25.5 C
Ipoh
Tuesday, 14 October 2025

Istiadat Tabal Mandi Balai, Simbol Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Diraja Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Istiadat Tabal Mandi Balai, Simbol Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Diraja Perak

Setelah lebih 43 tahun tidak diadakan, Istiadat Tabal Mandi Balai hari ini kembali diadakan sebagai sebahagian daripada Istiadat Pertabalan Dato Panglima Kinta Ke-18, Dato Ab Wahab Azizul Hassan di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta. Upacara bersiram ini disempurnakan oleh waris-waris Ab Wahab sambil disaksikan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; tetamu kehormat, Orang Besar Jajahan lain serta ahli keluarga dalam satu majlis penuh adat dan sejarah.

Air yang digunakan dalam istiadat berkenaan diambil dari tujuh sungai di sekitar Kinta, iaitu Sungai Seno’oi di Kampung Sungai Tonggang, Sungai Kinding, Sungai Pinji, Sungai Raia, Sungai Buntong di Bukit Leluhur, Sungai Kledang dan Sungai Papan. Tujuh buyung tradisional digunakan sebagai bekas air tersebut, melambangkan kesinambungan warisan turun-temurun.

Persamaan dengan Istiadat Pertabalan Sultan Perak

Menurut pengkaji sejarah dan adat istiadat tempatan, Fazil Shuhaimi Talib, istiadat ini mempunyai persamaan dengan Istiadat Tabal Pusaka dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak.

Beliau yang juga salah seorang waris keluarga Dato Panglima Kinta menjelaskan bahawa jalur keturunan Dato Panglima Kinta atau Ab Wahab bersambung dengan Kesultanan Perak.

“Di Negeri Perak, istiadat ini hanya dilangsungkan oleh dua individu iaitu Sultan Perak dan Dato Panglima Kinta. Ini kerana Dato Panglima Kinta merupakan individu bangsawan yang berketurunan diraja,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

“Jika dikaji susur galur keturunan beliau, ia akan bersambung dengan Sultan Perak Kedua, Sultan Mansur Shah I. Dan oleh sebab itu juga Panglima Kinta memegang gelaran Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja,” tambahnya.

Asal Usul Istiadat Tabal Mandi Balai

Fazil berkata, rekod sejarah menunjukkan istiadat ini mula dilaksanakan oleh Dato Panglima Kinta Ke-12, namun beliau tidak menolak kemungkinan ia telah diamalkan sejak zaman Datuk Panglima Kinta Pertama, Toh Tambak.

“Berkemungkinan Istiadat Tabal Mandi Balai ini merupakan upacara tradisi dan warisan keluarga Dato Panglima Kinta yang telah mencapai usia ratusan tahun,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada tempoh masa tetap untuk mengadakan istiadat ini, namun ia biasanya dilaksanakan tidak lama selepas Sultan Perak memberi perkenan terhadap pelantikan Dato Panglima Kinta.

Keturunan Diraja dari Perkahwinan Sultan dan Orang Asli

Mengimbau sejarah awal keturunan Dato Panglima Kinta, Fazil memberitahu bahawa asal-usulnya bermula apabila Sultan Mansur Shah I mengahwini anak perempuan seorang ketua masyarakat Orang Asli dari suku Semang di Kuala Kinta.

Perkahwinan itu melahirkan beberapa putera dan puteri, termasuk Toh Changkat Piatu atau Kulop Kinta.

“Toh Changkat Piatu kemudian berkahwin dengan Puteri Mazwin dari suku Temiar di Hulu Kinta, melahirkan Tok Chendang. Beliau dianugerahkan gelaran Seri Maharaja Kinta oleh Sultan Muzaffar Shah II atas jasa kebaktiannya,” jelas Fazil.

“Tok Chendang kemudiannya memperoleh zuriat Toh Tambak, yang menjadi Panglima Kinta pertama sekitar tahun 1670 hingga 1710,” tambahnya.

Warisan Unik yang Perlu Dipelihara

Fazil menegaskan bahawa keunikan Istiadat Tabal Mandi Balai perlu dipertahankan untuk generasi akan datang kerana ia memancarkan nilai warisan Nusantara yang tinggi.

“Upacara bersiram biasanya hanya dilakukan oleh golongan sultan atau raja, tetapi di sini ia unik kerana melibatkan Datuk Panglima Kinta yang mempunyai darah diraja,” katanya.

“Jika diamati, istiadat serupa pernah diamalkan di beberapa wilayah Nusantara seperti Indonesia, Filipina, dan selatan Thailand. Ini membuktikan betapa tingginya nilai budaya yang diwarisi,” tegasnya.

Dengan keunikan dan sejarah panjang yang dimilikinya, Istiadat Tabal Mandi Balai terus menjadi simbol penting dalam memelihara warisan kebangsawanan Melayu di Perak.

Gambar oleh Jabatan Penerangan Malaysia

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here