Home Blog Page 10

Toh Paduka Raja Dato’ Kapten Mohd Daud Bin Samsudin @ Dato’ Tak Kembali Ke Rahmatullah

Toh Paduka Raja Dato’ Kapten Mohd Daud Bin Samsudin @ Dato’ Tak Kembali Ke Rahmatullah

Dengan penuh rasa dukacita, dimaklumkan bahawa Allahyarham YBhg. Dato’ Kapten Mohd Daud bin Samsudin @ Dato’ Tak (Bersara), yang bergelar Toh Paduka Raja (Orang Besar 16), telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi ini, Sabtu, 21 Jun 2025, sekitar pukul 8.05 pagi dalam usia 76 tahun.

Jenazah Allahyarham kini masih berada di Hospital Beacon Petaling Jaya dan akan dibawa pulang ke kediamannya di No. 12, Laluan Wira Jaya Timur 23, Taman Rapat Koperasi, Ipoh untuk urusan seterusnya. Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Menteri Besar Perak dan pembesar-pembesar negeri turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir di kediaman beliau disini.

Allahyarham merupakan seorang tokoh besar negeri Perak dan ahli Dewan Negara Perak yang disegani. Jasanya kepada negeri dan negara akan terus dikenang.

Kami di Orang Perak mendoakan semoga roh Allahyarham diberi keampunan, dilimpahi rahmat, dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

Gangguan Bekalan Air di Teluk Intan & Tapah Akibat Kerja-Kerja Pemasangan Paip

Gangguan Bekalan Air di Teluk Intan & Tapah Akibat Kerja-Kerja Pemasangan Paip

Lembaga Air Perak Wilayah Selatan (LAWS) melalui Pusat Operasi Teluk Intan dan Tapah mengeluarkan notis rasmi mengenai gangguan bekalan air yang akan berlaku pada 24 dan 25 Jun 2025 akibat kerja-kerja sambungan paip air mentah bersaiz 900mm di Loji Rawatan Air Bukit Temoh.

Butiran Gangguan

  • Tarikh: 24 Jun 2025 (Selasa) hingga 25 Jun 2025 (Rabu)
  • Tempoh Masa: 12:00 tengah malam (24 Jun) hingga 12:00 tengah malam (25 Jun) – selama 24 jam.

Kawasan Terlibat

Wilayah Teluk Intan:

Keseluruhan pekan Teluk Intan, termasuk Labu Kubong, Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Batak Rabit, dan kawasan sekitarnya.

Wilayah Tapah:

Seluruh kawasan Tapah, Bidor, Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh, dan kawasan berdekatan.

Arahan Kepada Pengguna

Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya bagi menampung keperluan harian sepanjang tempoh gangguan. LAWS memohon maaf di atas segala kesulitan dan berterima kasih atas kerjasama semua pihak.

Jabatan Kehakiman Syariah Perak Memperkenalkan eKSPerk untuk Permudah Urusan Mahkamah Syariah

Jabatan Kehakiman Syariah Perak Memperkenalkan eKSPerk untuk Permudah Urusan Mahkamah Syariah

JKSPk-ICT

Jabatan Kehakiman Syariah Perak telah melangkah ke hadapan dalam transformasi digital dengan melancarkan laman web Modul Awam Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk). Laman web ini berfungsi sebagai platform pemudah cara bagi orang awam untuk menyediakan dan mengisi borang pendaftaran kes-kes terpilih di mahkamah syariah negeri ini.

Menurut Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor, eKSPerk yang boleh diakses melalui eksperk.perak.gov.my sejak 10 Jun lalu, membolehkan masyarakat mendaftarkan beberapa jenis kes tertentu. Antara kes yang disokong oleh sistem ini ialah permohonan perceraian persetujuan, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan nikah bawah umur, dan permohonan wali hakim.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini diwujudkan khusus untuk membantu mereka yang tidak menggunakan perkhidmatan peguam dalam urusan pendaftaran kes. “Ia (eKSPerk) diwujudkan untuk membantu orang awam dalam urusan pendaftaran kes bagi mereka yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan menghadapi masalah penyediaan dokumentasi termasuklah borang-borang yang dikehendaki mengikut ketetapan sedia ada,” katanya.

