25 C
Ipoh
Saturday, 5 October 2024

Cerita Rakyat Buluh Apa Di Tanah Abang, Pusat Pentadbiran Pertama Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Negeri Perak terdapat banyak kisah-kisah lagenda yang menarik. Antaranya kisah Sang Kelembai, Pak Kadok, Sumpahan Ikan Tapah dan sebagainya.

Kali ini orangperak.com ingin menceritakan kembali kisah yang berkenaan dengan Tanah Abang. Tanah Abang merupakan pusat pemerintahan Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah.

Terdapat dua versi pengkisahan di Tanah Abang, namun kedua-duanya hampir serupa. Kedua-dua kisah berkenaan dua anak muda yang bertengkar akibat nama buluh yang berada di Tanah Abang tersebut.

Cerita Rakyat Buluh Apa Di Tanah Abang versi 1

“As the founder of Perak traveled up-river he said to have met a youth mourning over the body of his dead brother. The boy had been asking the name of a bamboo, the buloh apa or “which bamboo”

“What, brother, is the name of this bamboo?”

“Which bamboo.”

“This bamboo.”

“Which bamboo.”

And the younger slew the elder in a rage before he discovered that “which” was the name of the bamboo.

( Petikan dari Papers on Malay Subjects, By Richard James Wilkinson)

Rombongan Raja Muzaffar yang belayar dari Kampar telah sampai ke Sungai Perak mudik ke hulu seberapa jauh yang boleh hingga sampai ke satu tempat di atas tebing sungai di mana didapati atau dijumpai mayat seorang pemuda dengan pemuda yang lain sedang menangis disisinya dan di tempat itu tidak ada orang duduk di situ.

Setelah melihat keadaan itu, maka Raja Muzaffar serta pengiring-pengiringnya dan orang-orang yang bersama langsung singgah di situ dan Raja Mudzaffar Shah lalu bertanya kepada pemuda yang menagis bagaimana kejadian itu berlaku dan orang muda itu menceritakan lebih kurang seperti perenggan di bawah.

Mereka berdua adalah adik-beradik. Mereka mudik dengan sampan pada hari itu dan singgah di situ di mana mereka berjumpa dengan serumpun buluh yang adiknya tidak tahu nama buluh itu. Adiknya bertanya kepada Abang.

Adik : Apa nama buluh itu Abang?

Abang Menjawab : Buluh apa Adik.

Adik bertanya lagi : Buluh apa ini abang.

Abang menjawab : Buluh apalah adik.

Tidak juga mengerti adiknya, lalu ia bertanya lagi.

Adik bertanya : Buluh ini apa namanya abang.

Abang menjawab : Buluh apa adik.

Demikianlah mereka kedua adik-beradik bersoal-jawab dan diakhirnya adik memikirkan yang abangnya itu mengolok-olokkan adiknya lalu ia meradang atau marah yamg amat sangat serta ditikamnya abangnya terus mati.

Kebetulan pula Raja Mudzaffar Shah serta pengiring dan orang-orang ramai yang bersamanya sampai ke situ. Setelah itu Raja Mudzaffar lalu menerangkan yang pemuda itu telah membunuh abangnya dengan teraniaya dan dengan tidak cukup usul-periksa.

Tambahnya lagi maksud abangnya ialah nama buluh itu ialah Buluh Apa. Dengan itu pemuda itu terus pengsan dengan tidak sedarkan diri lagi oleh memikirkan perbuatannya yang kejam dan kehilangan saudara tuanya sendiri yang ia amat kasih dan tempat berharap. Mayat pemuda itupun terus dikuburkan di situ jua.

Cerita Rakyat Buluh Apa Di Tanah Abang versi 2

Pada zaman dahulu di Tanah Abang iaitu pusat pemerintah Perak Tua terdapat dua orang putera raja yang sama bentuk fizikalnya. Sama cantik, sama gagah, sama dari segi kesantunannya.

Cuma sifat mereka berdua ini sahaja yang membezakan mereka berdua. Si Abang lebih lembut, lebih penyayang dan manakala Si Adik agak sedikit kasar, pemanas dan juga agak gopoh di dalam tindakannya.

