Home Blog Page 7

Kunjungan Hormat Orang Perak Keatas Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Yang Dipertua Maipk

Kunjungan Hormat Orang Perak Keatas Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Yang Dipertua Maipk

Pengurusan Laman Orang Perak pada 25 Julai 2025 telah mengadakan kunjungan hormat keatas YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak merangkap Ahli Dewan Negara Negeri Perak. Kunjungan ini diadakan bagi memperkenalkan aspirasi serta peranan platform tersebut dalam memartabatkan sejarah, warisan, dan kebudayaan negeri Perak.

Kunjungan ini juga bertujuan bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, khususnya dalam aspek berkaitan Institusi Diraja dan adat Melayu. Dalam pertemuan yang berlangsung penuh mesra itu, kedua-dua pihak berkongsi pandangan serta merancang inisiatif bersama bagi memelihara kelestarian budaya negeri Perak.

Pengurusan Laman Orang Perak turut menyampaikan penghargaan kepada YBhg. Tan Sri atas kesudian menerima kunjungan serta input bernas yang dikongsi berkenaan isu sejarah dan masyarakat.

“Semoga jalinan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha murni demi memartabatkan warisan Perak yang kita cintai,” ujar wakil Laman Orang Perak.

Diharapkan kolaborasi ini akan melahirkan lebih banyak program bermanfaat untuk rakyat Perak dan generasi akan datang.

Ali Imran Terpilih Wakil Malaysia di Youth Vision Assembly 2025 di Amsterdam

Ali Imran Terpilih Wakil Malaysia di Youth Vision Assembly 2025 di Amsterdam

Tahniah diucapkan kepada Ali Imran Bin Zaheruddin kerana terpilih mewakili Malaysia ke Youth Vision Assembly (YVA) 2025, sebuah forum kepimpinan belia global yang bakal berlangsung di Amsterdam, Belanda pada 19-22 September 2025 akan datang.

Anak kelahiran Teluk Intan ini merupakan mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Mahasiswa universiti tersebut. Beliau salah seorang daripada 100 peserta terpilih dari seluruh dunia yang berjaya meraih tajaan penuh ke program berprestij itu, yang dianjurkan oleh Centre for Diplomatic Advancement (CDA). Forum ini menghimpunkan pemimpin muda untuk membincangkan isu-isu global seperti perubahan iklim, pendidikan, ekonomi digital, dan hak asasi manusia.

Kami di Orang Perak sangat berbangga dengan pencapaian beliau kerana beliau juga merupakan sukarelawan Orang Perak sejak dari tahun 2018 lagi.

Profil Kepimpinan Ali Imran

Sebagai seorang aktivis belia yang aktif, Ali Imran memiliki rekod kepimpinan yang cemerlang, termasuk:

  • Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UMK) 2024/2025
  • Bendahari Kehormat MPP UMK 2023/2024
  • Ketua Exco Multimedia Jawatankuasa Pimpinan Kolej Kediaman UMK Kampus Jeli
  • Yang Dipertua Kelab Kokurikulum Explorimba 2024
  • Enumerator Projek Penyelidikan Petronas

Pencapaian & Penglibatan Global

Ali Imran bukan sahaja unggul dalam kepimpinan tempatan, malah aktif di peringkat antarabangsa. Antara penglibatannya termasuk:

Leadership Knowledge Mobility di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi (April 2024)
Program Mobiliti Antarabangsa di Tokyo, Jepun (Disember 2024)
Global Conference on Waqf, Technology & Business Economics 2024
Projek Pembangunan Orang Asli Pos Lanai bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)

Beliau juga pernah meraih juara Business Pitching Trailblazer Cup dan dianugerahkan Ikon Siswa atas sumbangannya dalam kepimpinan intelektual.

Harapan untuk YVA 2025

“Semoga pengalaman di Youth Vision Assembly ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membawa suara belia Malaysia, khususnya dalam isu pendidikan, ekonomi digital, dan kelestarian alam,” ujar Ali Imran.