Dengan adanya eKSPerk, orang ramai kini dapat mengisi maklumat dan fakta kes secara lebih teratur tanpa perlu risau tentang kesilapan dalam penyediaan dokumen. “Jadi dengan adanya eKSPerk, ia memudahkan orang awam memasukkan pelbagai maklumat dan fakta kes yang diperlukan,” tambah Ab Rahman Thobroni selepas majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini pada Jumaat.

Pada peringkat awal, pengguna masih perlu mencetak borang yang telah diisi sebelum menyerahkannya ke mahkamah. Namun, beliau memberitahu bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menaik taraf sistem tersebut supaya dokumen yang diisi dalam eKSPerk dapat dipindahkan secara automatik ke dalam sistem e-syariah.

Walaupun sistem baru ini diperkenalkan, borang pendaftaran kes yang disediakan oleh pihak ketiga atau persendirian masih boleh digunakan asalkan mematuhi format dan laras bahasa yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Perak menjadi negeri pertama yang melaksanakan modul sebegini, dan kemungkinan besar negeri-negeri lain akan turut mengikut jejak langkah ini pada masa akan datang. “Setakat ini hanya Jabatan Kehakiman Syariah Perak sahaja yang melaksanakan modul sebegini dan mungkin ia akan diikuti oleh jabatan kehakiman syariah negeri lain,” ujar beliau.

Dengan pelaksanaan eKSPerk, diharapkan proses pendaftaran kes di mahkamah syariah akan menjadi lebih pantas, sistematik, dan mesra pengguna, seterusnya meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kehakiman di negeri ini.

– BERNAMA

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Anak Kelahiran Manong Ketua Polis Negara Yang Baru

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Anak Kelahiran Manong Ketua Polis Negara Yang Baru

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail secara rasmi mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara (KPN) hari ini, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang tamat kontrak perkhidmatannya.

Majlis penyerahan tugas serta pemakaian lencana jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlangsung dengan penuh istiadat, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman; dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Upacara Penyerahan Tugas Penuh Makna

Majlis dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd Khalid, disempurnakan oleh Saifuddin. Seterusnya, berlangsung sesi penandatanganan dokumen serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa, menandakan peralihan kepimpinan PDRM secara rasmi.

Profil Ketua Polis Negara Baharu

Mohd Khalid, yang dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak, membawa bersama pengalaman luas dalam bidang risikan dan keselamatan. Memulakan kerjaya polis pada 5 April 1987, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sepanjang 37 tahun berkhidmat, beliau pernah bertugas di pelbagai bahagian, termasuk di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen, dan luar negara. Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dan Security Liaison Officer (SLO) di London, United Kingdom.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April lalu. Namun, kerajaan mengekalkan khidmat beliau secara kontrak sebelum dilantik memegang jawatan tertinggi PDRM hari ini.

Kompetensi & Harapan

Dengan rekod cemerlang dan kepakaran dalam bidang keselamatan, Mohd Khalid dilihat sebagai pemimpin berwibawa untuk menerajui PDRM ke arah lebih gemilang. Pengalaman luas beliau dijangka menjadi aset penting dalam menangani cabaran keselamatan semasa.

Peralihan kuasa ini menandakan babak baru dalam kepimpinan PDRM, dengan harapan agar integriti dan kecemerlangan pasukan polis terus terpelihara di bawah pimpinan beliau.

Gegaran dan Bunyi Letupan di Ipoh Pagi Ini Bukan Berpunca daripada Kerja-kerja Kuari – JMG Perak

Gegaran dan Bunyi Letupan di Ipoh Pagi Ini Bukan Berpunca daripada Kerja-kerja Kuari – JMG Perak

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak mengesahkan bahawa bunyi letupan dan gegaran yang dilaporkan kira-kira pukul 10.30 pagi ini tidak berpunca daripada kerja-kerja peletupan di kuari. Perkara itu dilaporkan oleh Bernama petang semalam.

Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim, menjelaskan bahawa aktiviti peletupan kuari hanya dibenarkan bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

“Pemeriksaan JMG Perak mendapati tiada sebarang peletupan kuari dilakukan pada waktu itu. Aktiviti peletupan di luar waktu yang dibenarkan tidak dibenarkan,” katanya seperti dipetik.

Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, memaklumkan bahawa pihak polis sedang menyiasat aduan orang awam mengenai bunyi letupan dan gegaran yang dirasai di sekitar Ipoh pagi ini.

