25.5 C
Ipoh
Wednesday, 15 January 2025

Kemasyhuran Hulubalang di Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Sejarah Kegemilangan Kesultanan Melaka sememangnya tiada bandingan. Kemasyhuran Melaka dek adanya Bendahara Tun Perak, kegagahan Melaka disanding bersama Laksamana Hang Tuah.

Jangan kita alpa, Perak juga mempunyai susur galur daripada Kesultanan Melaka dan sudah tentu Kesultanan Perak juga setanding Kesultanan Melaka. Ungkapan anak Melayu pantang menderhaka, tak hilang Melayu di dunia antara kata keramat dari Laksamana Hang Tuah.

Filem Puteri Gunung Ledang menyematkan kepada kita tentang kedaulatan Sultan Mahmud Syah seorang raja yang berdaulat pasti ada tulahnya. Persis daulat pewarisnya yang telah dikirim ke Perak untuk ditabalkan sebagai Sultan Perak.

Sekongkong Tanah Minangkabau, selilit Pulau Perca, di lengkong ular Saktimuna, perpisahan Beta di Selat Melaka, jika sah beta Raja berdaulat, lepaskanlah sekalian malapetaka.

Garapan artikel kali ini, melihat kepada keampuhan dan kehandalan si pendamping sultan satu ketika dahulu. Jika Melaka digagahkan dengan kepintaran bendaharanya dan kehandalan laksamananya, begitu juga legasi baginda di bumi Perak ini.

Ketangkasan, kebijaksanaan, kemasyhuran, kehandalan berpencak, ketidakmampanan tubuhnya dek senjata, kesetiaan setanding sumpah setianya Laksamana Hang Tuah, kecekapan dalam berniaga dan ketinggian leluhurnya memetakan kehebatan Kesultanan Perak di mata dunia.

Mengikut nalar penelitian dan pembacaan penulis, kehebatan dan kemasyhuran pembesar-pembesar, kehandalan hulubalang dalam bersiap siaga mempertahankan kedaulatan sultannya tiada diragukan lagi.

Rungkapan artikel ini hanya membataskan kemampuan penulis yang tiada ertinya nilai sama sekali dengan jasa dan pengorbanan hulubalang-hulubalang dan pembesar-pembesar negeri yang berdaulat ini.

Di sisipan ruang artikel orangperak sudah memerihalkan tentang kehebatan tokoh-tokoh pembesar negeri, kehandalan panglima-panglima, kepintaran keturunan Ngah Ibrahim dalam memacu ekonomi perlombongan bijih timah di Perak dan sumpah taat setia orang kebanyakkan dalam merealisasikan ungkapan Pantang Anak Melayu Menderhakai Sultannya.

Kegemilangan kesultanan Perak diawali dengan kisah kekebalan tubuh Tun Saban tidak mampan dek bedilan senjata Istinggar Megat Terawis. Turut disusuli dengan kisah kebijaksanaan dan kehandalan Panglima Bukit Gantang dalam melaksanakan perintah sultan mempertahankan bumi Perak dari serangan tentera Siam dan kepintarannya dalam kisah perkahwinan putera Sultan Abdul Malik Syah bernama Raja Kecik Tengah Ahmad berkahwin dengan Cik Puan Busu, Puteri Raja Bugis Daing Masah.

Kesultanan Perak bukan sahaja terletak kepada kehebatan hulubalang-hulubalangnya tetapi kemasyhuran yang dikaitkan dengan Perak tidak lain kekayaan hasil bumi bijih timah yang di jumpai oleh pembesar Long Jaafar di Larut. Olahan kisah persahabatan manusia bersama seekor gajah yang bernama Si Larut.

