Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada tahun 1941 sehingga tahun 1945. Penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera Darat ke 25 Jepun menyerang Tanah Melayu pada tarikh 8 Disember 1941 manakala Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos 1945 menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Dalam tempoh 5 tahun pendudukan Jepun di Tanah Melayu adalah satu malapetaka besar buat seluruh penduduk pelbagai kaum di Tanah Melayu. Ianya umpama kiamat kecil yang melanda negara yang mana kehidupan harian terpaksa ditempuh dengan rasa takut.
Berbalik pada tajuk asal kali ini yang ingin diketengahkan oleh orangperak.com adalah berkenaan dengan Sarjan Sasaki Saburo yang berkuasa di Teluk Intan. Sarjan Sasaki Saburo adalah ketua kempetai Jepun (polis tentera) yang menapak di kawasan Teluk Anson yang kini dikenali dengan nama Teluk Intan.
Kekejaman Sarjan Sasaki Saburo cukup digeruni oleh penduduk di Teluk Anson. Pelbagai kisah dan cerita yang tersebar berkenaan dengan kekejaman Sarjan Sasaki Saburo dalam menyiksa tahanan dan mengorbankan sesiapa sahaja untuk memuaskan hatinya.
Terdapat beberapa peristiwa yang akan diceritakan berkenaan dengan kekejaman Sarjan Sasaki Saburo. Semuanya berakhir dengan pengakhiran yang penuh dengan tragis. Ianya berlaku pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Pada 8 Oktober 1942, seramai lima orang cina telah ditangkap oleh tentera Jepun iaitu Chee Kim Lim, Chee Thoong Lim dan tiga lagi individu. Mereka ditangkap dan dibawa ke ibu pejabat M.P. Jepun di Ipoh, Perak.
Setelah dibawa ke Ipoh, mereka semua ditahan dan Chee Thoong Lim telah disiksa dengan melemaskan diri dengan air sehingga pengsan. Tidak cukup dengan itu, setelah Chee Thoong Lim sedarkan diri, mangsa telah dirotan dengam rotan yang cukup panjang dan besar. Kemudian, Chee Thoong Lim dipindahkan ke penjara Batu Gajah. Mangsa dikurung dan disiksa dengan pukul oleh Sarjan Sasaki Saburo.
**gambar sekadar hiasan**
Seterusnya pula berkenaan dengan Koh Soo Keng. Pada 14 Ogos 1944, Koh Soo Keng telah ditangkap dan dibawa ke balai polis Teluk Anson. Mangsa juga turut tidak terlepas daripada siksaan oleh Sarjan Sasaki Saburo sehingga terkorban.
Pada 21 Ogos 1944, Siah Chee Khor pula mangsa seterusnya yang ditangkap dan dibawa ke ibu pejabat M.P. di Teluk Anson, Perak. Mangsa ditahan dan dikurung selama tiga hari. Seperti mangsa-mangsa yang lain, dia juga tidak terlepas daripada kekejaman Sarjan Sasaki Saburo. Mangsa turut diseksa dan kemudian dibawa ke balai polis Telok Anson setelah meninggal dunia pada hari ke empat ditahan oleh Sarjan Sasaki Saburo.
Apa yang berlaku pada tarikh 15 November 1944 cukup tragis. Lim Kang Ping menjadi mangsa seterusnya apabila ditangkap dan dibawa ke balai polis Teluk Anson, Perak. Sarjan Sasaki Saburo tidak melepaskan peluang untuk menyiksa mangsa barunya. Lim Kang Ping digantung ke syiling dengan satu pergelangan tangan dengan tanpa kaki mencecah lantai.
Tidak puas dengan itu, Sarjan Sasaki Saburo menggantungkan Lim Kang Ping secara terbalik dimana kaki diatas dan kepala dibawah. Lim Kang Ping pengsan selepas berkali-kali mukanya ditendang oleh Sarjan Sasaki Saburo dalam keadaan digantung terbalik.
Dalam bulan Disember 1944, Thor Kwee Yong telah ditahan di balai polis Bidor dan malangnya mangsa kali ini telah dipindahkan ke bawah jagaan Sarjan Sasaki Saburo. Thor Kwee Yong diseksa sehingga tidak sedarkan diri dan badannya diselubungi darah.
Pada 19 Disember 1944, mangsa sempat menghantar surat kepada isterinya untuk memberitahu keadaannya dalam penjara dan mengucapkan selamat tinggal kerana tahu dirinya akan meninggal dunia tidak lama lagi. Tidak lama kemudian, mangsa meninggal dunia semasa dalam tahanan.
Kisah seterusnya berkenaan dengan Tan Koon Eng yang telah ditangkap pada tarikh 20 Disember 1944 dan mangsa dibawa ke lokap Teluk Anson, Perak. Mangsa turut disiksa oleh Sarjan Sasaki Saburo dengan tongkat kayu sehingga tidak bernyawa.
**gambar sekadar hiasan**
Seorang individu yang bernama Chan Onn telah ditangkap oleh Sarjan Sasaki Saburo bersama dengan seorang lagi tentera Jepun. Mangsa dibawa ke Sekolah Cina Sam Bin di Sungai Suli, Teluk Anson. Mangsa juga turut disiksa dengan dilemaskan dalam air, kejutan elektrik, digantung, dipukul dan dicacah putung rokok yang masih terbakar ke dalam lubang telinga mangsa sehingga terpadam apinya.
Terdapat juga satu peristiwa dalam bulan Ogos 1945 yang mana Sarjan Sasaki Saburo meminta seorang individu bernama Yee Aha Kee untuk memberikan seorang gadis cantik untuk menemaninya semalaman. Yee Aha Kee enggan dan menolak permintaan Sarjan Sasaki Saburo lantas dipalu belakang kapak ke kepala mangsa sehingga meninggal dunia.
Setelah Jepun menyerah kalah dan mundur dari Tanah Melayu, Sarjan Sasaki Saburo ditangkap dan didakwa oleh Mahkamah Tentera untuk perbicaraan jenayah perang yang telah dilakukan oleh Sarjan Sasaki Saburo. Perbicaraan telah dijalankan pada tarikh 17 dan 18 Jun 1946 di mahkamah Teluk Anson.
Pengakhiran untuk seorang yang amat kejam, akhirnya Sarjan Sasaki Saburo dihukum gantung sehingga meninggal dunia dan sementara menunggu tarikh hukuman gantung dijalankan terhadap dirinya, Sarjan Sasaki Saburo ditempatkan di penjara Taiping, Perak.