29.7 C
Ipoh
Saturday, 18 January 2025

Empangan Chenderoh Pemangkin Pembangunan Negeri Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Negeri Perak sejak dari dahulu merupakan negeri yang mempunyai hasil bumi yang banyak. Hasil yang dikeluarkan ini juga membuatkan negeri Perak antara negeri yang terkaya dan terawal menerima permodenan dinegara ini.

Pada kali ini, kami menyentuh mengenai pembinaan empangan yang memacu kemajuan perindustrian negeri Perak. Inilah kisah sejarah Empangan Chenderoh Kuala Kangsar.

Empangan Chenderoh atau juga dikenali sebagai Stesen Janakuasa Chenderoh terletak di Tasik Chenderoh yang mana lokasinya kira-kira 30 kilometer dari Kuala Kangsar.

Empangan Chenderoh

Empangan ini dibina dipertengahan tahun 1920-an sebagai skim tenaga hidroelektrik untuk kawasan Lembah Kinta dan dianggap sebagai projek pembinaan terbesar di Semenanjung Tanah Melayu diketika itu. Empangan Chenderoh merupakan empangan hidroelektrik dan stesen janakuasa tertua di Malaysia.

Empangan Chenderoh

Pembinaan empangan ini memakan kos lebih kurang 3.5 juta pound sterling dan dibina oleh firma Messrs. Armstrong, Whitworth and Co. dengan separuh daripada keseluruhan kos pembinaan empangan ini ditanggung oleh Kerajaan British melalui skim pinjaman dan Kerajaan British juga mempunyai pegangan saham dalam Perak Hydro-Electric Company (turut dikenali sebagai Perak Hydro).

Dibawah skim ini, syarikat berupaya untuk memperoleh jumlah modal yang besar tanpa meningkatkan cas perkhidmatan. Kerajaan British juga menyediakan jaminan kewangan kepada pelabur yang menyuntik modal kepada syarikat ini.

Empangan Chenderoh

Jaminan ini telah diumumkan kepada orang ramai setelah diminta untuk melakukan sedemikian oleh Parlimen British untuk menjamin ketelusan. Syarikat juga diminta untuk menyediakan perkhidmatan elektrik yang dijana dari Empangan Chenderoh kepada syarikat perlombongan kecil mahupun besar.

Tambahan pula, Perak Hydro tidak mempunyai kuasa penuh keatas operasi Empangan Chenderoh dalam tempoh 80 tahun. Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil alih empangan tersebut selepas 50 tahun.

Disebabkan pembinaan empangan tersebut, aras Sungai Perak telah naik sebanyak 60 kaki. Ini membentuk tasik sejauh 10 batu dari empangan. Beberapa kawasan tanah diatas empangan telah dinaiki air namun kawasan yang terjejas secara relatifnya kecil disebabkan banyak kawasan tebing sungai yang bercerun dan penempatan penduduk yang sedikit.

Empangan ini berukuran enam ratus empat puluh kaki panjang dan lapan puluh kaki lebar dibahagian paling lebar dibahagian asas. Empangan ini dibina menggunakan kaedah yang digemari jurutera pada zaman tersebut.

Empangan Chenderoh

Namun dari beberapa segi, struktur Empangan Chenderoh adalah berbeza dari bentuk popular pembinaan empangan. Berbanding menampung air menggunakan berat empangan itu sendiri, Empangan Chenderoh dibina dengan cerun menghadap ke tasik.

Tekanan dari air tasik akan membuatkan struktur asas empangan tersebut menjadi lebih kukuh. Ianya dibantu dengan beberapa dinding setinggi 18 kaki dibelakang cerun empangan yang dibina menggunakan konkrit yang diperkukuhkah.

Janakuasa menggunakan tenaga wap tambahan yang mampu menjana 5,000 kilowat elektrik juga dipasang sebagai sistem sokongan andainya empangan dilanda banjir ataupun kemarau.

Empangan ini dibina secara melengkung dan lengkungannya telah dikira secara tepat. Ini membolehkan jika banjir besar melanda ianya boleh melimpah keluat dari empangan dengan menuruni cerun kearah parit buang yang telah dibina.

Untuk banjir biasa pula ianya diatasi dengan membuka dua pintu air besi yang berukuran lima puluh satu kaki lebar dan enam belas kaki panjang yang terletak ditengah-tengah empangan.

Ianya mampu melepaskan 60,000 kubik air persaat dan menghalang dari paras air meningkat melebihi dua kaki dari paras bahaya kecuali banjir yang luarbiasa berlaku.

Empangan Chenderoh

Janakuasa yang terdapat di empangan ini terdiri dari dua generator turbin yang setiap satunya mampu menjana sebanyak 9,000 kilowat elektrik. Ianya menjadi sumber tenaga utama kepada Lembah Kinta yang mana mempunyai lombong timah paling banyak di negeri Perak. Tenaga yang dihasilkan oleh Empangan Chenderong juga mampu membekalkan tenaga elektrik sejauh Batu Gajah, Kampar dan Tanjung Tualang.

Pada April 1929 berlakunya mogok oleh pekerja empangan akibat salah faham mengenai pengurangan gaji pekerja. Walaupun menghadapi beberapa rintangan namun pembinaan empangan berjaya disiapkan dan empangan ini secara rasminya dibuka pada 28 Jun 1930 oleh Sir Hugh Cliffor yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi British Malaya diketika itu.

Empangan Chenderoh

Dengan siapnya pembinaan Empangan Chenderoh tersebut, harapan negeri Perak untuk memiliki tenaga elektrik yang mencukupi untuk pembangunan industri akhirnya tercapai tanpa berterusan memusnahkan hutan untuk memperoleh sumber kayu untuk mengoperasikan janakuasa elektrik yang menggunakan tenaga wap. Empangan ini juga merupakan sebahagian rancangan kerajaan untuk menangani masalah banjir yang selalu melanda beberapa tempat di Ipoh.

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here