Dengan rekod yang begitu gemilang, diharapkan kehadirannya di Amsterdam akan memberi impak positif bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada jaringan belia global.

Tahniah, Ali Imran! Semoga menjulang nama Malaysia di persada dunia!

Kerajaan Perak Kaji Tindakan Undang-undang Pada Penyebar Maklumat Palsu Isu Anjing Liar

Kerajaan Perak Kaji Tindakan Undang-undang Pada Penyebar Maklumat Palsu Isu Anjing Liar

Kerajaan Perak sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki menyebarkan maklumat salah berhubung isu anjing liar. Langkah ini diambil susulan reaksi orang ramai terhadap penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani masalah haiwan jalanan.

Isu ini tercetus setelah dua video tular di Facebook memaparkan puluhan anjing liar dalam sangkar di atas lori Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan bahawa anjing-anjing itu ditanam hidup-hidup. Namun, MBI menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua haiwan terlibat telah melalui proses suntik mati secara berperikemanusiaan.

Sandrea Ng Shy Ching

Program Perak Pawsitive Dilaksana, Namun Kekangan Masih Wujud

Exco Kerajaan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching, memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan program Perak Pawsitive bagi menangani isu haiwan jalanan.

“Lebih 300 anjing dan 250 kucing telah dimandulkan sejak program ini bermula tahun lepas. Namun, kita masih menghadapi kekangan seperti kapasiti kawasan impaun dan kesedaran pemilik yang rendah,” jelasnya.

740 Aduan Anjing Liar Diterima, Termasuk Kes Gigitan Maut

Menurut Pengarah Penguat Kuasa MBI, Ahmad Zaiyadi Sudin, sebanyak 740 aduan mengenai anjing liar dan 201 aduan terhadap anjing peliharaan telah direkodkan setakat 20 Julai.

“Aduan ini termasuk kes gigitan yang mengakibatkan kematian. Anjing yang ditangkap akan disimpan di pusat impaun selama tiga hari sebelum dibenarkan dituntut oleh orang awam,” katanya.

Kerajaan negeri terus berusaha meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh penguatkuasaan bagi menangani isu haiwan jalanan secara lebih berkesan.

– BERNAMA

Anak Imam Masjid Kampung Kuak Luar, Satu-Satunya Pelajar Malaysia dalam 10 Terbaik Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar

Anak Imam Masjid Kampung Kuak Luar, Satu-Satunya Pelajar Malaysia dalam 10 Terbaik Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar

Abu Bakar bin Kasimi, mahasiswa Tahun 3 Fakulti Usuluddin (Pengkhususan Aqidah dan Falsafah) Universiti Al-Azhar, Mesir, sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dengan mengekalkan keputusan Mumtaz (cemerlang) untuk tahun ketiga berturut-turut. Kejayaan ini diumumkan susulan keputusan peperiksaan sesi pengajian 2024/2025 oleh pihak universiti.

Anak kepada seorang pesara guru KAFA yang kini berkhidmat sebagai imam Masjid Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, ini merupakan penerima tajaan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) di bawah Skim Dermasiswa Luar Negara.

Yang lebih membanggakan, Abu Bakar merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang tersenarai dalam 10 pelajar terbaik Fakulti Usuluddin, mengatasi prestasi kira-kira 300 mahasiswa Tahun 3 di fakulti berkenaan.

“Semoga kecemerlangan yang ditunjukkan dapat diteruskan pada tahun akhir pengajiannya bagi sesi 2025/2026, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada para mahasiswa lain, khususnya anak-anak Perak,” harap MAIPk dalam kenyataan rasmi.

MAIPk turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat Perak Darul Ridzuan atas sokongan dan komitmen berterusan dalam membantu pelajar-pelajar tajaan seperti Abu Bakar dan rakan-rakannya di Mesir.

Kejayaan Abu Bakar bukan sahaja membanggakan keluarga dan negeri Perak, malah menjadi bukti bahawa pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang pengajian Islam.

