Sebuah kampung yang semakin malar namanya di minda orang ramai dan semakin dilupakan apabila hari diselang seli dengan minggu dan seterusnya sejak ia ditinggalkan. Nama sebuah kampung yang tidak asing lagi pada waktu itu iaitu Kampung Changkat Pinggan sudah lama ditinggalkan pada zaman dahulu.
Hari ini ramai pernah dengar akan nama Kampung Changkat Pinggan tetapi ramai yang tidak tahu bahawa Kampung Changkat Pinggan adalah sebuah kampung yang sudah tidak lagi wujud. Kemanakah mereka semua penduduk Kampung Changkat Pinggan yang ini pergi? Teruskan membaca untuk ketahui kisahnya.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, tidak ada sebagai kisah misteri atau seumpama dengannya berkaitan dengan kehilangan Kampung Changkat Pinggan ini.
Hal yang sebenarnya adalah kebanyakan penduduk di Kampung Changkat Pinggan dipindahkan ke Kampung Tersusun Air Kuning, sesetengah daripada mereka ada juga yang berpindah ke Kampung Baru Sungai Galah dan lain-lain tempat.
Kisahnya kenapa mereka penduduk asal Kampung Changkat Pinggan dipindahkan adalah kerana kawasan Kampung Changkat Pinggan telah diambil alih oleh syarikat Malaysia Mining Corporation untuk tujuan aktiviti perlombongan bijih timah yang banyak dijumpai di kawasan Kampung Changkat Pinggan.
Sepertimana yang kita dapat lihat hari ini, kesan tapak aktiviti perlombongan bijih timah tersebut telah menjadi kawasan penternakan itik dan juga tempat nelayan darat menangkap ikan.
Inilah salah satu sumber ekonomi dan pendapatan bagi penduduk di kampung yang berada di kawasan sekitarnya sejak pada tahun 2006.
Sekadar maklumat tambahan untuk pembaca setia orangperak.com, ketua Kampung Changkat Pinggan yang pertama adalah seorang individu hebat yang bernama Tok Mat Lidin dan seterusnya diganti pula dengan Ketua Kampung yang terakhir bernama Encik Saleh Bin Tan.
Sewaktu Kampung Changkat Pinggan masih wujud, punca pendapatan utama penduduk kampung adalah menangkap ikan, berladang, menoreh getah dan menanam ubi China secara kontrak.
Kampung Changkat Pinggan juga amat terkenal dengan sebagai sumber pengeluaran buah-buahan tempatan seperti buah cempedak dan rambutan.
Menjadi persoalan, kenapakah Kampung Changkat Pinggan ini dinamakan Changkat Pinggan? Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, changkat membawa makna bukit manakala pinggan pula ada penceritaannya yang tersendiri.
Nama pinggan pula yang kononnya pinggan mangkuk akan disediakan oleh orang bunian apabila ada kenduri kendara yang diadakan di kampung tersebut seperti upacara membela kampung setiap tahun dengan mengadakan jamuan bermacam aneka biskut dan kuih yang disediakan oleh setiap penduduk.
Acara membela kampung dibuat dengan cara membaca doa tolak bala dan jamuan makan beramai-ramai sesama penduduk kampung dan inilah adalah antara merupakan satu acara yang wajib dilakukan buat setiap penduduk di kampung tersebut setiap tahun.