Kejadian serupa pernah berlaku pada 21 Oktober tahun lalu, di mana gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan bandar raya Ipoh — termasuk Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor, dan Sungai Siput kira-kira pukul 11 pagi, diikuti dengan bunyi letupan yang kuat.

Sehingga kini, punca kejadian tahun lalu itu masih tidak dapat dijelaskan oleh pihak berwajib.

Sumber Bernama

Dataran Waterfront Bagan Datuk Ubah Wajah Bandar ‘Cowboy’ Jadi Tarikan Pelancong

Dataran Waterfront Bagan Datuk Ubah Wajah Bandar ‘Cowboy’ Jadi Tarikan Pelancong

Dataran Waterfront Bagan Datuk telah mengubah wajah bandar ini daripada suatu ketika digelar “bandar koboi” kepada destinasi pelancongan yang menarik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pembangunan dataran tersebut telah menjadikan Bagan Datuk antara lokasi popular dalam kalangan pelancong tempatan, terutamanya pada hujung minggu.

“Ia merupakan satu perubahan besar. Dahulu, bandar ini digelar bandar koboi, malah dianggap ketinggalan zaman. Namun kini, saya menerima aduan tentang kesesakan lalu lintas setiap hujung minggu – itu satu ‘masalah’ yang baik untuk bandar ini,” kata Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan pembukaan rasmi Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini hari ini, yang dihadiri lebih 500 tetamu dan penduduk tempatan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, merasmikan dataran itu yang mula dibangunkan pada tahun 2019.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, berkata dataran ini terdiri daripada beberapa komponen projek, termasuk pembinaan Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, fasiliti rekreasi dan riadah, serta pemuliharaan fasad bangunan kedai dan penambahbaikan jalan di sekitar bandar Bagan Datuk.

Pasukan Khas Laut (PASKAL) ketika demonstrasi Maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain agensi di Sungai Perak ketika perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JUN 2025.

“Selain itu, landskap Dataran Waterfront diperindah dengan replika tempurung kelapa yang mempunyai pancuran air, bangunan BD Walk, serta replika ‘jong’ (kapal dagang purba) yang dilengkapi alat permainan kanak-kanak dan pameran sejarah di dalam dan di atas kapal tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan adanya dataran ini, penduduk tempatan dan pengunjung kini boleh meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menikmati matahari terbenam dengan latar belakang muara Sungai Perak yang mempesonakan.

“Tarikan lain seperti sewa kereta sorong kanak-kanak, persembahan kumpulan busking tempatan, dan gerai-gerai turut menceriakan suasana malam hujung minggu di dataran ini, sekaligus membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.

— Bernama

Bagan Datuk Catat Sejarah Baharu Dengan Perasmian Dataran Waterfront Oleh DYMM Sultan Perak

0

Bagan Datuk Catat Sejarah Baharu Dengan Perasmian Dataran Waterfront Oleh DYMM Sultan Perak

 Hari ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah buat Daerah Bagan Datuk apabila DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk.

Keberangkatan diraja turut diserikan dengan kehadiran DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, serta DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawwakil. Turut hadir Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Orang Besar Jajahan Kampr, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin tempatan, dan tetamu kehormat lain.

Bagan Datuk, yang kini merupakan daerah ke-12 di Perak selepas berpisah dengan Daerah Hilir Perak, semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan berpotensi. Antara lokasi ikonik di sini ialah Beting Beras Basah, yang menjadi lokasi istiadat pelengkap Pertabalan Sultan Perak.

Revolusi Pelancongan Bagan Datuk

Projek pembangunan Dataran Waterfront Bagan Datuk dicetuskan pada 2023 oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan daerah ini mampu bersaing dalam sektor pelancongan negeri. Terletak di pinggir Sungai Perak, hanya 21 nautika dari Selat Melaka, kawasan ini menawarkan pemandangan indah terutama saat matahari terbenam.

Dataran ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kawasan rekreasi, gerai makan dan minuman, serta tandas awam, menjadikannya tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Perak untuk menikmati ketenangan tepi sungai.

Dengan pembukaan rasmi ini, Bagan Datuk dijangka menjadi hab pelancongan baharu yang menyumbang kepada ekonomi dan kemajuan wilayah.

Disediakan oleh: Saiful Rezal

Ipoh Sentral Transformasi Bandar Raya Ipoh

Ipoh Sentral Transformasi Bandar Raya Ipoh

Ipoh Sentral, projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) seluas 2.5 hektar, bakal menjadi pemangkin transformasi menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan mobiliti awam serta memudahkan akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, dan aktiviti sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB), Firdaus Effendy Mokhtar, berkata pembangunan ini direka sebagai sebuah kawasan bercampur berkonsepkan TOD yang berhubung terus dengan stesen kereta api.