MBI Nafi Dakwaan Anjing Terbiar Ditanam Hidup-Hidup

MBI Nafi Dakwaan Anjing Terbiar Ditanam Hidup-Hidup

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan dakwaan yang mendakwa anjing-anjing terbiar dikubur hidup-hidup di tempat kurungan binatang liar di Lahat, berikutan tularnya video-video di media sosial yang membuat tuduhan tersebut.

Menurut MBI, pengkebumian haiwan tersebut adalah sebahagian daripada prosedur pengurusan anjing terbiar dan dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, lapor Bernama.

“Haiwan-haiwan terlibat telah melalui proses ‘put-to-sleep’ (ditidurkan) secara berperikemanusiaan, berdasarkan kerangka undang-undang dan prosedur yang relevan,” jelas MBI.

MBI menegaskan bahawa proses euthanasia (pembunuhan berperikemanusiaan) dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, manakala pengkebumian hanya dilakukan setelah haiwan-haiwan tersebut disahkan mati.

Menurut pihak berkuasa tempatan, pengkebumian itu perlu bagi memastikan pelupusan bangkai dilakukan dengan selari dan mematuhi piawaian kesihatan awam.

“MBI kekal berkomitmen terhadap pengurusan anjing terbiar secara beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan prosedur yang ditetapkan oleh agensi berkaitan,” tambahnya.

Kelmarin, dua klip video pendek berdurasi 15 dan 13 saat tular di Facebook, memaparkan puluhan anjing terbiar di dalam sangkar di atas lori milik MBI.

– Free Malaysia Today

Perak Bebas Kes Baharu Demam Babi Afrika, Situasi Terkawal

Perak Bebas Kes Baharu Demam Babi Afrika, Situasi Terkawal

Kerajaan Perak mengesahkan tiada kes baharu wabak demam babi Afrika (ASF) dilaporkan sejak tahun 2024, dengan keadaan semasa berada dalam kawalan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan, menegaskan bahawa walaupun wabak itu sedang melanda negeri jiran Pulau Pinang, tiada sebarang rancangan untuk menutup ladang babi di Perak.

Kebimbangan Bekalan Protein

“Sebenarnya, jumlah penduduk yang makan daging khinzir untuk protein adalah lebih kurang 26 peratus di negara kita ini, dan kerajaan khuatir jika kita tidak dapat bekalkan daging khinzir ini, maka 26 peratus itu iaitu 8 juta penduduk akan balik kepada daging ayam khasnya dan ikan untuk protein,” jelasnya.

“Maka ini akan mengancam keadaan daging ayam dengan ikan di pasaran. Sekarang pun daging protein yang paling murah di pasaran adalah ayam. Kalau kita menghalang penjualan atau pengeluaran daging babi ini, situasi di pasar akan jadi lebih teruk,” tambahnya dalam sidang media di sini hari ini.

Sejarah Penularan ASF di Perak

Menurut Sivanesan, wabak ASF pertama kali dikesan di Perak pada 4 Disember 2021 melibatkan babi hutan, sebelum merebak ke ladang babi di Batang Padang pada 27 Mac 2022. Kes terakhir dilaporkan di Ladang Multi Agriculture, Tronoh pada 25 Oktober 2023.

Beliau memaklumkan bahawa seramai 18 ladang babi terjejas akibat ASF pada 2022 dan 2023, melibatkan 19,335 ekor babi. Daripada jumlah itu, 13 ladang telah beroperasi semula, manakala lima lagi ditutup secara kekal.

Perak Import Daging Khinzir Akibat Bekalan Terhad

Sivanesan turut mendedahkan bahawa Perak terpaksa mengimport daging khinzir dari luar negara ekoran bekalan yang berkurangan, sebahagiannya disebabkan oleh eksport ke negeri-negeri lain.

“Jadi apabila hantar kepada negeri-negeri lain, di sini berkurangan, dan itu yang berlaku di sini sekarang. Saya akan bertolak ke China esok pagi untuk lihat beberapa ladang di sana sebab kita dalam proses untuk penukaran kepada perladangan babi moden,” ujarnya.