Seperti kebanyakannya permainan anak raja dulu-dulu, masa lapang mereka akan diisi dengan pemburuan di hutan, persilatan dan permainan senjata sebagai lambang dan status kegagahan seorang anak raja.

Pada suatu hari, kedua anak raja ini bermain senjata seolah-olah seperti pertempuran yang sebenar. Oleh kerana masing-masing terlalu gagah, tiada pihak yang menang atau kalah.

Di akhir sayembara itu mereka menggunakan buluh sebagai medium pertarungan. Buluh tersebut tersangat keras dan membahayakan sehinggakan si adik merasa amat berpuas hati dengan penggunaan buluh itu. Lantas ditanyakan kepada abangnya.

Adik : Cukup keras buluh ini ya Kanda. Apakah namanya buluh ini?

Abang : Buluh Apa, Dinda.

Adik : (Ketawa) Kanda memang suka bergurau. Adinda bertanya buluh apakah ini Kanda?

Abang : Buluh Apa, Dinda.

Adik : Kanda, Dinda bertanya ini. Kanda sebagai seorang bijak laksana tentu tahu akan nama buluh ini.

Abang : Buluh Apa, Dinda.

Akibat rasa seolah dipermainkan, sewaktu berangkat pulang ke istana, si adik menikam belakang abangnya sehingga mangkat. Puas sudah hati si adik kerana berjaya menghapuskan seorang abang yang suka mempermainkan adiknya.

Kepada ayahanda dan bonda serta menteri pembesar dikhabar, kematian abang disebabkan kemalangan sewaktu bersilat dan tiada niat tersembunyi di sebaliknya. Memikirkan sudah suratan takdir bahawa kematian itu tidak mungkin dapat mengembalikan mereka yang telah pergi, kesemua pihak pasrah dan redha kepada ketetapan ilahi.

Istiadat permakaman pun dilaksanakan dengan penuh kebesaran selayaknya seperti mana kemangkatan seorang raja yang berdaulat. Si Abang dimakamkan di Tanah Abang tidak jauh dari rumpun Buluh Apa yang bersejarah.

Selesai sahaja, istiadat permakaman itu, sewaktu perjalanan pulang, si adik merapati Datuk Bendahara yang budiman. Datuk Bendahara berjalan tunduk kesedihan berkabung atas kemangkatan putera yang sangat rapat dengan beliau.

Adik : Ayahanda Bendahara.

Bendahara : Patik, Tuanku.

Adik : Bolehlah beta bertanya suatu perkara?

Bendahara : Tanyalah Tuanku. Mana yang patik tahu, akan patik jawab. Mana yang patik tidak tahu, akan patik tanyakan kepada mana-mana jauhari yang mengetahui.

Adik : Tahukah Ayahanda Bendahara, apakah nama rumpun buluh yang tumbuh berhampiran dengan gelanggang persilatan milik beta dan juga kekanda itu. Rumpun yang sama yang tumbuh dekat dengan makam kekanda?

Bendahara : Oh, itu.. Nama buluh itu BULUH APA, Tuanku.

Apakala mendengar nama buluh itu, mengeletarlah seluruh badan putera itu. Rasa roh melayang meninggalkan jasad rasanya. Wajah putera itu pucat laksana kertas kertas yang putih. Melihatkan perubahan sikap putera itu, Datuk Bendahara seperti dapat menangkap maksud kejadian. Lantas Datuk Bendahara bermadah.

Bayu berpuput di Tanjung Jati
Orang belayar ke Inderagiri

Jangan diturut rasa di hati
Kelak jadi binasa diri

Kekabu diisi di dalam tilam
Untuk hiasi majlis kenduri

Usah ditangisi perkara silam
Tuan yang pergi tidakkan kembali

Sejak dari hari itu si adik menangisi pemergian abangnya di bawah rumpun Buluh Apa. Tidak lama sesudah itu si adik menghilangkan diri dari istana dan tidak diketahui di manakah jejaknya. Putera yang masih berusia 6 tahun terpaksa diisytiharkan seagai Putera Mahkota kerajaan negeri

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here