Mungkin anda pernah dengar tentang “ular lidi menjadi naga” yang agak popular penggunaannya pada satu ketika dahulu yang dikatakan ia amat sinonim dalam kehidupan masyarakat melayu.
Namun disini, kami dari warga editor orangperak.com bukanlah hendak menterjemahkan tentang peribahasa tersebut, tetapi ada mitos atau cerita rakyat yang agak menarik untuk dikongsikan bersama berkaitan dengan ular bersaiz gergasi.
Kita semua tahu, naga amat popular dalam masyarakat cina dan di dalam negeri Perak sendiri terdapat beberapa kisah cerita mitos yang berkaitan dengan naga dan menjadi buah mulut sejak dari dahulu lagi.
Antara kisah-kisah mitos yang ramai tahu jalan ceritanya adalah Naga berjuang berebut geliga di dalam sungai Perak, Naga bertapa di bawah tanah tapak Menara Condong Teluk Intan dan banyak lagi.
Ada satu kisah mitos atau cerita rakyat menarik yang kami ingin kongsikan bersama anda yang mungkin tidak pernah tahu tentang hal ini. Ianya berkenaan dengan ketika zaman Jepun di Perak dahulu.
Dikatakan pada waktu itu, gempar khabar angin diseluruh Perak yang menceritakan tentang banyak ular gergasi yang dibunuh Jepun di dalam lubang dengan menggunakan bom tangan sahaja.
Sewaktu pemerintahan Jepun, dikatakan kerap berlaku kejadian aneh yang mana orang kerap hilang di satu kawasan yang dikatakan berdekatan dengan kawasan penempatan kem tentera Jepun.
Jadi, pegawai pemerintah tentera Jepun pun mengarahkan pasukan rondanya untuk pergi meninjau di kawasan tersebut yang dikatakan amat tebal dengan hutan dan juga berbukit.
Jadi, pergilah pasukan ronda tentera Jepun itu ke sana untuk meninjau melihat kawasan dan keadaan yang dikatakan kerap berlakunya kejadian aneh itu.
Setelah seminggu berlalu, pasukan peninjau pergi meninjau masih tidak pulang-pulang untuk menghantar laporan dan pegawai pemerintah mengesyaki ada sesuatu perkara malang yang telah menimpa kesemua anak buahnya itu.
Lantas, pegawai tentera Jepun itu terus menghantar sepasukan tentera lagi dan menambah kekuatan dalam lingkungan 50 orang kekuatan tentera untuk pergi mencari mereka yang tidak lagi pulang dari pasukan peninjau. Malangnya, mereka juga tidak pulang selepas seminggu pergi beroperasi.
Dalam keadaan itu, pegawai pemerintah tentera Jepun itu terus yakin bahawa teorinya betul tentang berlakunya musibah yang melanda anak-anak buahnya itu. Dia mengesyaki tenteranya telah dibunuh atau telah ditawan oleh askar-askar melayu dan tentera British.
Lantas tanpa berfikir panjang, pegawai pemerintah tentera Jepun itu mengumpul seramai lebih 300 orang kekuatan tentera Jepun untuk pergi mencari dua pasukannya yang hilang tadi di dalam hutan. Mereka mencari dengan mengikut jejak yang masih boleh dikesan oleh pasukan terdahulu.
Setelah seharian berjalan di dalam hutan yang semak di dalam belantara, mereka semua merasakan berada dikawasan yang aneh dimana kawasan tersebut adalah kawasan lapang dan tiada rumput. Ianya bersih umpama ada kampung bunian di tengah-tengah hutan. Terdapat juga pokok-pokok yang cantik umpama dijaga rapi.
Sedang meninjau kawasan yang baru mereka sampai, anak mata pegawai pemerintah tentera Jepun itu tertarik dengan keadaan pokok dan saiz sebuah lubang yang besar di kaki bukit. Apa yang menarik pandangan anak matanya adalah apabila dapat lihat pokok-pokok yang ada disekelilingnya habis melentur ke arah lubang di kaki bukit tersebut.
Pegawai pemerintah tentera Jepun beranggapan bahawa askar melayu ada menyorok di dalam lubang tersebut lantas telah mengarahkan tentera-tenteranya yang ada untuk melontarkan semua bom tangan yang ada ke dalam lubang tersebut.
Letupan demi letupan berlaku dan disusuli dengan bunyi dengusan kuat binatang yang besar. Letupan bom tangan yang bertali arus telah meruntuhkan lereng bukit dan menutup lubang besar itu.
Sebaik sahaja letupan bom tangan berhenti, pegawai pemerintah tentera Jepun terus mengarahkan askarnya untuk memeriksa apa yang ada disebalik runtuhan bukit berkenaan.
Adalah amat mengejutkan apabila mereka telah menemui sebiji mata ular yang sangat besar iaitu sebesar sebiji kelapa muda. Oleh kerana itu, pegawai pemerintah tentera Jepun terus mengarahkan tenteranya mengebom semula runtuhan itu dari atas pula.
Pengeboman kali ke dua ini telah mendedahkan badan seekor ular yang bersaiz gergasi dengan ukur lilit sebesar kawah dan kepala yang sudah hancur terkena bom tangan tentera Jepun. Terdapat tumbuhan yang tumbuh renek di atas badan ular bersaiz gergasi itu dan ia menunjukkan bahawa ular tersebut sudah lama tinggal di dalam lubang tersebut hingga tubuhnya ditumbuhi tumbuhan.
Setelah runtuhan dialihkan, mereka pasukan tentera Jepun pun terjumpa berpuluh-puluh senapang sahabat-sahabat mereka yang dipercayai telah dimakan oleh ular bersaiz gergasi itu tadi.
Lubang besar itu ditimbus semula dengan mengebom lereng bukit yang lebih tinggi dan runtuhannya menimbus bangkai ular tersebut.
Kesahihan cerita ini tidak dapat dibuktikan kerana ianya adalah cerita rakyat yang diceritakan oleh orang-orang tua melalui lisan kepada editor orangperak.com sahaja dan tiada bukti-bukti kukuh melainkan penceritaan secara lisan sejak dahulu hingga ke hari ini.
Dikatakan, kisah ular bersaiz gergasi ini berlaku di kawasan Slim River yang mana berdekatan dengan hutan yang tebal ke arah banjaran titiwangsa.