Kes Batuk Kokol Menurun Drastik

Dalam perkembangan lain, Sivanesan memaklumkan bahawa hanya satu kes batuk kokol (pertusis) direkodkan di Perak tahun ini, melibatkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan.

“Ini merupakan penurunan sebanyak 96.6 peratus, iaitu sebanyak 29 kes pertusis telah dikesan di Perak pada tempoh sama tahun 2024. Kes ini merupakan bayi berumur dua bulan yang baru sahaja menerima satu dos vaksin DTP sebelum bergejala,” jelasnya.

Beliau menyeru ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka menerima pelalian lengkap pertusis mengikut jadual yang ditetapkan pada usia 2, 3, 5, dan 18 bulan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Dengan pengawasan rapi dan langkah proaktif kerajaan negeri, Perak berjaya mengekalkan kawalan terhadap wabak ASF sambil memastikan bekalan daging khinzir tidak terjejas teruk. Sementara itu, penurunan kes batuk kokol menunjukkan keberkesanan program imunisasi dalam melindungi kesihatan masyarakat.

– BERNAMA

Kerajaan Perak Desak Projek Pemindahan Air Sungai Perak – Tasik Bukit Merah Dipercepat

Kerajaan Perak Desak Projek Pemindahan Air Sungai Perak – Tasik Bukit Merah Dipercepat

Kerajaan Negeri Perak menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepat pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah bagi menangani masalah kekurangan air, terutamanya ketika musim kemarau.

Menteri Besar, Dato Seri Saarani Mohamad, menekankan bahawa projek ini amat kritikal bukan sahaja untuk keperluan pertanian, malah juga bagi menampung permintaan sektor perindustrian.

“Sebelum ini, permohonan kami untuk projek ini khusus bagi menyelesaikan masalah pengairan sawah padi di utara Perak. Namun kini, ia bukan sekadar untuk itu. Tujuan projek ini juga adalah untuk menyokong pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu, membolehkan kami membekalkan air bagi kegunaan KIGIP, penduduk utara Perak, dan lebihan boleh dijual ke Pulau Pinang,” jelas Saarani.

Projek tersebut dirancang bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk Kawasan Industri Getah Bersepadu (KIGIP) serta komuniti sekitarnya, di samping menangani cabaran pengairan bagi pesawah.

Azhar Hashim, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), baru-baru ini turut mendesak pelaksanaan segera projek ini bagi menjamin bekalan air untuk sektor pertanian.

Pembenihan Hujan Bergantung Pada Cuaca
Mengenai operasi pembenihan hujan, Saarani menjelaskan bahawa masa pelaksanaannya tertakluk kepada penilaian Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Buat masa ini, Jabatan Meteorologi menasihatkan bahawa ini bukan masa yang sesuai kerana arah angin tidak menentu, yang mungkin menyebabkan hujan tidak turun ke Tasik Bukit Merah. Kami tidak mahu usaha ini menjadi sia-sia,” katanya.

Sementara itu, para petani terpaksa bergantung pada air sungai yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Bersepadu (IADA) sebagai langkah sementara.

– Bernama

Sejarah Menara Jam Taiping, Ikon Bandar Warisan

Sejarah Menara Jam Taiping, Ikon Bandar Warisan

Taiping, sebuah bandar yang penuh dengan sejarah dan keindahan alam semula jadi, menyimpan pelbagai khazanah warisan yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan dan tarikan pelancong. Salah satu mercu tanda yang tidak terlepas daripada pandangan ialah Menara Jam Taiping, atau lebih dikenali sebagai ‘Old Clock Tower Taiping’.

Terletak di Jalan Kota, Taiping, Perak, menara jam ini bukan sekadar struktur bersejarah, tetapi juga simbol ketahanan dan keindahan seni bina yang telah bertahan lebih dari satu abad.

