Kesan Perang Larut Tahun 1861 Hingga 1874

Perang Larut merupakan episod empat siri peperangan yang tercetus bermula pada Julai 1861 dan berakhir setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 1861. Konflik perbalahan bersenjata ini melibatkan kumpulan kongsi gelap cina dalam perebutan untuk menguasai lombong-lombong bijih timah di Taiping yang kemudiannya turut menjadi perang proksi antara bangsawan dan kerabat diraja Perak yang berbalah iaitu Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim.

Ramai yang sudah mengetahui kisah sejarah ini namun, pada kali ini orangperak.com melalui sumber sejarah yang lebih mendalam, kami ingin membawa pembaca untuk lebih memahami apa sebenarnya yang berlaku pada masa tersebut sehingga berjaya merubah landskap politik di Tanah Melayu dan kesannya sehingga ke hari ini.

Revolusi perindustrian di Great Britain telah menyebabkan permintaan bijih timah meningkat dengan ketara di eropah. Semenanjung Tanah Melayu merupakan pengeluar bijih timah yang terbesar didunia pada ketika itu.

Namun hasrat British untuk menguasai bekalan timah dari negeri-negeri Melayu terganggu akibat perbalahan dan kekacauan yang melibatkan pembesar-pembesar negeri dan juga serangan lanun di Selat Melaka. Sebelum tahun 1861 , pembekalan timah kepada British daripada daerah Larut berjalan baik. Walaupun Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim mengenakan cukai ke atas hasil timah, pulangan lumayan yang diperolehi oleh British hasil jualan bijih timah telah menampung kerugian yang disebabkan oleh cukai tersebut.

sikh

Perang Larut Pertama 1861 – 1862

Pada tahun 1861 , bekalan timah daripada Larut terganggu disebabkan oleh tercetusnya Perang Larut yang pertama. Konflik ini berpunca akibat pergaduhan mengenai laluan air ke kawasan perlombongan. Sumber air penting untuk proses perlombongan bijih timah kerana kaedah perlombongan palong digunakan. Kerana tidak berpuas hati, kumpulan Ghee Hin di Klian Baru telah diserang oleh kumpulan Hai San dari Klian Pauh.

Gangguan bekalan timah telah menyebabkan pedagang Cina di Pulau Pinang yang telah membuat pelaburan besar di dalam industri perlombongan bijih mengalami kerugian dan mereka telah membuat aduan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat supaya mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan. Disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel William Orfeur Cavenagh telah campur tangan dan akhirnya memaksa Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan. Ngah Ibrahim, bagi pihak Sultan Perak , dipaksa membayar $17,447 sebagai ganti rugi kepada kumpulan Ghee Hin. Kedamaian tiba sebentar di daerah Larut.

Perang Larut Kedua 1865

Perdamaian yang berlansung tidak berpanjangan. Ini kerana kedua-dua kumpulan masih berdendam diantara satu sama yang lain dan sebarang isu kecil akan menyebabkan perbalahan besar. Selang 4 tahun kemudian, Perang Larut kedua meletus berpunca daripada pergaduhan semasa permainan judi melibatkan kumpulan ahli-ahli kongsi gelap. Kumpulan Hai San menawan 14 orang ahli Kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan akhirnya membunuh 13 orang daripada mereka dengan kejam.

Tebusan terakhir berjaya melepaskan diri dan memberitahu kejadian tersebut kepada kumpulannya. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San. Mereka membakar bangunan di dalam kampung itu dan membunuh 40 orang penduduk kampung. Sekali lagi, bekalan keluar bijih terganggu. Perbalahan kali ini sangat teruk dan merebak sehingga ke Seberang Perai serta Pulau Pinang serta turut disertai oleh kumpulan kongsi gelap yang lain. Selang beberapa ketika kemudian kedua-dua pihak yang telah keletihan akhirnya bersetuju untuk mengadakan perbincangan. Hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa British mendapati kedua-dua Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San bersalah kerana mengganggu keamanan Pulau Pinang dan masing-masing dikenakan denda $5,000 dan beberapa pemimpin mereka di buang negeri. Buat seketika, bekalan timah diteruskan.

