Syeikh Muhammad Saleh Al-Minankabawi (meninggal dunia di Kuala Lumpur, Malaysia, 12 Mac 1933) merupakan seorang ulama Minangkabau terkemuka. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Syeikh al-Islam atau Mufti Kerajaan Perak Darul Ridzuan yang ke-3. Dipercayai beliau menjawat jawatan tersebut dari 1 Januari 1925 hingga meninggal dunia pada tahun 1933.
Latar belakang ulama terkenal yang berasal dari Minangkabau ini terdapat beberapa persoalan yang menimbulkan kekeliruan. Terdapat dua nama mengenai bapanya, iaitu Abdullah dan Muhammad Thaiyib.
Ayahnya yang bernama Abdullah digunakan pada tiga buah karyanya. Manakala nama Muhammad Thaiyib pula digunakan sewaktu beliau menjadi Syeikh al-Islam Perak Darul Ridzuan.
Syeikh Muhammad Saleh dilahirkan di Kampung Tungkar, Luak Tanah Datar, Sumatera Barat. Salah seorang muridnya bernama Muhammad Saleh Mandahiling, penulis buku biografinya menyebut bahawa Syeikh Muhammad Saleh lahir pada tahun 1266 Hijrah.
Namun terdapat keraguan pada tahun yang didakwa tersebut, kerana beberapa fakta yang bertentangan dengan kisah hidup beliau. Syeikh Muhammad Saleh meninggal dunia pada 17 Zulkaedah 1351 Hijrah / 12 Mac 1933 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Di dalam buku anak muridnya itu diceritakan bahawa Syeikh Muhammad Saleh bersahabat dengan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (lahir 1276 Hijrah), Syeikh Mukhtar Jawa/Bogor (lahir 1278 Hijrah) dan Syeikh Nawawi Bantan (1230 Hijrah).
Berdasarkan perbandingan tahun kelahiran ulama-ulama yang dinyatakan dengan kelahiran Syeikh Muhammad Saleh (1266 Hijrah), terdapat kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Saleh bukanlah sahabat kepada Syeikh Nawawi Bantan tetapi beliau merupakan adalah muridnya.
Syeikh Muhammad Saleh berangkat ke Mekah pada umur 6 tahun dan memperoleh pendidikan agama dari bapanya, Syeikh Muhammad Thaiyib (atau Syeikh Abdullah), yang juga seorang Syeikh haji di Mekah. Beliau juga berkesempatan belajar dengan ulama-ulama besar Mekah yang terkenal, iaitu:
- Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan
- Syeikh Abu Bakar Syatha
- Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
- Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani
- Saiyid Umar Ba Junaid
- Saiyid Muhammad Said Babshai
- Saiyid Abdullah Zawawi.
- Pontoh Ular Lidi
Di dalam buku biografinya tidak disebut seorang pun gurunya yang berasal dari dunia Melayu secara jelas, tetapi turut menunjukkan Syeikh Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal di Mekah pada zaman itu.
Diceritakan dalam buku itu bahawa sewaktu Syeikh Muhammad Saleh mendalami ilmu falak bersama beberapa orang kawannya, kawan-kawannya hanya belajar empat kali saja kerana guru mereka itu terlalu garang.
Nama guru falak yang diceritakan dalam buku itu tidak dinyatakan. Syeikh Muhammad Saleh walaubagaimanapun berjaya menyelesaikan pelajarannya dari guru yang garang itu.
Setelah belajar selama 17 tahun di Mekah, Syeikh Muhammad Saleh pulang ke Minangkabau. Selama kira-kira empat tahun di Minangkabau digunakan untuk mengembara ke segenap pelosok wilayah itu, dan pada waktu-waktu tertentu beliau turut membantu gurunya, Syeikh Muhammad Jamil untuk mengajar agama. Pengembaraan di Minangkabau dimanfaatkannya untuk berdakwah dan mengajar melalui pembacaan kitab-kitab berbahasa Arab mahupun bahasa Melayu.
