Sebut sahaja nama Bukit Chandan, semua orang tahu inilah kawasan yang cukup terkenal dengan lokasi istana rasmi Sultan Perak iaitu Istana Iskandariah yang telah siap dibina pada tahun 1933 dan dinamakan bersempena nama Paduka Seri Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918 hingga 1938.
Cukup indah kawasan kampung yang berdekatan dengan Bukit Chandan. Sesiapa sahaja yang lalu dikawasan tersebut, pasti akan terpegun dengan keindahan dan pemandangan pepohon yang rendang disepanjang bahu jalan. Tambahan pula dengan tersusunnya rumah-rumah lama yang ada disekitar kawasan tersebut.
Walaupun begitu, masih ramai yang tidak pernah tahu akan asal usul dan sejarah bagainama kawasan tersebut dinamakan dengan nama Bukit Chandan. Kawasan tumpuan masyarakat yang penuh dengan khazanah yang dipelihara ini punyai ceritanya yang tersendiri dan amat menarik untuk diketahui.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, menurut penceritaan orang lama di kawasan Bukit Chandan yang bersembang bersama editor kami. Nama Bukit Chandan diambil sempena nama seekor gajah kepada Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah (Sultan Perak ke 27) yang memerintah negeri Perak selama 10 bulan sahaja.
Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah
Gajah Sultan Yusuf Sharifuddin itu bernama Kulup Chandan. Hendak dijadikan cerita, pada satu hari Kulup Chandan iaitu gajah tersebut telah lari lalu Raja Idris (Sultan Perak ke 28) bersama-sama dengan hulu balang yang lain pergi mencari dan menjejaki gajah Sultan Yusuf sehingga ke kaki gunung Bubu.
Semasa sedang sibuk mencari-cari, Raja Idris bertembung dengan seorang orang tua yang berjanggut panjang memakai jubah putih. Lantas orang tua itu datang sembah dan berkata, “Tuanku bakal menjadi Sultan Perak. Setelah Tuanku ditabalkan menjadi Sultan, janganlah bersemayam di Sayong tetapi hendaklah Tuanku membuat istana di atas bukit pinggir Batang Hari. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah Tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan Tuanku”.
Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28, baginda pun menunaikan janji dan pesanan yang dibuat dengan orang tua yang ditemuinya di kaki gunung Bubu. Maka pada tarikh 29 Julai 1887 iaitu hari pertabalan Sultan Idris I menjadi sultan Perak yang ke 28, bermulalah kawasan di sekitar istana rasmi Sultan Perak dikenali dengan nama Bukit Chandan.
Jika anda ada kelapangan masa, datanglah ke Bukit Chandan dan melawatlah ke Galeri Sultan Azlan dan macam-macam lagi lokasi yang menarik untuk mempelajari dan mengetahui susur atur kesultanan Perak. Bertuah penduduk disekitar kawasan Bukit Chandan kerana kawasan disana amat tenang, aman damai dan tidak sibuk walaupun tidak jauh dari jalan utama.
Sultan Idris I
Kawasan kejiranan di sini pula kelihatan tenang dan jauh daripada kesibukan bandar memandangkan lokasi yang terletak agak jauh daripada jalan utama, malahan penduduknya juga beruntung dengan suasana aman damai di situ. Jadi, inilah coretan ringkas berkenaan dengan asal usul dan sejarah bagaimana kawasan Bukit Chandan dinamakan.