23.9 C
Ipoh
Tuesday, 10 December 2024

Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping

- Advertisement -
- Advertisement -

Siapa yang berada dalam seni persilatan mesti cukup kenal dengan nama ini iaitu tidak lain tidak bukan Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Dato Meor Abdul Rahman adalah pengasas Silat Gayong Malaysia.

Insan hebat dan dihormati ini dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di sebuah kampung yang bernama Kampung Lake Garden yang terletak di bandar Taiping dalam negeri Perak. Arwah Dato Meor Abdul Rahman dilahirkan dari keturunan Bugis yang punyai kaitan dengan Panglima Hitam dalam sejarah negeri Perak.

Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping

Syarifah Aluyah Binti Syed Zainal al–Attas adalah nama ibu kepada Dato Meor Abdul Rahman manakala bapanya bernama Uda Mohd Hashim Bin Daeng Che Ngah. Daeng Che Ngah ini iaitu datuk kepada Dato Meor Abdul Rahman adalah merupakan anak kepada Raja Bugis dari Makassar, Sulawesi dan beliau adalah Panglima Hitam di negeri Perak.

Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim mempunyai 2 orang adik beradik seibu sebapa iaitu Meor Abdul Aziz dan Siti Saadiah. Selain itu, arwah Dato Meor Abdul Rahman juga punyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan ibunya yang terdahulu.

Apabila Dato Meor Abdul Rahman meningkat remaja, keluarga arwah Dato Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam yang terletak di Taiping.

Beliau mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan peringkat menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School, Ipoh sehingga tahun 1936.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pada asalnya Dato Meor Abdul Rahman mula menuntut ilmu persilatan dengan datuknya sendiri (ayah kepada ibunya) yang bernama Syed Zainal Bin Syed Idris al–Attas. Datuk sebelah ibunya adalah seorang hulubalang negeri Pahang yang terkenal.

Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping

Datuknya Syed Zainal Bin Syed Idris al–Attas hidup satu zaman dengan pahlawan melayu lain yang hebat seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Sejak kecil lagi Dato Meor Abdul Rahman disajikan dengan kisah-kisah pahlawan dan cerita sejarah perjuangan bangsa melayu dari datuknya sendiri.

Berbeza dari rakan-rakan Dato Meor Abdul Rahman yang sama-sama berguru dengan datuknya. Arwah Dato Meor Abdul Rahman menerima latihan intensif setiap hari siang dan malam. Beliau hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk menuntut dan berkhatam ilmu persilatan dengan datuknya itu.

Sejak dari zaman persekolahan menengah lagi, arwah Dato Meor Abdul Rahman sering berulang–alik ke rumah kakaknya yang bernama Hendon (kakak seibu dari perkahwinan ibunya yang terdahulu) di Kota Sarang Semut di Kedah.

Arwah Dato Meor Abdul Rahman dikatakan amat ramat dengan Hendon dan suaminya yang bernama Zainal Abidin seorang anggota polis berpangkat inspektor.

Pernah ada satu cerita yang mana sewaktu arwah Dato Meor Abdul Rahman keluar berburu bersama-sama dengan abangnya Meor Abdul Abdul Aziz dan sepupu bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu dalam hutan, Dato Meor Abdul Rahman tersesat sehingga ke Padang Senai.

Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping

Di Padang Senai, arwah Dato Meor Abdul Rahman telah berkenalan dengan sepasang suami isteri yang bernama Pak Choh dan Tok Mek Jah yang menjual burung di pekan Rabu.

Dato Meor Abdul Rahman mendapat bantuan dari suami isteri tersebut dan membawanya keluar dari hutan dan terus ke selatan Thailand iaitu ke rumah mereka di Mee Nam.

Apabila tiba di rumah Pak Choh yang terletak di Mee Nam, arwah Dato Meor Abdul Rahman pun mandi di sungai yang ada di kawasan tersebut dan tidur berehat disana.

Dalam tidurnya, arwah bermimpi ternampak satu lembaga menjelma yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka.

Lembaga tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Hang Tuah dan menyatakan Dato Meor Abdul Rahman perlu mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak bangun dari tidur, arwah dapat rasakan ada perubahan dalam dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.

Apabila pulang ke Taiping, arwah Dato Meor Abdul Rahman terus menceritakan pengalaman mimpinya itu pada ahli keluarganya yang lain. Selepas mendengar kisah tersebut, datuknya Syed Zainal Bin Syed Idris al–Attas mengarahkan cucunya itu Dato Meor Abdul Rahman untuk pergi menghadap Almarhum Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) yang bersemayam di Manong, Perak.

Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping

Tanpa membuang masa, Dato Meor Abdul Rahman pun pergi menghadap Sultan Perak dan kemudian beliau dititah oleh sultan untuk menunjukkan kekuatannya yang luar biasa di hadapan sultan. Pada sebelah malam pula, arwah Dato Meor Abdul Rahman dititahkan untuk bersilat di Istana Iskandariah yang terletak di Bukit Chandan.

Sultan Perak pada ketika itu Almarhum Sultan Iskandar Shah selaku Sultan Perak yang ke 30 berpuas hati dengan persembahan dan kegagahan Dato Meor Abdul Rahman. Baginda menggelarkan beliau sebagai Rahman Sendo dan menjadikannya anak angkat.

Jangan anda tidak tahu, arwah Dato Meor Abdul Rahman yang merupakan anak angkat Sultan Perak ke 30 ini pernah tinggal di istana bersama-sama dengan sultan Perak sehinggalah Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat pada tahun 1938.

Pernah juga pada satu ketika dahulu ada individu yang mengishtiharkan dirinya adalah Mat Kilau. Lantas Dato Meor Abdul Rahman pun turun ke Pulau Tawar yang teletak di Jerantut, Pahang untuk bertemu dengannya. Ada perkhabaran yang menyatakan bahawa ilmu persilatan yang dimiliki oleh Mat Kilau adalah sama dengan ilmu yang ada pada Dato Meor Abdul Rahman.

Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping

Rakaman video dibawah adalah rakaman yang dibuat oleh sebuah rancangan television dari Perancis yang memaparkan arwah Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim ketika berusia 70 tahun iaitu 6 tahun sebelum meninggal dunia.

Pada 23 Jun 1991, Dato Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah dengan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Arwah meninggal dunia sewaktu berada di pangkuan anakanda kesayangan iaitu Puan Siti Fadzilah di Hospital Pakar Ipoh, Perak.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here