25.5 C
Ipoh
Wednesday, 15 January 2025

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

- Advertisement -
- Advertisement -

Setiap kali bulan kemerdekaan tiba, kita sering dihidangkan dengan tayangan filem-filem patriotik di siaran televisyen untuk penerapan semangat kemerdekaan dalam jiwa penonton-penonton.

Filem Bukit Kepong sudah pasti termasuk didalam senarai tayangan kemerdekaan setiap tahun. Dalam peristiwa tersebut, seramai 17 anggota polis telah terkorban dalam usaha untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dari ditawan oleh pihak komunis.

Sebelum kita menyentuh dengan lebih lanjut mengenai tajuk diatas, seeloknya kita mendalami sedikit peristiwa Bukit Kepong yang terus dikenang sehingga ke hari ini.

Pada jam 5.00 pagi 23 Februari 1950, seramai hampir 180 orang tentera komunis dari Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya memulakan kepungan dan kemudiannya menyerang Balai Polis Bukit Kepong, Johor dengan menggunakan senjata-senjata automatik.

Tembak-menembak berlaku dengan sengitnya, dan pihak pengganas komunis mengarahkan supaya anggota polis menyerah diri namun tidak diendahkan.

Serangan bertalu-talu berterusan sehingga hari mula cerah dan beberapa orang anggota di balai polis terbunuh. Sementara di berek kelamin pula anggota-anggota polis yang tidak bertugas terus bertempur sehingga seorang demi seorang gugur.

Dua orang isteri anggota marin polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Memandangkan kekuatan pertahanan balai polis, komunis mula menggunakan taktik kotor.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Pihak komunis telah menangkap salah seorang isteri anggota polis dan mengacukan pistol kepadanya serta memaksanya menyuruh anggota-anggota yang bertahan di balai polis supaya menyerah diri.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Anggota polis bagamainapun menyahut seruan itu dengan mengatakan bahawa mereka tidak akan menyerah diri dan akan terus berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Seorang lagi isteri anggota polis dan anak perempuannya dipaksa keluar dan menyerah diri tetapi mereka enggan dan mereka sanggup mati dan akhirnya kedua-dua mereka dibunuh.

Pengganas komunis kemudiannya membakar berek kelamin sehingga menyebabkan dua orang wanita dan kanak-kanak hangus dalam peringkat akhir pentempuran yang memakan masa 3 jam itu.

Hanya tiga anggota polis termasuk seorang pengawal kampong yang masih hidup dan mereka terpaksa berlari keluar kerana mereka tidak dapat menahan kepanasan akibat daripada bangunan balai polis yang terbakar.

Mereka merempuh kedudukan pengganas menyebabkan tiga orang komunis terbunuh. Namun hanya seorang sahaja berjaya menyeberangi sungai dengan rifle masih di tangannya.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Demikianlah sedikit mengenai kisah trajedi Bukit Kepong yang menjadi sejarah kekejaman pihak komunis sewaktu darurat yang pertama. Menarik mengenai peristiwa ini ialah serangan komunis ini dipimpin oleh seorang Melayu yang bernama Mat Indera.

Beliau juga merupakan pegawai komunis yang meniup ‘buggle’ untuk memberi isyarat serangan dimulakan atau dihentikan dalam pertempuran tersebut. Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera merupakan anak jati negeri Johor yang terbabit dalam gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan.

Seperti individu-individu lain yang berjuang atas platform masing-masing, mereka semua mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin membebaskan negara daripada terus dibelenggu penjajah.

Namun hakikatnya, Mat Indera terlibat dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad. Sayap pemuda PKMM juga dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam juga merupakan gerakan Haluan Kiri. Apabila pihak berkuasa British mula menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri.

Disebabkan itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada untuk berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, menyertai dengan gerakan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang melalui UMNO.

Pilihan Mat Indera untuk menyertai PKM serta gerakan militan berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Terpilih menjadi salah seorang daripada pemimpin Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM), Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Tragedi Bukit Kepong yang melihatkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita telah dijadikan bukti oleh pihak Inggeris sebagai menyokong dakwaan keganasan dan kekejaman.

Inggeris menetapkan tawaran hadiah sebanyak $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan. Mat Indera dikatakan kononnya mempunyai ilmu ghaib dan telah beberapa kali terlepas daripada tangkapan.

Kekejaman yang dilakukan oleh pihak komunis menyebabkan penduduk tempatan membenci gerakan tersebut dan menganggap orang-orang Melayu yang menyertai Parti Komunis Malaya sebagai pengkhianat.

Itulah yang berlaku sehingga menyebabkan tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan, Johor sendiri yang merancang bersama pihak polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Salah seorang pengikutnya yang dikenali sebagai Mat Tukyo telah ditangkap oleh pihak Inggeris dan dipaksa untuk membantu bagi menangkap Mat Indera. Mat Tukyo berunding dengan 2 orang kawannya yang lain yang dikenali sebagai Beladang dan Misban.

Pada malam 14 Oktober 1952, Mat Indera telah dijemput ke sebuah perjumpaan di Kampung Seri Medan, dan dihidangkan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dgn kecubung unggu, yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan dipukau jika meminumnya.

Mat Indera setelah diberi minum air kopi bercampur kecubung itu telah tidak sedarkan diri, maka pada ketika itulah Mat Tukyo mencabut segala tangkal yang ada pada Mat Indera.

Di katakan tangan Mat Indera diikat dengan lalang dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seri Medan. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan British sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk tidak dihukum mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera yang tidak mahu dibicarakan oleh British atas kesalahannya.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Dalam perbicaraan mengenai serangan komunis keatas Balai Polis Bukit Kepong, mahkamah telah memutuskan hukuman gantung sampai mati terhadap Mat Indera.

Muhammad Indera menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak. Pada keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jambu, Taiping.

Kedudukan kubur Mat Indera menjadi isu politik pada tahun 2013 apabila ada seorang pemimpin parti politik cuba mengangkat kembali Mat Indera sebagai tokoh pejuang kemerdekaan.

Kubur Mat Indera Pemimpin Rejimen ke 10 PKM Di Taiping

Isu ini kemudiannya menjadi bertambah kecoh apabila pemimpin tersebut menunjukkan sebuah kubur yang didakwa oleh penduduk tempatan bukannya milik Mat Indera.

Penduduk disekitar kawasan perkuburan Kampung Jambu serta beberapa orang pemimpin tempatan kemudiannya mengambil inisiatif mengadakan sidang media dan menunjukkan kubur sebenar Mat Indera serta berharap isu Mat Indera tidak terus dipolitikkan lagi.

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here