Sewaktu berada di Minangkabau, Syeikh Muhammad Saleh turut berkesempatan belajar ilmu persilatan dan beberapa jenis ilmu hikmat untuk mempertahanan diri yang sangat diperlukan pada zaman itu.
Diceritakan bahawa dalam ilmu persilatan, ia telah mencapai tahap seorang pendekar. Dalam ilmu perubatan pula, beliau dikatakan mampu pula mengubati beberapa jenis penyakit.
Syeikh Muhammad Saleh kemudian berangkat lagi ke Mekah kerana beliau merasakan ilmunya masih kurang dalam bidang-bidang tertentu, seperti ilmu falak, ilmu mantiq, ilmu tafsir dan lain-lain.
Setelah beberapa tahun belajar dan mengajar di Mekah, seorang sahabat yang juga anak muridnya, Engku Kudin, putera Raja Deli-Serdang mengajak beliau untuk menyebarkan Islam di kerajaan Sumatera Timur itu.
Selesai menunaikan haji tahun 1309 Hijrah / 1892 Masihi, Syeikh Muhammad Saleh bersama jemaah haji menaiki kapal dari Jeddah ke Pulau Pinang. Kemudian Syeikh Muhammad Saleh mengembara di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, bermula dari Pulau Pinang ke Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Johor. Kemana saja beliau pergi, pastinya terus mendapat sambutan bukan hanya rakyat jelata tetapi juga para Sultan setiap negeri tersebut.
Dari pergaulan dengan Sultan-Sultan Melayu, Syeikh Muhammad Saleh berkesimpulan bahawa Sultan Abdur Rahman Mu’azzam Syah, Sultan Riau-Lingga adalah sultan yang paling garang.
Baginda mementingkan keindahan pakaian dan perhiasan serta menyukai kelazatan makanan dan minuman. Sultan Abu Bakar, Sultan Johor adalah sultan yang cerdik, mengasihi rakyat dan mengutamakan kepentingan kerajaannya.
Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu pula bagi beliau merupakan sultan yang sangat dalam pengetahuan agama Islamnya dan sangat bertakwa kepada Allah.
Sebelum Syeikh Muhammad Saleh menjadi Syeikh al-Islam negeri Perak, beliau pernah memegang jawatan Hakim di kerajaan Riau-Lingga. Pelantikan beliau sebagai Hakim Riau-Lingga adalah atas kehendak Yam-Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi.
Antara sebab Syeikh Muhammad Saleh diminta oleh Yam-Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi menjadi Hakim Riau-Lingga adalah untuk menjaga kewibawaan putera baginda, Sultan Abdur Rahman Mu’azzam Syah, Sultan Riau-Lingga ketika itu.
Yam-Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi dalam beberapa tahun merasa gelisah kerana beberapa perkara di mahkamah banyak yang tidak dapat diselesaikan. Ada yang tertunda sehingga tiga tahun. Diatas kebijaksanaan dan amanah Syeikh Muhammad Saleh dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Syeikh Muhammad Saleh kemudian terpaksa berpindah dari Riau, Pulau Penyengat ke Pulau Lingga untuk menjalankan tugasnya sebagai Hakim. Sewaktu Syeikh Muhammad Saleh memegang jawatan Hakim Riau-Lingga itulah salah seorang Kerabat Diraja Perak bernama Engku Raja Mahmud atau digelar dengan Imam Paduka Tuan Negeri Perak mengenalinya.
Raja Mahmud mengagumi kebijaksanaan Syeikh Muhammad Saleh dalam menyelesaikan pelbagai isu, lagipula ulama yang berasal dari Minangkabau itu dapat menggabungkan pengetahuan yang bercorak duniawi dan ukhrawi. Raja Mahmud mencuba bermacam-macam cara untuk memujuk ulama itu supaya bekerja di negerinya di Perak Darul Ridzuan.
