Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) diangkat menjadi sultan negeri Perak pada tarikh 17 Ogos 1938. Istiadat pertabalan baginda telah berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada tarikh 4 Mac 1939. Baginda adalah merupakan putera buat Almarhum Raja Musa dan cucu kepada Almarhum Sultan Jaafar (Sultan Perak ke 23).
Baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) telah diputerakan di Kampung Bandar pada tarikh 14 November 1887. Baginda telah menerima pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese yang terletak di Teluk Intan. Kemudian, baginda meneruskan pendidikan di Sekolah Inggeris Central di Taiping dan seterusnya ke Maktab Babul’d-Darjat Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Pada hujung tahun 1908 setelah baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) tamat pembelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar, baginda terus masuk berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Taiping dan dilantik sebagai seorang Pelatih Pegawai.
Pada tahun 1909 pula, Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Kerian di Parit Buntar dan kemudian pada tahun 1911, berkhidmat di Lenggong seterusnya pada tahun 1912 berkhidmat di Taiping sebagai Penolong Pegawai Daerah Larut dan Matang.
Pada tahun 1914, baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) telah ditukarkan ke Pejabat Pemeriksa Padi yang terletak di Parit Buntar untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Pemeriksa Padi. Dalam tahun 1915, baginda telah lulus peperiksaan ilmu undang-undang dan sekali lagi baginda memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah Hulu Perak di Lenggong.
Baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) merupakan seorang anak gahara yang cukup berpengalaman dan berpandangan luas dalam pentadbiran kerajaan Negeri. Di samping itu, baginda juga adalah merupakan seorang pemain tenis yang cekap.
Selepas perang dunia pertama yang berlaku sebelum tahun 1919 sewaktu Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) menduduki takhta Sultan Negeri Perak, Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) telah diangkat menjadi Raja Muda dan baginda pernah bersemayam di Teluk Intan.
Sejak dari tahun 1920 sehingga ke tahun 1925, baginda telah berkhidmat dalam Pasukan Malayan Volunteer Infantry (cawangan Negeri Perak) sehingga baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) menerima pangkat Kapten.
Pada tarikh 8 Disember 1941 yamg mana Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) sudah menjadi Sultan Perak sewaktu perang dunia kedua meletus yang bermula di sebelah pantai timur di semenanjung Tanah Melayu. Tentera Jepun yang mula mendarat di Patani, Senggora Thailand dan Kota Bharu di Kelantan, lalu menyerang negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
Setelah itu, tentera Jepun mula mara masuk menyerang bahagian utara Perak dan berjaya mengalahkan pihak British di negeri Perak. Tentera Jepun menjajah Negeri Perak sejak dari tahun 1942 sehingga tahun 1945 di bawah pemerhatian seorang Gabenor Jepun yang berpusat di bandar Ipoh.
Sewaktu pendudukan Jepun di negeri Perak, segala gerak-geri baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) sentiasa diawasi oleh pihak tentera Jepun kerana mensyaki baginda ada berhubung dan merancang sesuatu gerakan menentang Jepun dengan Pasukan Gerila Inggeris walaupun sudah memegang takhta sultan negeri Perak.
Pasukan Gerila Inggeris ini juga dikenali sebagai Force 136. Mereka mula menapak di Hulu Perak melalui payung terjun dan ada pula yang mendarat di kuala Sungai Perak melalui laut untuk berperang dengan tentera Jepun.
Seperti semua sedia maklum, tentera Jepun sangat kejam dalam pemerintahannya dan baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) sememangnya tidak suka dengan cara pentadbiran tentera Jepun di Negeri Perak yang banyak mendatangkan kemudaratan kepada seluruh rakyat negeri Perak.
Dalam bulan november 1945, Sir Harold MacMichael yang merupakan seorang pentadbir kolonial British telah datang ke negeri Perak untuk menemui baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) di Kuala Kangsar. Dalam pertemuan itu, Sir Harold MacMichael telah memaksa baginda menandatangani surat perjanjian penyerahan kuasa pemerintahan baginda kepada pihak Kerajaan British.
Menurut perjanjian tersebut, semua Negeri-Negeri Melayu akan digabungkan menjadi sebuah negeri persekutuan yang dipanggil Malayan Union. Atas desakan Sir Harold MacMichael, baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Perak pada tarikh 22 November 1945 dan disaksikan oleh Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah (Sultan Perak ke 32) sewaktu memegang gelaran Raja Muda dan Temenggung Haji Wan Hamaruddin iaitu Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar.
Sewaktu perjanjian tersebut dimanterai, dikatakan perkara tersebut tidak diketahui oleh orang besar-besar dan rakyat di negeri Perak. Malayan Union telah ditubuhkan pada tarikh 1 April 1946.
Sejak pembentukan Malayan Union, semua sultan-sultan negeri yang digabungkan memulaukan istiadat perlantikan Gabenor Malayan Union sebagai tanda protes dan tidak bersetuju dengan penubuhan Malayan Union.
Pada masa yang sama, sebuah badan politik khas untuk orang-orang Melayu yang bernama United Malay National Organisation (UMNO) ditubuhkan dengan diketuai oleh Dato’ Onn bin Jaafar dari Negeri Johor yang mana tujuan utamanya adalah untuk menolak penjajah Inggeris sekaligus menentang kuat terhadap kewujudan Malayan Union yang memberikan kuasa pemerintahan serta pentadbiran kepada Kerajaan Inggeris.
Penubuhan Malayan Union itu umpama merampas kuasa raja-raja Melayu serta menyingkiran lambang kedaulatan raja-raja Melayu dan kuasa ketuanan orang-orang Melayu di tanah air mereka sendiri.
Akhirnya setelah setahun sembilan bulan usia Malayan Union, Kerajaan British menjemput semua sultan yang terlibat untuk berkumpul di Kuala Lumpur pada tarikh 21 Januari 1948 untuk menandatangani satu surat perjanjian yang dinamakan sebagai Perjanjian Persekutuan.
Perjanjian Persekutuan ini secara kasarnya adalah Kerajaan British akan memansuhkan Malayan Union dan mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Pada tarikh keramat iaitu 1 Februari 1948, berlakulah pembentukan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan sejak itu, kuasa sultan-sultan Melayu dikembalikan semula kepada semua sultan negeri yang terlibat.
Tidak lama selepas itu, baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) yang memerintah negeri Perak selama 10 tahun akhirnya mangkat kerana kegagalan fungsi jantung sewaktu berada di rumah rehat di Lumut pada tarikh 26 Mac 1948. Jenazah baginda dibawa pulang ke Kuala Kangsar untuk dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Tahun-tahun pemerintahan baginda Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) cukup mencabar. Bermula dengan pendudukan Jepun dan kemudian kekuasaan pihak MPAJA serta komunis, desakan pihak British untuk Malayan Union dan bermacam-macam lagi.
Akan tetapi, dengan kebijaksanaan dan kesabaran baginda, semua itu dapat diuruskan dengan baik dan wajar untuk masayrakat kita hari ini kenang akan jasa-jasa sewaktu pemerintahan baginda.
Sumber, rujukan dan gambar:
- Sembang Kuala