dijadikan isteri kepada Sultan Muzaffar Shah. Sultan Perak kemudian menitahkan kepada orang suruhannya untuk mengambil Tun Merah dibawah ke istana sehinggalah tercetusnya peperangan.
Peperangan tersebut tercetus antara pengikut Sultan Perak dengan pengikut Tun Saban. Sultan Muzaffar Shah kemudian telah menawarkan pangkat bendahara kerajaan negeri Perak kepada sesiapa sahaja yang dapat membunuh Tun Saban.
Seorang yang berasal dari kerabat diraja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang bersama-sama datang ke negeri Perak dengan Sultan Muzaffar Shah dari Kampar iaitu Megat Terawis telah menyahut seruan Sultan Muzaffar Shah.
Dalam tempoh peperangan tersebut, akhirnya Megat Terawis telah berjaya membunuh Tun Saban dan kemudian Sultan Muzaffar Shah telah mengangkat Megat Terawis menjadi bendahara Perak dengan menggantikan Tun Mahmud yang sudah ke negeri Johor.
Sejak itu, jawatan bendahara negeri Perak telah disandang oleh keturunan Megat Terawis sehinggalah ianya berakhir pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15).
Sewaktu zaman Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15), bendahara Megat Abu Kasim telah melepaskan jawatannya sebagai bendahara dengan menyerahkan bawar atau baur lambang jawatan kepada Sultan Perak. Kisahnya adalah disebabkan kerana perasaan tidak puas hati dengan keadaan istana yang telah dibangunkan di Pulau Indera Sakti.
Setelah Tun Saban meninggal dunia, seluruh negeri Perak kemudian diserah ke bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah yang mana pusat pemerintahan baginda adalah di Tanah Abang.
Tempoh Pemerintahan Sultan Perak Pertama
Sultan Muzaffar Shah I mula memerintah negeri Perak dalam tahun 1528 sehingga tahun 1549 apabila mangkat setelah 21 tahun memerintah negeri Perak.
Baginda telah dimakamkan di Tanah Abang dan disebut sebagai Marhum Tanah Abang. Perkataan abang ini asalnya dimaksudkan sebagai merah dan bukannya kanda lantas kawasan tersebut asasnya kini difahami sebagai Tanah Merah.
Rujukan:
- Sejarah Perak, Buyong Adil (m/s 6 – 9)