Sejarah Awal Menara Jam Taiping

Menara Jam Taiping mempunyai sejarah yang panjang dan menarik. Struktur asal menara ini dibina pada tahun 1881 dan diperbuat daripada kayu. Namun, pada tahun 1891, bangunan kayu tersebut digantikan dengan struktur batu bata yang lebih kukuh. Walaupun hanya sebahagian kecil daripada bangunan asal yang masih kekal hingga hari ini, ia tetap menjadi saksi bisu kepada perkembangan bandar Taiping sejak era penjajahan British.

Pada asalnya, bangunan ini digunakan sebagai balai polis oleh pentadbiran British. Namun, dalam tempoh beberapa tahun selepas pembinaannya, ia juga berfungsi sebagai balai bomba. Menariknya, pada tahun 1908, bangunan ini mula berkhidmat sebagai balai bomba pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Ini menjadikan Menara Jam Taiping bukan sahaja penting dari segi sejarah, tetapi juga sebagai perintis dalam perkhidmatan kecemasan di Malaysia. Bahkan menara ini dibina 5 tahun lebih awal dari Menara Jam Melaka yang siap pada tahun 1886.

Seni Bina yang Memukau

Menara Jam Taiping direka dengan elemen seni bina neoklasik yang memukau. Di bahagian atas pintu masuk tingkat pertama, terdapat portico hiasan yang dihiasi dengan pedimen dan puncak menara yang menempatkan jam empat muka. Menara ini juga dilengkapi dengan celah-celah serong yang berfungsi sebagai lubang senjata, menunjukkan bahawa ia pernah berperanan sebagai struktur pertahanan.

Puncak menara dihiasi dengan baling-baling berbentuk ayam jantan, yang menambah keunikan pada reka bentuknya. Senibina bangunan Menara Jam Taiping ini juga mempengaruhi rekabentuk Menara Jam Memorial Birch yang siap dibina pada tahun 1909 di tengah bandar Ipoh.

Transformasi dan Pemuliharaan

Selepas Perang Dunia Kedua, Menara Jam Taiping tidak lagi digunakan sebagai balai polis dan dibiarkan kosong untuk beberapa waktu. Pada tahun 1950-an, sebahagian daripada bangunan ini telah dirobohkan, dan ada ketika ia hampir musnah sepenuhnya. Namun, berkat kesedaran pihak berkuasa tentang kepentingan memelihara warisan sejarah, bangunan ini diselamatkan dan dipulihara.

Sejak itu, Menara Jam Taiping telah melalui beberapa fasa pemulihan. Pada tahun 2018, kerja-kerja pemulihan selesai dilakukan, dan jam tersebut kembali berdetik setelah senyap selama 10 tahun. Kini, bangunan ini berfungsi sebagai pusat maklumat pelancongan, memberikan khidmat nasihat dan maklumat kepada pengunjung yang ingin menerokai bandar Taiping.

Pusat Maklumat Pelancongan dan Cenderamata

Menara Jam Taiping bukan sahaja menawarkan sejarah dan seni bina yang menarik, tetapi juga menjadi destinasi utama untuk mendapatkan cenderamata dan barangan kraf tangan. Pusat maklumat pelancongan di sini menawarkan pelbagai barangan buatan tangan dari seluruh Perak, seperti bakul rotan, pasu tanah liat dari Sayong, barangan kaca, kristal, dan baju-T. Barangan-barangan ini bukan sahaja cantik, tetapi juga mencerminkan keunikan budaya dan kemahiran tradisional penduduk tempatan.

Selain itu, pusat ini juga menyediakan perkhidmatan pelancongan percuma, termasuk maklumat tentang tempat-tempat bersejarah di Taiping. Kakitangan yang ramah dan berpengetahuan sedia membantu pengunjung dengan sebarang pertanyaan atau keperluan.

Lokasi Strategik dan Kemudahan Berdekatan

Menara Jam Taiping terletak di lokasi yang strategik, kira-kira 10 minit berjalan kaki dari Taman Tasik Taiping, salah satu tarikan utama bandar ini. Di sekitarnya juga terdapat beberapa restoran dan kedai yang menawarkan hidangan tempatan yang lazat. Pengunjung boleh menikmati suasana bandar sambil menikmati keindahan seni bina menara jam yang ikonik.

