Rata-rata masyarakat kita hari ini tambahan lagi generasi muda hari ini mungkin tidak kenal atau sudah lupa dengan nama M. Shariff yang cukup popular satu ketika dahulu dalam tahun 1960 an sehingga meninggal dunia pada 6 Julai 1999 kerana sakit jantung.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Allahyarham M. Shariff atau nama sebenar beliau Shariff Awang adalah satu-satunya penyanyi dan pemuzik tempatan yang pernah dapat pengiktirafan daripada pembuat gitar Fender International dari Amerika Syarikat.
Allahyarham M. Shariff terima pengiktirafan tersebut kerana beliau pernah menggunakan semua 30 gitar jenama Fender yang masyhur dalam sepanjang tiga dekad berada bidang seni muzik. Beliau juga diangkat sebagai tokoh Fenderman Asia yang diiktiraf Yayasan Fender, pembuat instrumen gitar terkenal dunia itu suatu ketika dulu.
Anugerah itu adalah sebuah gitar Fender buatan tangan yang bersalut emas 18 karat dan tertera tanda tangan serta bendera Malaysia. Gitar itu berharga RM47,000 kini menjadi koleksi paling berharga Allahyarham selain 75 cermin mata pelbagai bentuk serta 100 pasang pakaian.
Shariff Awang yang dilahirkan di Bagan Serai, Perak pada tarikh 4 Jun 1951 sebenarnya mula melibatkan diri dalam bidang dan dunia seni pada tahun 1964 ketika umur 13 tahun lagi. Jangan anda tidak tahu, lagu pertamanya adalah berjudul Keindahan Pantai yang dirakamkan bersama kumpulan The Zurah.
Allahyarham telah merakamkan 106 buah album dan pernah mengadakan 50 buah konsert serta kerap menganjurkan pertandingan muzik untuk mencari bakat-bakat baru. Antara konsert anjurannya yang paling berjaya ialah Konsert Masih Ada Yang Sayang di Stadium Negara pada 1997.
M. Shariff meninggal dunia ketika usia 48 tahun ketika kena serangan jantung ketika tidur lebih kurang 3.30 pagi di rumahnya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau dikebumikan di dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Jalan Ampang.
Kehilangan seorang penyanyi yang tidak pernah jemu mempopularkan irama 60 an sekalipun selepas beberapa dekad adalah satu kehilangan yang besar dalam dunia seni di negara kita ini. Tidak ramai artis tempatan yang punyai semangat juang irama 60 an seperti Allahyarham M. Shariff pada zaman sekarang.