Sifar Ikan Pendatang di Sungai Perak Dalam 5 Tahun, Ini Tanggungjawab Kita

Sifar ikan pendatang di Sungai Perak dalam 5 Tahun? Boleh,tapi bukan mudah kerana ia lebih dari sekadar aktiviti pemburuan.
Sungai Perak bukan sekadar laluan air,ia adalah laluan sejarah,tempat mencari rezeki dan ia juga medan perjuangan ekologi hari ini. Dari Temenggor hingga ke muara Teluk Intan sungai ini menyimpan ribuan kisah, namun hari ini satu kisah mendesak mula menggugatnya,iaitu kisah pencerobohan spesies ikan pendatang yang invasif.
Sudah beberapa tahun isu ini dibangkitkan, kini pihak berkuasa dalam pelan jangka sederhana dan panjang,di mana mereka menyasarkan untuk mengurangkan dominasi spesies invasif dalam tempoh 5 tahun, tapi bila kita melihat situasi di Sungai Perak kita tahu bukan semudah itu.
Sungai Perak adalah sistem sungai kedua terpanjang di semenanjung Malaysia, ia bukan sahaja membekalkan air kepada pelbagai empangan di sepanjang Sungai Perak antaranya ialah empangan Temenggor, Kenering atau Chenderoh. Ia juga menjadi habitat kepada beratus spesies ikan tempatan, antara yang biasa ditemui ialah Lampam Sungai (Barbonymus schwanefeldii), Baung Sungai (Hemibagrus capitulum), Tengalan (Puntioplites bulu), Sebarau (Hampala macrolepidota) dan pelbagai lagi spesies.

Namun sejak ada kemasukan ikan pendatang lebih dua dekad kebelakangan ini seperti Lampam Siam (Barbonymus altus), Peacock Bass (Cichla sp.), Baung Ekor Merah (Hemibagrus wyckioides), Jelawat Siam (Leptobarbus rubripinna) dan pelbagai lagi spesies asing telah mengubah lanskap sungai ini secara drastik.
Menurut laporan penyelidikan oleh sebuah universiti tempatan pada tahun 2021, lebih 35% tangkapan ikan di Sungai Perak kini terdiri daripada spesies bukan asli, ia sebenarnya adalah satu peratusan yang membimbangkan untuk sistem Sungai Perak.
Tapi mengapa sukar untuk basmi dalam tempoh yang singkat? Di bawah ini saya kongsikan beberapa sebab.
1. Kadar pembiakan ikan pendatang yang luar biasa
– Spesies seperti Tilapia Hitam (Oreochromis niloticus), Lampam Siam dan Peacock Bass boleh membiak lebih dari 3 kali dalam setahun,dan ikan betina boleh hasilkan ratusan telur. Tanpa pemangsa semula jadi yang benar-benar berkesan,populasi mereka membiak secara tidak terkawal
– Contohnya dari satu kolam,lombong,atau sangkar yang bocor ke Sungai Perak,cukuplah hanya ada dua ekor induk saja yang terlepas,ia mampu untuk menghasilkan ratusan anak dalam masa beberapa minggu.

2. Ikan tempatan lambat membiak
– Beberapa ikan tempatan seperti Temoleh (Probarbus jullieni),Batu Ulu (Barbichthys laevis),atau Kelah (Tor tambra) adalah spesies yang memerlukan habitat bersih,berbatu,beroksigen tinggi,dan hanya membiak dalam musim tertentu. Jika aliran sungai terganggu,habitat rosak,atau sungai tercemar,mereka tidak akan membiak langsung dan memberi peluang kepada ikan pendatang yang hadir dari kolam atau sangkar ternakan untuk terus mengambil alih,kerana ikan yang diternak memiliki daya ketahanan yang lebih tinggi dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang minimal.