Kesimpulan

Menara Jam Taiping adalah lebih daripada sekadar struktur bersejarah; ia adalah lambang ketahanan, keindahan, dan warisan budaya yang kaya. Dari fungsi asalnya sebagai balai polis dan bomba, hingga menjadi pusat maklumat pelancongan yang penting, menara ini terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan Taiping sebagai destinasi pelancongan yang unik.

Bagi penggemar sejarah, seni bina, dan fotografi, Menara Jam Taiping adalah destinasi wajib lawatan. Ia bukan sahaja menawarkan pemandangan yang indah untuk dirakam, tetapi juga membawa pengunjung merasai nostalgia zaman silam. Jadi, jika anda berkunjung ke Taiping, pastikan anda singgah di Menara Jam Taiping dan jelajahi keindahan serta sejarah yang tersimpan di sebalik dindingnya yang kukuh.

Rujukan :

  1. Laman web Taiping.my
  2. Laman web British Malaya

Perak Menjadi Pengeluar Utama Durian Negara 2024

Perak Menjadi Pengeluar Utama Durian Negara 2024

Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri pengeluar utama durian di Malaysia dengan mencatatkan pengeluaran sebanyak 59,217.3 tan metrik bernilai RM462.28 juta pada tahun 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kejayaan itu bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi agromakanan negara, malah membuktikan keupayaan Perak dalam pasaran eksport durian antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia telah mengeksport durian hasil Perak ke lebih 41 negara antara tahun 2017 hingga 2023, dengan 73 peratus nilai eksport tertumpu ke China.

Permintaan Global Meningkat

“Pada 2022, nilai eksport durian Malaysia mencecah RM1.14 bilion, termasuk RM887 juta ke China. Permintaan terhadap varieti premium seperti Musang King, Black Thorn, D24, IOI, serta durian kampung dari Perak terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kejayaan Topone Solution Sdn Bhd (TSSB) yang berjaya mengeksport 30 kontena durian bernilai RM20 juta pada 2024, termasuk lima kontena durian kampung (RM1 juta) dan 100 tan metrik pes durian kampung bernilai RM5.25 juta.

Saarani berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Selama hari ini.

Eksport Sulung ke China Catat Kejayaan Besar

Eksport sulung durian segar Malaysia ke China pada 24 Ogos 2024 menjadi detik bersejarah dengan penghantaran 413.61 tan metrik bernilai RM24.84 juta. Kejayaan ini tercapai ekoran perjanjian fitosanitari antara Malaysia dan China yang mendapat kelulusan rasmi pada Jun tahun lepas.

“Sejak itu, durian Malaysia berjaya menembusi 16 wilayah utama China dan mendapat sambutan luar biasa sebagai produk eksotik premium. Malah, durian kampung Perak semakin dikenali di peringkat global,” jelasnya.

Prospek Masa Depan Cerah

Nilai eksport durian Malaysia dijangka melonjak kepada RM1.8 bilion menjelang 2030, dengan pertumbuhan tahunan antara 20 hingga 25 peratus. Perkembangan ini didorong oleh kemajuan dalam logistik, teknologi rantaian sejuk beku, dan inovasi produk hiliran.

“Tumpuan kini ialah membuka laluan lebih luas untuk durian kampung premium Perak di pasaran antarabangsa melalui penjenamaan strategik, pensijilan kualiti, dan pemasaran digital,” tambah Saarani.

Pasaran Luas, Produk Inovatif Jadi Tarikan

Durian Perak turut mendapat permintaan tinggi dari Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, dan Australia. Harga durian kampung Malaysia mencecah RM29 bagi 600 gram, manakala Musang King dijual sehingga RM400 untuk 2.5 kilogram (kg).

