23.9 C
Ipoh
Tuesday, 10 December 2024

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Segalanya bermula selepas Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874. Sejak perjanjian tersebut, pihak British cuba untuk membentuk sistem perundangan Inggeris di negeri Perak dengan sedikit demi sedikit sehinggalah berjaya monopoli perundangan Inggeris di negeri Perak.

Antara langkah pertama pihak British jalankan untuk membentuk kuasa mereka di negeri Perak adalah dengan membina balai polis dan diikuti dengan penjara untuk tahanan lantas terus dengan membuka mahkamah untuk mengadili tahanan untuk diputuskan sama ada bersalah ataupun tidak.

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

*gambar hiasan

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Dr. H.W.C. Leech seorang pegawai daerah di Kinta pada waktu itu dan beliau juga menjawat jawatan kerja sebagai Majistret Kanan Daerah serta pemungut hasil tanah.

Dr. H.W.C. Leech telah membina bangunan besar di tengah-tengah Kota Bharu yang terletak di Gopeng untuk kegunaan beliau menjalankan segala operasi dan tugasnya bersama-sama dengan kakitangan yang berada dibawah tanggung-jawabnya.

Pada tahun 1879, pegawai daerah Kinta ini mula membina balai polis di sekitar Gopeng dan Ipoh yang mana kawasan tersebut adalah kawasan tumpuan dan utama buat penduduk orang melayu dan pelombong cina pada masa itu. Hal ini kerana kawasan tersebut semakin bertambah populasi apabila imigren cina dibawa masuk untuk bekerja di lombong timah.

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

*gambar hiasan

Pada tahun 1884, ibu pejabat Majistret Kinta yang dibangunkan oleh Dr. H.W.C. Leech dipindahkan operasinya dari Kota Bharu yang terletak di Gopeng ke Batu Gajah. Hal ini adalah kerana pada waktu itu, kawasan Kota Bharu semakin tidak bersesuaian memandangkan Batu Gajah semakin membangun.

Dalam tahun yang sama iaitu pada tahun 1884, sebuah penjara dan balai polis dibina di Papan. Pada masa inilah majistret Batu Gajah sentiasa sibuk berulang-alik seminggu sekali dari Papan ke Batu Gajah untuk mendengar kes mahkamah yang diadakan di balai polis.

Pada 29 November 1887, rusuhan-rusuhan telah berlaku di Papan dan pengadilan segera diselenggarakan selepas beberapa hari berikutnya perbicaraan di hadapan Yang Amat Mulia Sultan Perak, Residen British dan Dato’ Panglima Kinta.

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

*gambar hiasan

Selepas perbicaraan, keputusannya adalah dua orang kongsi gelap dihukum gantung manakala sembilan orang ahli kongsi dipenjarakan dan disebat dan 12 orang ahli kongsi gelap didenda. Sejak dari itu, pasukan peronda peronda polis diwujudkan dan rata-rata mereka terdiri daripada kaum Sikh.

Pada tahun 1888, bangunan mahkamah dan quarters perumahan yang pertama untuk majistret di Ipoh siap dibina. Dalam bulan oktober tahun 1888, E.J. Brewster telah memulakan langkah dengan membuka mahkamah polis di Ipoh dengan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang awam serta polis.

Sebulan kemudian selepas itu iaitu dalam bulan november 1888, E.J.C. Tranchell dijawatkan sebagai jawatan penolong majistret yang pertama untuk mendengar kes-kes kecil di kawasan Batu Gajah dan juga Papan setiap tiga kali dalam seminggu.

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

*gambar hiasan

Setahun kemudian iaitu pada tahun 1889, tiga mahkamah rendah dan satu mahkamah rayuan dibuka di Kinta. Lantas dengan pembangunan hebat di kawasan Ipoh pada waktu itu sehinggalah tahun 1895, status Ipoh bertukar menjadi bandar apabila pejabat untuk guru mula dibina.

Pada 14 November 1898 buat pertama kalinya Pesuruhjaya Kehakiman membuka mahkamah untuk persidangan jenayah di Ipoh. Anak kepada J.W.W Birch iaitu E.W Birch sebagai residen British Perak yang ke 7 telah merasmikan Bangunan Mahkamah Baru di Ipoh pada 14 Mei 1906. Bangunan Mahkamah ini terletak di Jalan St. John’s bersebelahan Goodsheds Keretapi.

Majistret yang pertama yang memulakan tugasnya di Bangunan Mahkamah Baru ini adalah Mr. E.A. Cooper iaitu seorang berbangsa Inggeris yang fasih dalam Bahasa Melayu dan Gurmukh ( Punjabi ). Seorang Majistret tambahan telah dilantik pada tahun 1915 untuk menyelesaikan kes-kes tertunda yang semakin bertambah semenjak tahun 1904.

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

*gambar hiasan

Mahkamah Agung kemudiannya dipindahkan ke Pejabat Pelajaran di Jalan Maxwell ( Bangunan Lama ) memandangkan keadaan di bangunan mahkamah di Jalan St. John’s terlalu bising kerana berada terlalu hampir dengan landasan kereta api. Dari situlah Mahkamah Agung buat pertama kalinya dipisahkan daripada Mahkamah Rendah.

Pada tahun 1941, mungkin kerana kedudukan Mahkamah Rendah ini berdekatan dengan tangki-tangki minyak petrol, Mahkamah ini telah dibom oleh pihak Jepun dan ia telah musnah sama sekali. Semasa pendudukan Jepun, Mahkamah Rendah ini telah ditempatkan di bangunan kayu di mana Masjid Negeri berada sekarang.

Dalam tahun 1947 kedua-dua Mahkamah Majistret dan Mahkamah Daerah berpindah ke bangunan baru yang dibina sementara di antara Stesen Keretapi dan Balai Polis. Lokasi ini adalah di mana Hospital Ipoh yang pertama diwujudkan sebelum Hospital Ipoh berpindah ke Jalan Anderson/Jalan Ashby.

Sejarah Penubuhan Mahkamah Di Negeri Perak

*gambar hiasan

Dalam tahun 1952, bangunan dua tingkat di Jalan Kelab yang diduduki oleh Mahkamah dan Kelab Pos dan Telegram telahdiserahkan kepada Mahkamah. Dengan itu sebuah Mahkamah Trafik telah diwujudkan di mana ia ditempatkan di tingkat atas. Oleh itu jumlah Mahkamah yang ada pada masa itu adalah sebanyak 4 buah.

Majistret tempatan yang pertama ialah Tun Mustapha Albakri Bin Haji Hassan. Beliau merupakan Majistret Kelas Kedua. Manakala Pegawai Perkhidmatan Awam Malaya yang pertama memegang jawatan majistret adalah Tun Ismail Bin Mat Shah.Mahkamah-Mahkamah Rendah berpindah ke bangunan baru sekarang, pada 1 Julai 1975.

sumber : Portal Rasmi Mahkamah Negeri Perak

- Advertisement -
Nurul Syahida Aziz
Nurul Syahida Aziz
Penjawat Awam di Majlis Daerah Batu Gajah
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here