Namun pihak British mulai risau mengenai perbalahan-perbalahan yang mengganggu bekalan timah mereka. Kerisauan British membuat Ngah Ibrahim mengambil tindakan proaktif dengan mengambil Kapten Tristam Speedy sebagai Setiausaha (Pentadbir) di Larut, khususnya untuk memodenkan sistem pentadbiran di Larut dan meningkatkan keselamatan dan keamanan. Untuk tujuan ini, Kapten Tristam Speedy membawa 110 orang askar Sepoi Sikh dari Punjab ke Perak untuk menggantikan 40 orang Polis Melayu di bawah dana yang disediakan oleh Ngah Ibrahim.

Perang Larut Ketiga 1871 – 1872

Perang Larut Ketiga tercetus setelah khabar angin yang tersebar menyatakan ketua kumpulan kongsi gelap Ghee Hin telah mempunyai hubungan sulit dengan isteri sepupu kepada ketua kumpulan Hai San iaitu Chung Keng Quee. Setelah perlakuan mereka terbongkar, pasangan tersebut telah ditangkap, diseksa dan kemudiannya dimasukkan dalam bakul babi kemudian dibuang kedalam lombong yang tidak lagi digunakan dan dibiarkan lemas.

Sebagai menuntut bela kematian ketua mereka, kumpulan Ghee Hin dengan 4,000 tentera upahan yang dibawa masuk dari tanah besar China melalui Pulau Pinang telah menyerang kumpulan Hai San dan buat pertama kalinya kumpulan Hai San berjaya diusir daripada daerah Larut. Kira-kira 10,000 pengikut Hai San menjadi pelarian di Pulau Pinang. Beberapa bulan kemudian,kumpulan Hai San dengan dibantu oleh Ngah Ibrahim berjaya menduduki kembali lombong bijih timah kepunyaan mereka di Matang dan Larut. Pada masa ini, Raja Abdullah yang menuntut takhta negeri Perak juga musuh kepada Ngah Ibrahim, telah menyokong pihak yang menentang Hai San dan Ngah Ibrahim. Ini kemudiannya mengubah perang daripada kumpulan pelombong cina kepada perang saudara yang melibatkan pembesar-pembesar Melayu Perak.

Kemangkatan Sultan Ali dalam tahun 1871 diikuti dengan perebutan kuasa di kalangan pembesar Melayu, iaitu Raja Ismail, Raja Yusof dan Raja Abdullah . Raja Abdullah tidak menghadiri majlis pengkebumian Al-marhum Sultan Ali telah menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Perak. Akibatnya, segolongan besar pembesar negeri bersama-sama Menteri Larut Ngah Ibrahim menabalkan Raja Ismail sebagai Sultan Perak.

Pembesar negeri di selatan Perak turut memberikan sokongan kepada Raja Ismail dan menabalkannya sebagai Sultan. Pertabalan ini ditentang oleh Raja Abdullah, tetapi Raja Abdullah tidak mempunyai tapak serta sokongan untuk berkuasa. Untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh, Raja Abdullah telah memberikan sokongan kepada kumpulan Ghee Hin dengan harapan sekiranya mereka menang dalam perbalahan mereka dengan kumpulan Hai San, kedudukan Ngah Ibrahim akan terhakis dan kedudukan Raja Abdullah sendiri akan teguh, membolehkan baginda mencabar pertabalan Sultan Ismail sebagai Sultan Perak.

Raja Abdullah juga cuba untuk mendapatkan sokongan daripada pedagang British bernama W.H.M. Read yang juga merupakan rakan perniagaan baginda. Raja Abdullah telah menyatakan kesediaannya kepada Read untuk menerima penasihat British sekiranya baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak. Namunn Gabenor Negeri-Negeri Selat tidak melayan permintaan tersebut kerana hendak memberikan peluang kepada Ngah Ibrahim untuk menyelesaikan masalah Perang Larut tanpa dibantu pihak British.

Akhirnya, askar Sepoi di bawah pimpinan Kapten Tristam Speedy berjaya membantu Ngah Ibrahim mengembalikan penguasaan pihak Hai San ke atas Klian Pauh. Dengan kekalahan itu, kumpulan Ghee Hin tidak berupaya membantu Raja Abdullah dalam usaha baginda untuk ditabalkan sebagai Sultan.