“Usahawan tempatan juga semakin agresif memperkenalkan produk inovatif berasaskan durian seperti coklat durian, kopi durian, kek durian, sambal tempoyak segera, dan ais krim durian yang turut dipasarkan ke China,” katanya.

Dengan prestasi cemerlang ini, industri durian Perak dijangka terus berkembang, sekaligus mengangkat nama negeri ini sebagai antara pengeksport utama durian premium dunia.

– BERNAMA

Anak Muda Perak Didorong Rebut Peluang Pekerjaan dalam Sektor TVET

Anak Muda Perak Didorong Rebut Peluang Pekerjaan dalam Sektor TVET

Golongan muda di Perak diseru merebut ribuan peluang pekerjaan yang terhasil daripada pembangunan industri pesat negeri ini, sebelum ia diambil alih oleh pekerja luar atau warga asing.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pelaburan besar-besaran negeri dalam pembangunan zon industri adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Kebangsaan. Agenda ini merupakan teras penting di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi memacu ekonomi mampan dan kemakmuran jangka panjang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jawatan yang tersedia memerlukan tenaga kerja mahir, terutamanya mereka yang memiliki kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya mahu rakyat Perak fahami hasrat kerajaan. Jika anak-anak kita sendiri tidak menyokong aspirasi ini, kita terpaksa menawarkan peluang pekerjaan ini kepada orang luar. Dan jika itu masih tidak mencukupi, kita tidak dapat mengelak daripada mengambil pekerja asing,” katanya dalam temubual bersama New Straits Times semasa lawatan ke Balai Berita bagi program Malaysia Hari Ini.

Saarani berkata kerajaan negeri telah mempergiat kempen kesedaran di peringkat daerah melalui kerjasama pelbagai agensi, khususnya menyasarkan pelajar sekolah menengah, terutama Tingkatan Empat dan Lima, bagi mempromosikan prospek kerjaya melalui TVET.

Beliau menekankan kepentingan menghapuskan stigma bahawa TVET adalah pilihan kelas kedua, memandangkan sektor ini kini menawarkan gaji kompetitif serta permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

“Sudah tiba masanya kita buang tanggapan bahawa TVET adalah sijil kelas kedua. Dengan kelayakan TVET, pekerjaan sebenar menanti,” tegasnya.

Berdasarkan data dalaman, kira-kira 94 peratus graduan TVET berjaya mendapat pekerjaan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif outreach, alumni TVET yang berjaya seperti chef, tukang kimpal, dan pakar animasi dijemput ke sekolah untuk berkongsi pengalaman, sekaligus memberi inspirasi kepada pelajar tentang potensi sebenar kerjaya vokasional.

Saarani turut menegaskan bahawa semua institusi TVET di Perak perlu memastikan program akademik mereka selari dengan keperluan khusus industri tempatan.

“Atas sebab itu, kita bekerjasama dengan pihak industri dan penyedia latihan bagi memastikan kursus yang ditawarkan relevan dengan pasaran kerja. Kita tidak mahu peluang ini terlepas kepada orang luar hanya kerana penduduk tempatan tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan,” jelasnya.

“Matlamat kita adalah mewujudkan Perak yang makmur dengan rakyat yang berjaya. Kemakmuran itu bermula dengan pekerjaan—apabila rakyat mempunyai pendapatan, mereka boleh berbelanja, dan ini seterusnya menggerakkan ekonomi negeri.”

Sebelum ini, kerajaan negeri telah menggariskan hasrat menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Kebangsaan, dengan beberapa projek mega seperti Automotive High-Tech Valley di Tanjung Malim, Kerian Integrated Green Industrial Park, dan Silver Valley Technology Park berperanan sebagai platform utama menyerap graduan mahir.

Kerajaan negeri turut melancarkan Program Roadshow TVET 2025 bagi membetulkan salah tanggapan terhadap pendidikan vokasional dan mempromosikannya sebagai laluan utama ke arah kerjaya dalam bidang teknologi, pembuatan dan keusahawanan.

– New Straits Times