3. Empangan dan fragmentasi sungai
– Kewujudan 4 empangan besar di Sungai Perak menyebabkan fragmentasi habitat, ia telah memisahkan populasi ikan liar dan menyukarkan pembiakan semula jadi berlaku kerana beberapa spesies ikan yang perlu ke hulu sungai tidak dapat melintasi empangan.
– Kebanyakan spesies ikan pendatang pula sudah biasa bertelur di dalam pelbagai jenis persekitaran, maka ia tidak perlu untuk ke hulu sungai untuk membiak,namun ia tetap akan berimigrasi ke hulu sungai untuk terus hidup apabila populasinya terlalu banyak dan mula ketandusan sumber makanan serta habitat.
4. Kurang kawalan terhadap kolam atau sangkar penternakan
– Melalui pemerhatian,didapati lebih 70% kolam atau sangkar ternakan ikan air tawar di sekitar Perak menternak ikan asing seperti Tilapia Hitam, Jelawat Siam, Keli Afrika (Clarias gariepinus), Patin Chao Phraya (Pangasius sanitwongsei), Patin Siam (Pangasianodon hypopthalmus) dan pelbagai lagi. Apabila hujan lebat dan apabila berlakunya banjir atau sangkar pecah, ribuan ekor ikan terlepas ke dalam sistem lembangan Sungai Perak,maka ini telah menyebabkan kitaran pencerobohan berlaku secara berterusan.

5. Aktiviti pelepasan ikan asing masih berlaku
– Seperti yang semua sedia maklum bahawa ada segelintir pemilik ikan hiasan,pemancing dan pengamal agama masih ada lakukan pelepasan ikan asing atas sebab kasihan, sukan memancing dan juga untuk ritual secara langsung ke Sungai Perak, anak-anak sungai yang membentuk Sungai Perak mahu pun tasik atau lombong yang tidak jauh atau ada terhubung dengan anak-anak sungai tersebut. Malahan ada sesetengah penternak juga melakukan aktiviti terlarang ini terhadap stok ikan yang berlebihan atau tidak terjual.
– Oleh itu,ini antara salah satu sebab mengapa populasi ikan pendatang sukar untuk berkurangan walaupun telah ditangkap sebanyak mungkin dan menunjukan ada penurunan populasi, tapi seolah ia seperti bertambah semula.
Namun walaupun ada cabaran besar,sasaran 5 tahun ini masih boleh dicapai jika tindakan diselaraskan dan dilakukan dengan strategi yang berlapis. Berikut adalah langkah penting yang perlu dilaksanakan untuk pastikan sasaran tersebut tercapai.
1. Pemetaan populasi bagi mengesan lubuk ikan pendatang yang invasif
– Mesti dilakukan dengan lebih sistematik menggunakan teknologi sonar,eDNA dan GPS tagging,kita perlu tahu lokasi populasi ikan pendatang yang tinggi di sepanjang Sungai Perak. Kalau kita tak tahu lubuk mana yang ikan pendatang menguasai, mungkin kita kurang berjaya mengekang pembiakannya jika tidak sempat menangkapnya sebelum ia bertelur lagi.
2. Perundangan yang ketat dan pemantauan setiap masa
– Pemantauan kolam,sangkar ternakan ikan asing dan juga kedai akuarium mesti dipertingkatkan,setiap kolam yang berdekatan sungai wajib ada penghadang banjir & sistem rawatan air keluar,manakala sangkar ternakan di sungai pula dilarang untuk menternak ikan asing dan penjual ikan hiasan dilarang menjual ikan yang berisiko dan berpotensi menjadi invasif. Taklimat perlu diberikan untuk mereka mendidik pelanggan supaya jangan melepaskan ikan asing secara sebarangan dan lebih baik jika ada sistem rekod setiap jualan yang kumpulkan maklumat pembeli/pemilik yang perlu diserahkan pada Jabatan Perikanan untuk pemantauan dan pemeriksaan.