Perang Larut Keempat Dan Yang Terakhir 1873

Perang Larut Keempat meletus pada tahun 1873 , kurang setahun selepas berakhirnya Perang Larut Ketiga. Selepas Kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, Kumpulan Ghee Hin yang disokong oeh Raja Abdullah menyerang balas dengan bantuan askar upahan dan senjata yang dibawa dari Singapura dan China .

Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan. Kekacauan merebak ke daerah Krian, Pulau Pangkor dan Dinding. Pembesar Melayu yang sebelum itu menyebelahi kumpulan-kumpulan Cina yang berbalah, akhirnya terkejut melihat huru hara akibat perbalahan yang disebabkan oleh kumpulan Cina tersebut. Kemusnahan yang dibawa oleh 40,000 orang Cina yang berbalah telah membawa padah besar kepada negeri Perak. Peniaga di Pulau Pinang sekali lagi melihat pelaburan mereka hancur lebur akibat perbalahan dan sekali lagi meminta Gabenor Negeri-Negeri Selat mengambil tindakan untuk memulihkan keamanan di Perak agar perniagaan mereka tidak lagi kerugian

Kerabat Diraja Perak yang terlibat dalam perebutan takhta tidak mampu untuk mempertahankan keamanan di kawasan berkenaan. Keadaan sudah menjadi tidak terkawal dan huru hara yang berlaku membawa padah kepada orang-orang Melayu, Cina dan British. Di dalam buku “The Golden Chersonese and The Way Thither” (Published 1892 G.P. Putnam’s Sons) pengembara era Victoria bernama Isabella Lucy Bird (1831–1904) menyebutkan bagaimana Raja Muda Abdullah pergi berjumpa kawan baginda di Singapura iaitu Tan Kim Ching.

Tan, bersama pedagang Inggeris di Singapura merangka satu surat kepada Gabenor Sir Andrew Clarke yang mana ditandatangani oleh Raja Abdullah. Surat tersebut menyatakan hasrat Raja Abdullah untuk meletakkan Perak dibawah perlindungan British, dan juga untuk menghantar “seorang yang cukup berwibawa untuk menunjukkan (kepada baginda) satu sistem kerajaan yang baik”.Pada 26 September 1872, Chung Keng Quee telah menghantar petisyen yang ditandatangani oleh beliau sendiri bersam 44 ketua cina yang lain, untuk meminta campur tangan British berikutan serangan keatas 12,000 ahli Chung Shan oleh 2,000 ahli Sen Ning.

Keperluan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang di Perak telah menyebabkan British mengubah polisi baru untuk campur tangan dalam urusan negeri-negeri Melayu yang menyebabkan termeterainya Perjanjian Pangkor. Pada 1874, Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Andrew Clarke mengadakan perjumpaan untuk mengadakan perjanjian di Pulau Pangkor, dan akhirnya Sultan Abdullah telah ditabalkan untuk menduduki takhta negeri Perak tanpa kehadiran seteru baginda iaitu Sultan Ismail.

Dokumen-dokumen perjanjian telah ditandatangan pada 20 Januari 1874 diatas kapal HMS Pluto di Pulau Pangkot untuk menyelesaikan perbalahan orang Cina, menyelesaikan perbalahan mengenai tuntutan takhta negeri Perak dan menyediakan jalan kearah wujudnya Residen British di Perak. Kapten Speedy kemudiannya dilantik sebagai pentadbir Larut serta pembantu kepada Residen British.

Chung Keng Quee dan Chin Ah Yam, ketua kepada kumpulan kongsi Hai San dan Ghee Hin, kedua-dua mereka dianugerahkan gelaran Kapitan Cina oleh British dan bandar Larut serta Klian Pauh telah dinamakan sebagai Taiping (Taiping dalam bahasa Cina bermaksud Keamanan Berpanjangan) sebagai meraikan perjanjiaj damai diantara mereka. Tiga hari kemudian, Chung Keng Quee telah dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Perdamaian yang diketua oleh Kapten S. Dunlop, Messrs. Frank Swettenham serta William A. Pickering.

Satu daripada objektif suruhanjaya ini ialah untuk mengaturkan penempatan yang berselerakan di sekitar daerah Larut. Suruhanjaya juga memutuskan untuk membahagikan kawasan perlombongan di Klian Pauh (Taiping) kepada kumpulan Hai San dan Klian Bharu (Kamunting) kepada kumpulan Ghee Hin.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here