● OrangPerak
Utama Berita Jejak Warisan Waktu Solat Cuaca Surprise Me!
Menjelang — --:--:--
Subuh
05:53
Syuruk
06:59
Zohor
13:04
Asar
16:21
Maghrib
19:03
Isyak
20:13
Berita

Seramai 100 Orang Tunaikan Solat Istisqa di Kampung Selamat Gunung Semanggol, Mohon Hujan Turun

29 Jul 2025 · 1 min baca · 4,185 ·Oleh Iskandar Zulqarnain

Seramai 100 Orang Tunaikan Solat Istisqa di Kampung Selamat Gunung Semanggol, Mohon Hujan Turun

Kira-kira 100 jemaah hadir menunaikan solat Istisqa di Titi Asmara, Kampung Selamat, di sini, bagi memohon hujan berkat daripada Yang Maha Kuasa.

Solat sunat itu bermula jam 9 pagi dan diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Salehhuddin Abdullah, manakala khutbah disampaikan oleh Sidek Noor.

Menurut Salehhuddin, solat tersebut dilaksanakan sebagai ikhtiar memohon hujan berikutan paras air di Empangan Bukit Merah yang semakin menurun, membimbangkan nasib petani padi serta bekalan air bersih untuk kegunaan harian penduduk.

"Sudah berbulan lamanya kawasan Gunung Semanggol tidak menerima hujan. Selain solat hajat, kita mahukan kerajaan menyegerakan pembinaan projek pemindahan air dari Perak ke Empangan Bukit Merah," katanya.

Beliau menegaskan, kelewatan projek berkenaan boleh mengakibatkan kerugian besar kepada petani di Kerian, khususnya di sekitar Gunung Semanggol dan Selinsing, manakala nelayan darat yang bergantung pada empangan tersebut juga berdepan risiko kehilangan sumber pendapatan.

Penduduk semakin runsing apabila menerima maklumat bahawa bekalan air bersih untuk kegunaan domestik mungkin perlu dicatu dalam masa terdekat.

"Kita harap pembinaan projek pemindahan air ini dapat dipercepatkan kerana kita bimbang kosnya akan terus meningkat. Pada peringkat awal, kos dianggarkan RM300 juta, kemudian melonjak ke RM800 juta, dan mungkin mencecah RM1 bilion," ujarnya.

Tegas Salehhuddin, kelewatan projek ini bukan sahaja menjejaskan petani tetapi turut memberi kesan kepada isu keselamatan makanan negara.

"Kita tidak mahu petani dan nelayan menjadi mangsa keadaan. Tindakan segera perlu diambil sebelum krisis ini menjadi lebih parah," katanya.

Solat Istisqa itu berlangsung dengan khusyuk, mencerminkan harapan masyarakat setempat agar musim kemarau segera berakhir dan bekalan air kembali stabil.

Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Lihat Profil →

Komen (0)

Tiada komen.

Tinggalkan Komen

maks 2000 aksara
Komen tertakluk kepada semakan sebelum dipaparkan.