Gajah amat terkenal dengan fizikalnya yang besar, kekuatan yang gagah dan kuat sinonim dengan kisah panjang sejarah negeri Perak. Bahkan disebutkan juga oleh Sir Frank Swettenham didalam bukunya “A Real Malay” yang menyentuh mengenai orang Melayu di negeri Perak menyatakan bahawa orang-orang Melayu pandai menjinak dan membela gajah.
Gajah juga pernah menjadi barang dagangan selain dari membantu masyarakat zaman dahulu untuk dijadikan kenderaan, meredah hutan, membawa barangan, menarik balak dan lain-lain lagi.
Disebabkan itu ada beberapa tempat di Perak dinamakan sempena gajah iaitu Batu Gajah, Kampung Gajah dan Bukit Chandan. Bahkan ketika mengadap Sultan Perak yang pertama, Tun Temong telah pergi dan membawa Geliga Embun untuk dipersembahkan kepada Sultan dengan menaiki 77 ekor gajah.
Pada kali ini orangperak.com ingin mengajak pembaca semua untuk menghayati beberapa kisah mengenai gajah yang terkenal di negeri Perak untuk agar kisah ini tidak hilang diarus zaman.
1. Gajah Chapang Pileh, Bukti Kebijaksanaan Sultan Negeri Perak
Pada tahun 1806, Sultan Abdul Malik Mansur ibni Almarhum Sultan Ahmaddin Shah menaiki takhta dan menjadi Sultan ke 19 Negeri Perak. Pada zaman pemerintahan baginda, Negeri Perak dan Kedah telah diserang dengan hebat oleh angkatan tentera Siam.
Sultan Abdul Malik Mansur Shah mencadangkan kepada Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin agar tentera Kedah bergabung dengan tentera Perak untuk menentang Siam dan menolak untuk memberikan Bunga Emas kepada Raja Siam.
Namun Sultan Kedah Sultan Ahmad Tajuddin tidak yakin dengan gabungan tentera diantara Perak dan Kedah mampu untuk menghalang kemaraan tentera Siam.
Sebaliknya pada tahun 1818, Kedah telah diarahkan oleh Siam untuk menyerang Perak dan mengumpulkan askar dan peralatan perang dalam membantu Siam menghadapi serangan dari tentera Burma. Kedah menurut arahan tersebut dan mempersiapkan tentera dibawah pimpinan Tengku Yaacon dan Bendahara Kedah kemudiannya menyerang Perak.
Tentera Perak yang daripada lelaki dan wanita mempertahankan negeri ini dipimpin oleh Che Panjang bin Maharaja Lela Uda Tahir. Namun Kedah kemudiannya menarik semula serangan ke atas Perak dan mula berunding mengenai syarat-syarat perdamaian.
Pada 1821, Siam menyerang Kedah dan Perak sebagai bertindak balas ke atas hubungan persahabatan di antara Perak dan Kedah. Perak telah dipaksa untuk menghantar ufti berupa bunga emas sebagai tanda berada dibawah Siam.
Selepas beberapa tahun, Sultan Abdul Malik Mansur Shah menghadiahkan kepada Raja Rama II iaitu Raja Siam seekor gajah ganjil yang bernama Chapang Pileh yang membawa makna yang terpilih.
Gajah tersebut dijumpai oleh Toh Muda Panglima Kinta Ngah Abdul Sam sewaktu berada di dalam hutan di Kinta. Raja Rama II sangat menyukai dan baginda Raja Siam kemudiannya membebaskan Perak dari kekuasaan Siam.
2. Kulup Chandan, Gajah Kesayangan Sultan Yusuf
Pada peringkat awal, tidak ada istana dibina kukuh daripada batu untuk Sultan Perak bersemayam. Istana Sultan Perak cuma rumah yang dibina daripada kayu yang bermutu tinggi sahaja yang dibina di tepi Sungai Perak. Kawasan di tepi sungai Perak terutama di Hilir Perak yang sememangnya tidak ada kawasan berbukit-bukau.
Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, baginda telah membuat istana (Istana Negara) di atas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari (Sungai Perak) kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah.
Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan. Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan.
Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu.
Setibanya baginda di kaki gunung, baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata, “Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana di atas bukit yang di pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu…”.
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan “orang tua” tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
3. Si Larut, Gajah Yang Menemukan Klian Pauh
Kisah di Taiping semuanya bermula apabila seekor gajah bernama Si Larut milik Long Jaafar tiba-tiba hilang. Setelah beberapa hari mencari akhirnya Si Larut telah berjaya ditemui di tapak yang kini menjadi Penjara Taiping.
Walaubagaimanapun, setelah Long Jaafar menjumpai gajah tersebut, beliau berasa agak hairan melihat gajahnya diselaputi lumpur yang keras dan seperti ada butiran-butiran logam.
Pelik dengan kejadian itu, Long Jaafar mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut. Setelah mengetahui ketulan yang menyelaputi Si Larut itu adalah bijih timah, Long Jaafar telah pergi ke Pulau Pinang dan berjaya membawa balik 20 orang Cina ke Larut untuk menjalankan kegiatan perlombongan.
Selepas itu, lombong bijih timah yang dibuka oleh Long Jaafar di Klian Pauh telah mendapat keuntungan besar. Keadaan itu menyebabkan semakin ramai orang Cina berhijrah ke Larut untuk menjadi pelombong bijih timah. Dipercayai nama daerah itu dinamakan Larut sempena nama gajah Long Jaafar.
4. Peristiwa Akibat Dendam Si Gajah Di Sungai Kerawai Teluk Intan
Pada 17 September 1894, kereta api yang sedang dalam perjalanan tiba-tiba diserang di Sungai Kerawai, Teluk Intan. Ketika kejadian, kereta api wap yang membawa tiga gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.
Sebaik sahaja tiba di Teluk Anson yang kini dikenali sebagai Teluk Intan, kereta api yang dipandu seorang warga Inggeris itu diserang sekawan gajah jantan yang sememangnya menunggu di situ lalu merempuhnya secara berdepan.
Kejadian itu berlaku pada waktu senja diantara jam 5 hingga 7 petang dan tempat kejadian juga memang gelap kerana terletak di kawasan hutan. Sememangnya diketahui yang gajah amat sensitif akan bunyi bising dan lampu yang cerah.
Kereta api berkuasa wap dipandu laju antara 60 km ke 80 km sejam dan ia dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap. Akibat rempuhan yang kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian.
Tengkorak kepala gajah jantan itu kini disimpan di Muzium Taiping, Perak dan tulang pahanya disimpan di muzium KTMB manakala gadingnya difahamkan dibawa ke England.
Tulang paha gajah jantan itu setinggi kira-kira hampir semeter itu masih disimpan elok dan dipamerkan di ruang legar mini muzium KTMB di ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.
Itulah 4 penceritaan ringkas yang dapat kami dari orangperak.com kopilasikan secara ringkas berkenaan dengan cerita hikayat gajah di dalam sejarah Perak.
Sepertimana yang diberitahu di awal artikel tadi, orang Melayu di negeri Perak amat pandai dalam menjinak dan membela gajah. Pada satu ketika dahulu, gajah adalah pengangkutan utama buat mereka yang berada dan berkuasa. Inilah antara haiwan yang secara tidak lansung menjadi simbolik yang melambangkan sejarah Perak.