Taman Botani Perak ini terletak di Mukim Tupai, Daerah Larut dan Matang. Lokasi Taman Botani ini kira-kira 10 minit daripada Bandar Taiping iaitu di dalam kawasan rizab Taman Tasik Taiping.
Taman Botani Perak ini betul-betul berdekatan dengan tempat-tempat pelancongan yang popular di Taiping seperti Zoo Taiping, Bukit Larut, Tapak Perkuburan Perang, Kolam Renang Kemahkotaan dan lain-lain lagi.
Taman Botani Perak ini mempunyai kualiti visual yang amat menarik kerana kedudukannya yang berlatarbelakangkan pemandangan Bukit Larut dan Banjaran Bintang.
Kawasan ini juga merupakan bekas “tee-off’ padang golf yang wujud suatu ketika dahulu, turut menyumbang kepada keindahan alam semulajadi yang terdapat di situ.
Taman Botani ini akan dibangunkan secara berperingkat melalui 3 fasa mengikut pelan stategik perlaksanaan pembangunan mengikut jangkamasa yang telah ditetapkan.
Fasa 1 akan mengambil masa selama 3 tahun dan telah dimulakan sejak November 2016 yang lalu. Fasa 2 akan disiapkan dalam masa 4 tahun manakala fasa 3 akan diteruskan dalam tempoh 4 tahun juga.
Keistimewaan yang bakal menggamit pengunjung ke sini ialah Taman Botani Perak ini mempunyai 13 Laman yang yang menarik dan unik.
Untuk makluman pembaca orangperak.com, 13 Laman ini terdiri daripada Laman Perakensis, Laman Melayu Perak, Laman Endemik Zon Utara, Laman Ferneri, Laman Orkidarium, Laman Wetland, Laman Palmatum, Laman Bambusetum, Laman Zingerberium, Laman Ridwani, Laman Etno Botani, Laman Aroid dan Laman Buah-buahan Nadir.
Taman Botani Perak ini berkonsepkan Muzium Pokok daripada pelbagai spesies yang ada di negara ini, khususnya empat negeri di utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Laman Ridwani pula khusus untuk pohon-pohon unik daripada Timur Tengah.
Laman Perakensis pula bakal mengumpulkan spesis unik pokok-pokok yang telah dinamakan bersempena nama Negeri Perak. Terdapat laman yang menempatkan pelbagai jenis pokok-pokok yang mempunyai sejarah dengan nama-nama tempat di Perak dan juga negeri lain seperti Pokok Ipoh, Kamunting, Kulim dan sebagainya.
Apabila siap nanti, Taman Botani Perak ini akan menjadi pusat kajian dan penyelidikan, dan juga pusat pendidikan bagi pelajar sekolah, maktab serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Kepada pembaca orangperak.com, sama-sama kita nantikan Taman Botani Perak ini apabila ia siap nanti.