25 C
Ipoh
Thursday, 5 December 2024

Kuala Gula, Pemuas Ghairah Kaki Pancing

- Advertisement -
- Advertisement -

Kuala Gula yang popular dikalangan kaki pancing tegar terletak di Kuala Kurau, negeri Perak. Kuala Gula sememangnya menjadi sebuah lokasi yang sangat sesuai bagi kaki pancing yang tercari-cari lokasi untuk memancing di negeri Perak untuk melepaskan gian hobi mereka.

Lokasi Kuala Gula yang terletak agak jauh dari jalan besar menyebabkan ramai kaki pancing tidak tahu akan kewujudan “fishing spot” yang terbaik ini. Jika anda datang dari Lebuhraya Utara Selatan, anda perlu ambil exit Bukit Merah dan ikut papan tanda Kuala Kurau untuk ke Kuala Gula.

Kuala Gula sebenarnya adalah merupakan tempat pemeliharaan unggas ataupun lebih dikenali sebagai nama Bird Sanctuary. Ia dijaga dengan rapi oleh jabatan kerajaan.

peta kuala gula

Selain memancing, ramai pelancong yang datang untuk bercuti di sini untuk melihat unggas-unggas seperti burung helang yang sukar dilihat pada jarak dekat di tempat lain.

Kuala Gula Pemuas Ghairah Kaki Pancing

Di sini juga terdapat kemudahan chalet terapung untuk disewa kepada pelancong yang datang bercuti. Di chalet ini juga terdapat anjung yang mengunjur ke kuala bagi memudahkan pemancing untuk memancing sambil beristirehat. Jadi, pemancing boleh memancing bila-bila sahaja kerana tidak perlu keluar dari chalet untuk memancing.

Pelancong yang gemar melihat unggas dapat melihat dengan jelas beberapa jenis burung yang terbang bebas di sekitar kuala itu terutamanya burung helang yang selalu mendarat untuk menangkap ikan di dalam kuala. Selain chalet, terdapat juga sebuah restoran terapung di Kuala Gula.

ketam lembut kuala gula

Restoran ini menawarkan pelbagai jenis makanan laut seperti udang, sotong, ikan dan sebagainya. Menu istimewa yang wajib dicuba oleh setiap pengunjung yang datang ke Kuala Gula ini ialah ketam kulit lembut. Kelazatan ketam kulit lembut ini sukar untuk digambarkan. Anda harus cuba sendiri barulah tahu nikmat kesedapannya.

Satu lagi menu yang wajib anda pesan di restoran ini ialah ikan siakap tiga rasanya. Ikan siakap yang dimasak adalah ikan siakap segar yang masih hidup dipelihara di dalam sangkar di bahagian belakang restoran tersebut. Pelanggan boleh memilih sendiri ikan siakap mengikut saiz yang dikehendaki.

Kuala Gula Pemuas Ghairah Kaki Pancing

Kuala Gula menjadi “fishing spot” yang terbaik kerana arus airnya yang sangat sesuai untuk memancing. Berdasarkan pengalaman saya sendiri memancing di Kuala Gula, hasil tangkapan yang diperoleh sememangnya menakjubkan.

Bayangkan cuma dua hari satu malam, hasil tangkapan melebihi satu baldi. Inilah pengalaman yang ingin saya kongsikan kepada semua pembaca orangperak.com daripada saya sendiri sebagai seorang pembaca disini.

Ikan bagaikan berpesta disini terutamanya ketika lewat malam lebih kurang jam 2 hingga 4 pagi. Masa itulah anda tidak akan sempat untuk berehat kerana ikan tidak henti-henti memakan umpan. Hal ini kerana faktor air yang sedang pasang pada waktu itu.

Hasil tangkapan yang sering diperoleh di Kuala Gula ini ialah ikan gelama dan juga ikan duri. Jika anda bernasib baik dan menggunakan umpan yang betul, ikan siakap mungkin bakal dijerat oleh pancing anda.

Bawalah umpan udang hidup untuk memancing siakap. Ikan siakap juga memang aktif ketika air pasang. Antara jam 2 hingga 4 pagi memang rancak kedengaran ikan siakap membedah arus menangkap anak-anak ikan sebagai santapan.

Kuala Gula Pemuas Ghairah Kaki Pancing

Umpan lain yang sesuai untuk anda gunakan di sini ialah kerang segar untuk menarik minat gelama dan ikan duri. Selain kerang, udang juga sesuai digunakan kerana baunya yang hanyir turut mampu menarik perhatian ikan-ikan ini.

Anda juga dinasihatkan untuk membawa sendiri racun serangga seperti Ridsect kerana nyamuk memang banyak di sini pada waktu malam. Jaket ataupun pakaian tebal juga perlu dibawa kerana cuaca di sini sangat sejuk pada waktu malam. Persediaan rapi juga penting untuk memastikan konsentrasi anda tidak terganggu ketika memancing di sini.

Kuala Gula Pemuas Ghairah Kaki Pancing

Bagi penggemar ikan darat pula, berhadapan dengan chalet ini terdapat kolam takungan air yang sudah terbiar. Pada mulanya memang kelihatan tiada hidupan di dalamnya.

Saya sendiri telah membiarkan pancing di situ berumpankan udang hidup. Mana tahu kalau-kalau ada rezeki dan tanpa disangka setelah setengah jam berlalu, seekor ikan keli bersaiz sebesar lengan telah terlekat pada kail.

Jadi, jika anda menggemari ikan darat, Kuala Gula turut menawarkan tempat memancing ikan darat untuk anda. Namun, anda dinasihatkan untuk memancing di kolam ini hanya pada waktu siang atas dasar keselamatan.

Kuala Gula Pemuas Ghairah Kaki Pancing

Akhir kata, tidak sah bagi pemancing-pemancing yang datang ke negeri Perak tetapi tidak mencuba nasib di Kuala Gula ini. Hasil tangkapan yang lumayan beserta kepuasan memancing seolah-olah menggamit setiap pemancing untuk menghabiskan masanya di sini.

Aktiviti melihat unggas juga merupakan pengalaman yang sungguh lumayan yang sukar untuk dicari. Bukan sahaja helang, anda turut berpeluang melihat kumpulan burung bangau yang ahlinya melebihi seratus ekor berterbangan di udara.

Jadi, jika anda masih belum pernah menjejakkan kaki ke Kuala Gula, tempahlah percutian anda di sini dan rasailah nikmat memancing yang tiada tandingannya.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here