Menurutnya, lokasi strategik Ipoh Sentral di tengah bandar raya Ipoh akan memberi manfaat besar kepada rakyat sekaligus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas dan efisien.

Manfaat Utama: Kurang Kesesakan, Lebih Ketersambungan

“Antara manfaat projek ini termasuk mengurangkan kesesakan trafik, berikutan peningkatan penggunaan mod pengangkutan awam serta ketersambungan (connectivity) antara kawasan bandar dan luar bandar khususnya di Perak,” jelas Firdaus.

Pembangunan ini turut merangkumi komponen seperti rumah kediaman, pejabat, hotel, ruang komersial, dan taman rekreasi.

“Inisiatif ini menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 menerusi penyediaan unit kediaman yang memenuhi kehendak pelbagai lapisan masyarakat bagi menyokong pertumbuhan komuniti bandar mampan. Kediaman berhampiran hab pengangkutan memudahkan akses ke tempat kerja dan kemudahan awam,” katanya.

Dengan ciri-ciri ini, Ipoh Sentral dijangka menjadi pusat kediaman bandar yang mampan dan strategik.

Fasa Pembangunan Bermula Tidak Lama Lagi

Firdaus memberitahu, projek ini akan memasuki fasa pembinaan sebaik sahaja urusan proses tanah selesai dan permohonan kebenaran merancang diluluskan.

Nilai anggaran pembangunan kasar (GDV) projek ini kekal melebihi RM6 bilion, merangkumi pelbagai komponen seperti yang dinyatakan.

“Sejak pengumuman oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, projek Ipoh Sentral kini dalam fasa penyediaan dokumen permohonan kebenaran merancang dan kajian kebolehlaksanaan,” ujarnya.

Beliau menambah, rundingan bersama agensi kerajaan sedang dijalankan bagi memastikan projek berjalan lancar mengikut perancangan.

“Model pelaksanaan sudah disusun semula untuk mempercepatkan pelaksanaan projek secara berfasa dan berimpak tinggi,” jelasnya.

Seiring Wawasan Perak Sejahtera 2030

Projek Ipoh Sentral bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga mewujudkan keseimbangan antara ekonomi, sosial, dan alam sekitar, selaras dengan matlamat pembangunan mampan dan wawasan Perak Sejahtera 2030.

Sebahagian daripada inisiatif Perak Sejahtera 2030, projek ini bertujuan menjadikan Ipoh sebuah bandar pintar dan berdaya tahan, seiring dengan visi Ipoh Smart City Master Plan 2030.

Ini sekaligus menandakan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan Ipoh sebagai pusat moden dan progresif, setanding dengan bandar-bandar utama di Malaysia.

Dengan pelaksanaan projek ini, Ipoh bakal mengalami lonjakan pembangunan yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, tetapi juga memacu ekonomi negeri ke arah lebih dinamik dan mampan.

– Berita Harian

Perak Sasarkan Lebih 35 Emas di SUKMA Selangor 2025

Perak Sasarkan Lebih 35 Emas di SUKMA Selangor 2025

Kontinjen Perak menyasarkan untuk mengatasi pencapaian 35 pingat emas yang diraih pada SUKMA Sarawak 2024 dengan menyiapkan pasukan terbaik bagi SUKMA Selangor yang bakal berlangsung pada Ogos tahun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad, berkata proses pemilihan atlet sedang giat dijalankan, dan senarai akhir wakil negeri dijangka selesai selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Pemilihan Atlet Berjalan Lancar

“Sesi pemilihan sedang dijalankan, khususnya bagi sukan tempur seperti judo dan wusyu. Pemilihan turut melibatkan sukan-sukan lain yang akan disertai di SUKMA Selangor nanti,” katanya.

Beliau menambah, buat masa ini, hanya senarai panjang atlet telah disediakan, dan mereka masih perlu bersaing untuk merebut tempat dalam pasukan negeri.

“Setakat ini, kita hanya mempunyai senarai panjang atlet, dan mereka masih berpeluang bersaing sesama sendiri untuk menempatkan diri dalam pasukan dan seterusnya mewakili kontinjen SUKMA Perak,” jelas Mazlan ketika ditemui pada Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala XCRIIM 2025 Peringkat Kebangsaan di Padang Taman Dr Seenivasagam, semalam.