Raja Mahmud akhirnya berhasil mengajak Syeikh Muhammad Saleh berpindah ke Perak setelah dua tahun beliau bertugas sebagai Hakim di Riau-Lingga. Manakala Raja Mahmud sewaktu kembali ke Perak, beliau telah dilantik menjadi Kadi Besar Kerajaan Perak.
Syeikh Muhammad Saleh mulai mengajar pelbagai kitab-kitab Islam terutama kitab-kitab Melayu/Jawi di Kuala Kangsar pada tahun 1318 Hijrah / 1900 Masihi.
Sejak awal kedatangannya di Kuala Kangsar, beliau telah mendapat restu Sultan Idris, Sultan Perak Darul Ridzuan ketika itu. Selain mengajar kitab untuk pengajian orang tua, Syeikh Muhammad Saleh juga berjaya mendirikan Madrasah Al-Ihsaniyah yang merupakan madrasah moden pertama semenanjung Tanah Melayu di Teluk Anson.
Cita-cita Sultan Perak untuk melantik seorang Syeikh al-Islam bermula tahun 1922 Masihi, namun secara rasminya Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi dilantik memegang jawatan tersebut pada 6 Jamadil Akhir 1343 Hijrah / 1 Januari 1925 Masihi.
Antara koleksi karya atau kitab agama yang ditulis oleh beliau ialah Mawa’izhul Badi’ah, diselesaikan pada 24 Muharam 1335 Hijrah. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah pada 1344 Hijrah. Kandungannya merupakan nasihat dan akhlak yang diringkaskan dari Mawa’izhul Badi’ah karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.
Kitab Kasyful Asrar, diselesaikan pada hari Selasa, 27 Safar 1344 Hijrah. Cetakan yang pertama hingga cetakan yang ke-29 oleh Maktabah wa Mathba’ah Al-Ahmadiah, Singapura. Kandungannya membicarakan tentang tasawuf haqiqat atau tasawuf falsafi.
Karya ini pernah ditahqiq oleh Syeikh Haji Muhammad Wali al-Khalidi dengan judul Tanwirul Anwar fi Izhhari Khalal ma fi Kasyfil Asrar, diterbitkan oleh Al-Maktabatut Taufiqiyah, Jalan Perdagangan No. 4 Atas, Banda Aceh.
Kasyful Asrar juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul Menyingkap Rahasia Agama dan Tasawuf, diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islam, Surabaya.
Kemudian kitab Jalan Kematian, diselesaikan 14 Jumadil akhir 1344 Hijrah. Dicetak pada bahagian akhir Kasyfur Asrar oleh Maktabah wa Mathba’ah Al-Ahmadiah, Singapura.
Akhir sekali kitab Nashihatul Mubtadi. Cetakan yang pertama oleh Maktabah wa Mathba’ah Al-Ahmadiah, 1346 Hijriyrah / 1927 Masihi. Kandungannya mengandungi berbagai nasihat ke arah keteguhan pegangan dalam beragama Islam dan iman.
Anak murah beliau sangat ramai di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, di antaranya termasuklah Sultan Iskandar Syah, Sultan Perak. Syeikh Muhammad Saleh Mandahiling yang pernah menulis riwayat hidup beliau ialah anak murid yang lama berhubungan dengannya.
Buku tersebut diberi judul Izalatul Hairan fi Qshshah Syaikhil Islam Darir Ridhwan, judul dalam bahasa Melayu adalah Menghilangkan Kehairanan Pada Menyatakan Cerita Syeikhul Islam Perak Darul Redzuan.
Syeikh Muhamad Saleh Al Minangkabau meninggal dunia pada tahun 17 Zulkaedah 1351 Hijrah / 12 Mac 1933 masihi di Kuala Lumpur akibat kemalangan jalan raya dan dimakamkan di Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.