26.3 C
Ipoh
Thursday, 17 July 2025

Perak Sasarkan Lebih 35 Emas di SUKMA Selangor 2025

- Advertisement -
- Advertisement -

Perak Sasarkan Lebih 35 Emas di SUKMA Selangor 2025

Kontinjen Perak menyasarkan untuk mengatasi pencapaian 35 pingat emas yang diraih pada SUKMA Sarawak 2024 dengan menyiapkan pasukan terbaik bagi SUKMA Selangor yang bakal berlangsung pada Ogos tahun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad, berkata proses pemilihan atlet sedang giat dijalankan, dan senarai akhir wakil negeri dijangka selesai selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Pemilihan Atlet Berjalan Lancar

“Sesi pemilihan sedang dijalankan, khususnya bagi sukan tempur seperti judo dan wusyu. Pemilihan turut melibatkan sukan-sukan lain yang akan disertai di SUKMA Selangor nanti,” katanya.

Beliau menambah, buat masa ini, hanya senarai panjang atlet telah disediakan, dan mereka masih perlu bersaing untuk merebut tempat dalam pasukan negeri.

“Setakat ini, kita hanya mempunyai senarai panjang atlet, dan mereka masih berpeluang bersaing sesama sendiri untuk menempatkan diri dalam pasukan dan seterusnya mewakili kontinjen SUKMA Perak,” jelas Mazlan ketika ditemui pada Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala XCRIIM 2025 Peringkat Kebangsaan di Padang Taman Dr Seenivasagam, semalam.

Rekod Terbaik dalam 15 Tahun

Pada SUKMA Sarawak 2024, Perak menduduki tangga ketujuh dengan koleksi 35 emas, 38 perak, dan 57 gangsa. Pencapaian itu merupakan rekod terbaik kontinjen negeri dalam tempoh 15 tahun, terutamanya bagi temasya yang diadakan di luar Perak.

Program Belang Tarung Tiga Warna Diteruskan

Mazlan turut memaklumkan bahawa MSN Perak akan meneruskan pelaksanaan Program Belang Tarung Tiga Warna – Extended Versions 2.0 2025, yang memberi tumpuan kepada 28 sukan utama dalam SUKMA Selangor.

Program bernilai RM500,000 itu akan menitikberatkan pembangunan atlet dalam sukan seperti bola sepak, futsal, akuatik, memanah, menembak, olahraga, dan ragbi.

PAFA Gunakan Pemain SUKMA untuk Liga A1 Semi Pro

Mazlan turut menyokong langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang mengoptimumkan pemain SUKMA bagi memperkukuh pasukan dalam Liga A1 Semi Pro.

“Penyertaan dalam perlawanan kompetitif seperti Liga A1 yang turut disertai pemain berpengalaman, termasuk bekas pemain Liga Super, diyakini dapat membantu pemain SUKMA Perak mempertingkat prestasi mereka,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa strategi PAFA itu memberi kelebihan besar dalam menyiapkan pasukan SUKMA yang lebih kompetitif.

Sebelum ini, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, mengumumkan bahawa pasukan Perak akan dibarisi majoriti pemain SUKMA serta beberapa pemain senior berpengalaman dalam Liga Super bagi menghadapi Liga A1 Semi Pro.

Dengan persiapan yang teliti dan sokongan padu, Perak berhasrat untuk mencipta kejayaan lebih gemilang di SUKMA Selangor 2025.

— BERNAMA

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here