Rekod Terbaik dalam 15 Tahun

Pada SUKMA Sarawak 2024, Perak menduduki tangga ketujuh dengan koleksi 35 emas, 38 perak, dan 57 gangsa. Pencapaian itu merupakan rekod terbaik kontinjen negeri dalam tempoh 15 tahun, terutamanya bagi temasya yang diadakan di luar Perak.

Program Belang Tarung Tiga Warna Diteruskan

Mazlan turut memaklumkan bahawa MSN Perak akan meneruskan pelaksanaan Program Belang Tarung Tiga Warna – Extended Versions 2.0 2025, yang memberi tumpuan kepada 28 sukan utama dalam SUKMA Selangor.

Program bernilai RM500,000 itu akan menitikberatkan pembangunan atlet dalam sukan seperti bola sepak, futsal, akuatik, memanah, menembak, olahraga, dan ragbi.

PAFA Gunakan Pemain SUKMA untuk Liga A1 Semi Pro

Mazlan turut menyokong langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang mengoptimumkan pemain SUKMA bagi memperkukuh pasukan dalam Liga A1 Semi Pro.

“Penyertaan dalam perlawanan kompetitif seperti Liga A1 yang turut disertai pemain berpengalaman, termasuk bekas pemain Liga Super, diyakini dapat membantu pemain SUKMA Perak mempertingkat prestasi mereka,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa strategi PAFA itu memberi kelebihan besar dalam menyiapkan pasukan SUKMA yang lebih kompetitif.

Sebelum ini, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, mengumumkan bahawa pasukan Perak akan dibarisi majoriti pemain SUKMA serta beberapa pemain senior berpengalaman dalam Liga Super bagi menghadapi Liga A1 Semi Pro.

Dengan persiapan yang teliti dan sokongan padu, Perak berhasrat untuk mencipta kejayaan lebih gemilang di SUKMA Selangor 2025.

— BERNAMA

Lumut Waterfront Meriah dengan Program MADANI Rakyat Perak 2025

Lumut Waterfront Meriah dengan Program MADANI Rakyat Perak 2025

Biasanya tenang, Lumut Waterfront tiba-tiba meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tiga hari Program Perak MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang bermula Jumaat lalu.

Bagi peniaga Mohd Faizal Che Tan, 50, program yang berakhir hari ini memberikan suntikan segar kepada pelancongan tempatan, menarik lebih banyak orang ke bandar pantai yang terkenal dengan ‘ikan bilis mata biru’.

“Program ini sangat baik kerana ia membantu menghidupkan semula pelancongan di sini. Lumut memang terkenal dengan ikan bilis mata biru, jadi program sebegini sangat membantu menarik lebih banyak orang.

“Saya berharap selepas ini, lebih ramai pelancong tempatan dan asing terus datang ke Lumut dan membawa kembali keseronokan seperti ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Afif Isyraf Izuwan Shah, 20, yang bekerja di sebuah gerai makanan laut berdekatan, berkata ramai pengunjung PMR Perak 2025 singgah untuk membeli ikan bilis, ikan masin, dan produk makanan laut lain.

“Alhamdulillah, sejak program ini bermula, pelanggan saya bertambah, termasuk orang dari luar. Ramai antara mereka adalah kakitangan kementerian dan agensi kerajaan, dan itu sangat membantu meningkatkan jualan.

“Program ini juga secara tidak langsung memberi platform kepada peniaga seperti kami untuk mempromosikan produk tempatan seperti keropok ikan, satay ikan, dan sambal ikan bilis,” ujarnya.

Diadakan di Lumut Waterfront, Perak PMR 2025 mempertemukan lebih 200 perkhidmatan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, berjaya menarik lebih 200,000 pengunjung ke 36 gerai sepanjang tiga hari.

Perak merupakan lokasi kedua yang menjadi tuan rumah inisiatif PMR berskala besar ini, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan (PACU) Jabatan Perdana Menteri sebagai sekretariat utama dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju.

Program ini bukan sahaja menjadi medan perkongsian perkhidmatan kerajaan tetapi juga pendorong ekonomi tempatan, sekaligus mengukuhkan lagi identiti Lumut sebagai destinasi pelancongan yang unik.