Kemasyhuran Hulubalang di Perak

Kehebatan kisah pelayaran Tun Saban bersama Nakhoda Kassim mengharungi gelora Selat Melaka bukan itu noktahnya, keajaiban pembesar Melayu Perak dalam menjinakkan gajah telah seolah memberitahu kepada kita tentang kehebatan Kesultanan Perak bukan sahaja di lautan malahan di daratan juga. Kekayaan Long Jaafar diwarisi oleh anaknya Ngah Ibrahim yang membawa gelaran Orang Kaya Menteri.

Kenikmatan hasil kekayaan bumi Perak dihisap dan dikikis oleh penjarah Belanda, kekayaan turut diintip oleh pihak British juga memasang niat untuk menguasai perlombongan bijih Timah di Perak.

Pementerian Perjanjian Pangkor 1874 menjadi batu asas bertapaknya Residen Britih yang pertama J.W.W Birch di bumi berdaulat ini. Perebutan kuasa pemerintahan di peringkat tertinggi sehingga peringkat terendah menjadi nanah dan petanda zaman kejatuhan Kerajaan Negeri Perak.

Perebutan takhta pemerintahan di antara Sultan Abdullah dengan Sultan Ismail menjadikan tunning point pihak British untuk camputangan di Perak. Kebejatan nafsu serakah J.W.W Birch memicu api kebencian anak watan terhadap kebiadapan residen itu.

Penafian kuasa Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu dalam mengutip cukai menambah lagi kebiadapannya. Penulis tidak bermaksud untuk mengetik semula artikel yang sudah termaktub di ruangan orangperak ini.

Semangat Nasionalisme sememang sudah tertanam di lubuk anak watan Perak, kesabaran bangsa Melayu juga bertahap, jangan pernah diusik sama sekali anak bini mereka, jangan pernah sekali diusik agama mereka, jangan pernah sekali diusik sultan mereka kelak nahas menimpa. Sejarah Perak tidak pernah melupakan kisah perjuangan mereka. Bermula di peringkat golongan istana sehinggalah golongan rakyat kebanyakkan.

Pantang dilanggar kedaulatan dicabar dan ketidakakuran sudah bermaharajalela maka sudah pasti ajalmu terpahat di bumi yang berdaulat. Mungkin Residen British tidak pernah atau tidak mahu tahu tentang kedaulatan Sultan Perak ketika masa dahulu.

Maka tercetuslah kisah tragis rancangan untuk menamatkan sahaja riwayat si bedebah mesti direalisasikan segera perintah Sultan Abdullah menjadi kata keramat Anak Melayu Pantang Menderhaka Sungai Perak dahagakan darah petualang ini.

Rasa tidak menjadi keperluan kepada penulis untuk membicarakan tentang kisah tragis ini kerana ianya sudah dinukilkan, cuma dikesempatan artikel ini penulis menyenaraikan beberapa orang hulubalang Perak yang hebat antaranya:

  • Seri Andika Raja ( Tun Saban )
  • Panglima Bukit Gantang
  • Panglima Kinta
  • Dato Sagor ( Sri Agar )
  • Dato Maharaja Lela Tan Lela
  • Panglima Hitam ( Tengku Daeng Kuning )

Kemasyhuran Hulubalang di Perak

Penulis juga tidak menyisihkan dan menafikan kehebatan sejarah Perak turut ditunjangi kisah pengorbanan pembesar-pembesar Melayu antaranya Siputum, Pandak Endut, Ngah Ibrahim, Che Gondah, Laksamana Muhammad Amin, Sultan Ismail dan Panglima Perang Semaun.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh pejuang ini. Matinya tidak dipinta disebut apatah lagi ditagihi darjah pingat kebesaran… mati pada jasad tapi hidup pada perjuangan generasi ke depan.

Dikesempatan lain kalinya, penulis akan cuba merungkai lagi tentang kehebatan perjuangan anak watan negeri berdaulat ini dalam memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan dan kemegahan khususnya di bumi Perak Darul Ridzuan.

Rujukan:

- Advertisement -
Nasuha Ahmad
Nasuha Ahmad
Tanpa Sejarah Kita Belum Tentu Manusia Yang Bertamadun
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here