– Undang-undang perlu membenarkan denda besar dan penutupan operasi terhadap kolam ternakan yang tidak membina penghadang banjir atau terlalu hampir dengan sungai dan juga terhadap sangkar ikan di sungai yang menternak ikan asing.
3. Menetapkan panduan terhadap pembangunan,perindustrian,dan perladangan
Sebarang bentuk usikan yang membabitkan sungai atau kawasan di sekitarnya sama ada untuk pembangunan,perindustrian dan perladangan perlu mematuhi syarat yang dikenakan bagi memastikan ia tidak menjejaskan air sungai atau tidak merosakan struktur sungai,bagi memastikan habitat ikan tempatan kekal selamat dan terpelihara untuk ia berkembang biak dengan baik.
4. Kempen kesedaran akar umbi
– Ramai pemilik ikan hiasan, pemancing dan penternak kecil tidak sedar kesan melepaskan ikan asing ke sungai,malahan bukan semua ikan tempatan boleh dilepaskan secara sebarangan di luar taburan asalnya. Maka taklimat, bahan infografik dan kempen kepada pelbagai pihak dan semua tempat mesti digiatkan tidak kira sama ada bandar, kampung, sekolah mahu pun agensi kerajaan selain Jabatan Perikanan.
5. Galakkan tangkap dan guna (Catch and Remove)
– Aktiviti memancing dan menjala secara terkawal bagi menangkap spesies ikan pendatang perlu digalakan dan diperketatkan lagi, sama ada dilupuskan atau galakkan penggunaannya sebagai sumber protein,sebarang pelepasan semula (tangkap dan lepas) adalah satu kesalahan. Sebagai alternatif selain pelupusan ikan pendatang secara terus,ia boleh dijadikan makanan haiwan,bahan baja organik atau produk komersial.
– Selain itu,sistem dan panduan bag limit dan saiz yang dibenarkan untuk tangkapan ikan tempatan perlu dikuat kuasakan bagi mengelakan eksploitasi berlaku terhadap ikan tempatan.
Sungai Perak adalah warisan yang masih boleh diselamatkan, sinar harapannya masih ada. Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2020 menunjukkan bahawa beberapa lubuk di hulu Sungai Perak masih mengekalkan biodiversiti asal yang tinggi dengan populasi ikan tempatan yang masih stabil tetapi sangat terhad. Maka kita perlukan lebih banyak kawasan untuk konservasi dan jadikannya sebagai ‘safe house’ bagi ikan tempatan untuk membiak dengan jayanya.
Malahan pengalaman dari negara luar seperti New Zealand dan Jepun membuktikan bahawa program penyingkiran spesies ikan pendatang boleh berjaya jika dilakukan secara berterusan dan melibatkan masyarakat,benda ini sudah pun terbukti di beberapa tempat di negara kita seperti tasik, lombong dan sungai di mana sudah ada pun beberapa lubuk yang mengalami penurunan atau kehilangan pelbagai spesies ikan pendatang akibat dari aktiviti penangkapan secara berterusan dan konsisten.
Sungai Perak milik kita semua,kita tak boleh biarkan lagi Sungai Perak menjadi ‘kolam ternakan terbuka’ kepada spesies pendatang. Jika generasi hari ini lalai,generasi akan datang bakal hidup dengan ekosistem sungai yang telah pun alami kerosakan dan tidak berguna pada mereka.
Tempoh 5 tahun adalah isyarat,bukan sekadar angka,ia penanda aras untuk kita mula bergerak hari ini. Saya percaya jikalau semua pihak bersatu dan sepakat baik dari kementerian hinggalah pemancing, nelayan, pemilik ikan hiasan dan NGO, Sungai Perak boleh kembali bernyawa. Dan bila ia kembali, bukan sekadar ikan tempatan yang akan kembali menguasai, tapi ia juga adalah maruah ekosistem negara.
Nukilan asal Jejak Air Tawar