Kopi O atau kopi hitam boleh dikatakan sebagai salah satu minuman kegemaran setiap masyarakat di Malaysia. Sudah pasti bahan utamanya adalah biji kopi dan bahan-bahan campuran lain di dalamnya tidak sama dengan kopi berjenama yang dijual di kafe-kafe dan kedai-kedai kopitiam yang moden. Selain itu, warnanya yang hitam pekat menjadikannya berbeza dengan kopi yang dijual di kafe yang berjenama dan mahal harganya.
Kali ini, kami akan menceritakan kepada pembaca setia orangperak.com berkenaan dengan sejarah kopi yang paling popular dan digemari di Taiping. Mereka yang tinggal di Taiping mungkin sudah tahu akan kewujudannya, namun masih ramai lagi yang berada di dalam negeri Perak yang masih tidak tahu akan kewujudan kopi ini.
Kisahnya amat menarik untuk diceritakan mengenai kisah kopi paling diminati di Taiping ini kerana kilang kopi ini yang terletak di daerah Taiping dan yang paling menarik adalah ianya dikenalpasti sebagai antara pelopor kilang kopi yang pernah wujud di dalam negara kita ini dan apa yang menakjubkan, ianya masih lagi beroperasi sehingga ke hari ini.
Kafe Kopi Antong
Bagi penduduk setempat di Taiping, kopi ini dikenali dengan nama Kopi Aun Tong. Segala-galanya bermula pada tahun 1933 dan diusahakan oleh mendiang Encik Tiah bersama-sama dengan sahabatnya iaitu seorang lelaki Melayu yang bernama Ahmad. Pada mulanya Encik Tiah membuka sebuah kedai kopi yang menjual kopi buatannya sendiri dan apa yang menakjubkan, ianya menjadi kegilaan masyarakat setempat pada waktu itu.
Permintaan adalah di luar jangkaan! Ramai pelanggan yang suka datang ke kedainya untuk membeli serbuk kopi campuran yang dibuatnya dan bukan minum di kedainya. Oleh kerana itu, Encik Tiah memutuskan untuk membuka sebuah kilang kopi di Assam Kumbang.
Dengan bantuan kreativiti Ahmad, mereka berdua telah mereka bentuk sistem barisan penghantar (conveyor line) di dalam kilang tersebut dengan hanya menggunakan satu unit motor elektrik. Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, motor elektrik yang digunakan itu dikatakan masih ada dan berfungsi sehingga ke hari ini
Encik Tiah yang mencipta resepi kopi O original dengan menggunakan biji kopi tempatan yang diambil dari Banting, Selangor. Biji kopi ini kemudian diproses dan dicampur dengan sedikit gula dan beberapa bahan rahsia untuk melengkapkan resepi kopi azimat mereka. Maka terciptalah campuran kopi O yang sempurna.
Setelah Encik Tiah meninggal dunia, kilang kopi ini kemudian diwarisi pula kepada anak lelakinya. Kini, kilang kopi Aun Tong ini diuruskan oleh cucunya yang bernama Encik Tian. Sekarang, biji kopi yang digunakan masih lagi biji kopi yang diambil dari Banting dan telah dicampur dengan beberapa jenis biji kopi yang lain yang diimport dari negara Brazil dan juga Indonesia.
Untuk pengetahuan pembaca setia orangperak.com, sekarang ini kilang kopi tersebut bukan sahaja menghasilkan campuran kopi O asli, malah turut mengeluarkan beberapa jenis produk yang lain seperti pracampuran kopi O 3 dalam 1, pracampuran kopi putih 3 dalam 1, durian dan pelbagai lagi. Untuk makluman anda juga, pemilik kilang kopi ini turut membuat penjenamaan semula produk kopi mereka dengan memberi nama kopi Antong.
Salam sejahtera.. Boleh ke kami nak buat lawatan ke kilang ini. #murid pendidikan khas