Pernahkah anda mendengar mengenai Kolam Air Panas Sungai Klah di Sungkai? Sempena Tahun Melawat Perak 2017, kali ini orangperak.com ingin menyentuh mengenai kolam air panas terkenal yang sememangnya menjadi antara tempat yang wajib dilawati di negeri Perak.
Dikelilingi oleh bukit-bukau serta anak sungai yang jernih dan juga dilindungi oleh ketenangan hutan subur menghijau dengan keluasan 6.5 hektar, Taman Rekreasi Air Panas Sg Klah yang terletak di Sungkai ini dibina dengan kos sebanyak RM6 juta dan dibuka pada Disember 2003.
Taman rekreasi ini dikatakan sebagai taman rekreasi air panas terbaik dari segi pengurusan di Malaysia.
Direka khas dengan konsep unik bagi air mengalir dari mata air panas ke Kolam Renang dan Taman terapi di kaki Banjaran Titiwangsa berketinggian 200 kaki di atas paras laut sememangnya kejuruteraan yang kreatif untuk menarik pengunjung yang menghargai keajaiban semulajadi.
Kawasan air panas semulajadi ini telah dibangunkan dan dimajukan menjadi salah satu tarikan pelancong yang utama di Perak. Pengunjung turut boleh menikmati pemandangan indah ladang kelapa sawit dan dusun durian, sambil bersantai di kawasan ini.
Keluarga yang melawat taman ini juga boleh mencuba tempat mandi yang tersedia di sini bersama- sama keluarga. Antara aktiviti harus dicuba ialah pengalaman merebus telur dalam air panas.
Bagi pengunjung yang berminat untuk merasai pengalaman urutan Melayu tempatan, pihak taman menawarkan pakej terbaik urutan tradisional yang boleh dimanfaatkan.
Untuk mengikuti aktiviti yang lebih mencabar, para pelawat boleh mengikuti cabaran menelusuri Sungai Sungkai atau berlari di trek sekitar taman rekreasi ini sambil menikmati alam semulajadi.
Berbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung termasuk bilik penginapan yang cantik dan selesa, kolam mandi yang luas serta restoran untuk menjamu selera.
Selain mandi di kolam air panas, Felda Residence Hot Springs turut menyediakan pusat spa dan kecantikan, perkhidmatan urutan serta sewa basikal kepada pengunjung.
Jika anda mencari tempat melancong yang unik bersama keluarga, pergilah ke taman rekreasi air panas ini dan anda semestinya akan mengalami pengalaman yang menarik dengan fasiliti yang disediakan disini Felda Residence Hot Springs yang terletak di Sungai Klah, Sungkai.