26.3 C
Ipoh
Thursday, 17 July 2025

Setem-Setem Malaya Negeri Perak: Cebisan Sejarah dalam Sekeping Kertas

- Advertisement -
- Advertisement -

Dalam dunia moden yang serba digital, mungkin ramai menganggap setem hanyalah helaian kecil yang kian dilupakan. Namun, bagi para penggemar sejarah dan filateli, sekeping setem mampu menyimpan cerita yang jauh lebih besar daripada saiznya. Ia menjadi saksi bisu kepada perubahan zaman, lambang identiti, dan bukti kesinambungan budaya. Salah satu koleksi yang mencuri perhatian ialah setem-setem Malaya dari Negeri Perak yang dikeluarkan menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.

Lebih Daripada Alat Bayaran Pos

Setem bukan sekadar alat penghantaran surat. Ia membawa bersama naratif tentang siapa kita, dari mana asal kita, dan ke mana arah tuju negara. Siri setem Motif Tempatan dikeluarkan pada tahun 1957 bagi semua negeri di Perseketuan Tanah Melayu termasuk Negeri-Negeri Selat dan menurut catatan rekod, setem siri ini bagi Negeri Perak telah dikeluarkan pada 21 Ogos 1957, hanya 10 hari sebelum Tanah Melayu Merdeka, merupakan antara usaha membina identiti nasional di bawah nama “Malaya”.

Walaupun motif-motif yang digunakan bersifat umum bagi semua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, setem Negeri Perak tetap unik kerana menampilkan potret DYMM Paduka Seri Sultan Yussuf Izzudin Shah, Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan pada ketika itu yang juga merupakan nenda kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Simbolisme Dalam Rekaan Setem

Reka bentuk dan percetakan setem dilakukan oleh Syarikat De La Rue di United Kingdom, yang terkenal dengan kepakaran mencetak wang kertas dan dokumen keselamatan dan masih wujud sehingga ke hari ini. Setiap nilai setem membawa imej yang melambangkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat:

1 Cent – Industri Kelapa (Kopra)

Kawasan seperti Bagan Datoh di Perak terkenal dengan penanaman kelapa secara komersial – antara nadi ekonomi tempatan.

2 Cents – Industri Nanas

Walaupun bukan tanaman utama di Perak, nanas adalah komoditi penting dalam perdagangan Tanah Melayu.

4 Cents – Kerbau Membajak Sawah

Simbol peranan utama kerbau dalam penanaman padi dan kehidupan desa.

5 Cents – Masjid

Melambangkan Islam sebagai agama rasmi dan kepercayaan majoriti penduduk.

8 Cents – Laluan Keretapi Pantai Timur

Simbol kejayaan pembangunan infrastruktur rel di Tanah Melayu.

10 Cents – Harimau Malaya

Lambang keberanian dan identiti negara.

20 Cents – Bot Nelayan

Menggambarkan industri perikanan sebagai sumber rezeki komuniti pesisir pantai.

50 Cents – Orang Asli dan Sumpit

Memberi penghargaan kepada budaya dan komuniti Orang Asli tempatan.

$1 – Bangunan Sekretariat

Kini dikenali sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad, simbol pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu.

$2 – Seni Silat

Menonjolkan silat sebagai warisan seni mempertahankan diri yang penting dalam budaya Melayu.

$5 – Industri Tenun (Songket)

Memartabatkan seni tenunan tradisional sebagai warisan budaya yang bernilai tinggi.

Setem sebagai Naratif Sejarah

Menariknya kini, walaupun setem-setem siri ini bagi Negeri Perak mudah didapati dan mempunyai nilai pasaran yang rendah dalam dunia filateli (kerana jumlah cetakan yang besar), ia tetap menyimpan nilai sejarah yang tinggi kerana ia menjadi bukti bahawa Negeri Perak ketika itu merupakan antara negeri paling maju dalam Persekutuan Tanah Melayu, dan pencetakan setem yang banyak mencerminkan kekuatan ekonomi negeri Perak.

Penggunaan perkataan “MALAYA” pada setiap setem juga bukan sesuatu yang remeh. Ia membawa makna naratif besar untuk menyatukan negeri-negeri di bawah satu bendera – menuju kemerdekaan yang berdaulat.

Akhir Kata: Warisan Dalam Sekeping Setem

Setem-setem ini ibarat jendela kecil ke masa lampau, memperlihatkan bagaimana sebuah negara yang masih dalam proses mencari dirinya telah menggunakan sekeping kertas kecil untuk menyuarakan identiti, sejarah dan harapan masa depan. Bagi pengumpul dan pencinta sejarah, ia bukan hanya koleksi, tetapi dokumen hidup yang merakam perjalanan bangsa.

Jadi lain kali jika anda terlihat sekeping setem lama, jangan anggap ia sekadar hiasan. Barangkali, anda sedang memegang sebahagian daripada warisan negara.

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here