Pekan Bandor bukanlah seperti Kota Atlantis yang hilang. Pada satu ketika dahulu dalam abad ke 18, pekan Bandor adalah antara pekan yang paling maju di negeri Perak. Ianya adalah disebabkan oleh pelbagai aktiviti perdagangan di sepanjang persisirang sungai Perak.
Kegemilangan pekan Bandor ada ditulis dalam Misa Melayu tulisan Almarhum Raja Chulan sewaktu pemerintahan sultan Perak ke 15 iaitu Almarhum Sultan Iskandar Zulqarnain. Menurut Misa Melayu, terdapat sebuah pulau yang dikelilingi Sungai Perak dan Sungai Kinta yang dinamakan sebagai Pulau Indera Sakti dan pekannya pula digelar Bandar Makmur yang mana kini lebih dikenali sebagai Kampung Bandar atau Bandor dalam dialek masyarakat tempatan.
Pada zaman itu, kawasan pekan Bandor adalah antara kawasan yang paling maju dalam negeri Perak kerana punyai pelabuhan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dan terdapat deretan kedai serta penempatan masyarakat tempatan dan juga pendatang dari luar di sepanjang sungai Perak.
Kemakmuran pekan Bandor berjalan seiring dengan zaman kegemilangan negeri Perak sewaktu pemerintahan sultan yang ke 15 iaitu Sultan Iskandar Zulqarnain. Selain menjadi kawasan perdagangan utama, kawasan tersebut juga adalah merupakan pusat pemerintahan negeri Perak sebelum berpindah mudiknya ke hulu Sungai Perak sehingga ke Bukit Chandan di Kuala Kangsar.
Misa Melayu tulisan Almarhum Raja Chulan
Ketika zaman kegemilangan pekan tersebut, banyak kapal-kapal pedagang dari negara luar datang berdagang dekat sini. Pedagang bukan sahaja datang dari sekitar nusantara, ada yang datang dari China bahkan dari negara India. Pelabuhan di pekan Bandor ini juga turut menerima kapal-kapal dari negara-negara Arab dan juga Belanda.
Kebanyakan pedangang ini datang untuk mengambil bijih timah dan hasil bumi lain di negeri Perak. Pada waktu itu, negeri Perak punyai hasil bumi yang banyak seperti hasil pertanian, damar, rotan dan sebagainya termasuklah bijih timah dari Tanjung Tualang.
Bukti pengaruh Timur Tengah sampai ke negeri Perak dapat kita lihat hari ini dengan wujudnya seni tekad benang emas yang amat popular di negeri Perak. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, seni tekad benang emas ini dipercayai dibawa oleh masyarakat Arab.
Kawasan disekitar pekan Bandor amat hebat pada waktu itu kerana banyak bangunan kedai dan pejabat yang diperbuat daripada kayu. Tidak seperti di negara lain, kebanyakannya menggunakan batu untuk membuat binaan. Ternyata pada zaman itu masyarakat tempatan punyai kebijaksaan untuk menggunakan kayu dalam membina bangunan.
*gambar hiasan
Bangunan kayu dimaksudkan itu termasuklah kedainya yang berderet-deret, rumah, pejabat pemerintahan dan sebagainya. Pada zaman itu, belum ada lagi peristiwa Pasir Salak sewaktu pembunuhan J.W.W. Birch yang mana Bandor telah membangun sebelum kedatangan British lagi.
Pembukaan pekan Bandor bukanlah baru dibuka sewaktu zaman pemerintahan kesultanan negeri Perak. Ia sebenarnya telah wujud sejak negeri Perak dipimpin oleh pembesar-pembesar di negeri Perak lagi seperti pembesar Tok Temong, Tun Saban dan ramai lagi.
Punca hilang dan tenggelamnya kehebatan pekan Bandor ini adalah sejak peristiwa pembunuhan residen British pertama di Perak. British yang datang pada hujung kurun ke 19 selepas diundang oleh Raja Abdullah yang pada masa sama sedang berebut takhta dengan Raja Bendahara, Raja Ismail untuk menjadi sultan berikutan kemangkatan Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah.
Selepas J.W.W. Birch dibunuh oleh Si Puntom ketika sedang mandi, British mula menyerang seluruh kawasan Bandor termasuk Pasir Salak kerana berang dengan pembunuhan residennya. Sejak itu, Bandor mulai sunyi selepas penduduknya lari ke Bidor, Teluk Intan, Bagan Datoh, Kuala Kangsar dan juga negeri-negeri lain.
Sekarang ni Bador telah kosong.. tinggal lah rumah2 lama yg menyembah bumi. Pulau indera sakti pula jadi tempat buaya menjemur diri. Sedih bila mengigatkan zaman kanak2 yg mana ketika itu masih ramai penduduk di sini.