26.7 C
Ipoh
Saturday, 7 September 2024

Pereka Utama Givi Asia, Gadis Dari Kuala Kangsar

- Advertisement -
- Advertisement -

Diasaskan pada tahun 1978, jenama Givi kini sinonim dengan pengguna motosikal khususnya bagi yang menggunakan kotak simpanan barang untuk motosikal. Produk-produk keluaran Givi cukup terkenal kerana berkualiti tinggi dan tahan lasak. Pendek kata, memang berbaloi-baloi memiliki barangan Givi kerana memberikan pulangan nilai yang hebat.

Bermula dengan kotak simpanan barang untuk motosikal, kini Givi juga turut menghasilkan aksesori-aksesori lain seperti pakaian menunggang motosikal, sut hujan, helmet, pemegang telefon bimbit dan lain-lain lagi. Malah Givi telah mempunyai beribu-ribu produk yang dihasilkan mengikut jenis dan model motosikal mengikut kesesuaian kehendak pasaran di seluruh dunia.

Di Asia, syarikat Givi mula bertapak di negara Malaysia apabila seorang pengedar produk ini mula membina sebuah kilang di Bukit Beruntung yang diberi nama Givi Asia Sdn Bhd. Givi Asia menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi khas untuk pasaran tempatan. Untuk memenuhi selera tempatan, pereka tempatan diperlukan untuk tugas ini.

Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, pereka utama Givi Asia merupakan seorang gadis yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Gadis tersebut yang diberi nama Rozaida Ahmad Zaki yang kini berusia 33 tahun mendapat pendidikan menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) PDRM, Kulim, Kedah. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di dalam bidang Rekabentuk Industri di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.

Setelah tamat pengajian, Rozaida Ahmad Zaki mula bertugas di Givi Asia pada tahun 2009. Di Givi Asia, tugas Rozaida bukan sahaja untuk mereka bentuk produk-produk untuk pasaran tempatan, malah beliau turut membantu Givi Itali untuk mereka bentuk komponen bagi produk antarabangsa. Menurut Rozaida, produk pertama yang beliau bantu untuk reka ialah windshield atau penghadang angin motosikal.

Pereka Utama Givi Asia Adalah Gadis Dari Kuala Kangsar

Rozaida kemudiannya bertanggungjawab dalam mereka bentuk produk-produk popular Givi di dalam negara seperti sut hujan, komponen helmet, pelekat (decal atau sticker) helmet serta beg sisi (pouch atau fanny bag). Rozaida yang masih belum berpunya ini, sentiasa komited dengan tugasnya sebagai seorang pereka utama Givi Asia. Sebelum memulakan proses reka bentuk sesuatu produk, Rozaida berkata bahawa beliau perlu mengkaji corak pasaran semasa agar produk Givi sentiasa mengikut trend dan permintaan terkini.

Pereka Utama Givi Asia Adalah Gadis Dari Kuala Kangsar

kredit gambar careta.my

“Selepas membuat kajian terperinci, barulah saya akan memulakan proses mereka bentuk dan kemudian proses pembuatan prototaip dan akhirnya peringkat ujian,” terang Rozaida. Setiap produk mempunyai cabaran yang tersendiri. sebagai contoh sut hujan Givi, ia berbeza dari sut hujan yang direka untuk pasaran di negara Eropah kerana cara penggunaan di sana dan di Malaysia agak berbeza.

Pereka Utama Givi Asia Adalah Gadis Dari Kuala Kangsar

kredit gambar careta.my

Di Eropah, sut hujan hanya perlu kalis air ketika menunggang motosikal dan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti panel pantul cahaya dan warna yang terang. Manakala di Malaysia pula, pengguna sut hujan akan menggunakan sut hujan walaupun hujan telah lama berhenti. Justeru, bahan yang digunakan untuk menghasilkan sut hujan di Malaysia perlu tahan panas. Disamping itu, ia juga mestilah ringan dan mempunyai jahitan benang yang kuat kerana pengguna di Malaysia sangat kasar.

Pereka Utama Givi Asia Adalah Gadis Dari Kuala Kangsar

Rozaida juga turut menerangkan bahawa sut hujan perlu dikeringkan terlebih dahulu kemudian barulah sut itu boleh dilipat dan disimpan. Jika tidak, sut hujan tidak mampu bertahan untuk tempoh yang lama. Sebagai salah seorang pengguna motosikal, Rozaida juga turut menguji sendiri produk-produk yang direka olehnya. Bagi Rozaida, untuk menjadi pereka yang bagus, seseorang itu perlu memahami kehendak pengguna dan cara terbaik ialah dengan menggunakan sendiri produk tersebut.

Kejayaan Rozaida merupakan satu contoh bahawa golongan wanita juga mampu untuk berjaya dan bersaing di dalam industri automotif atau industri yang seumpamanya. Namun begitu, Rozaida bukanlah satu-satunya wanita yang aktif di dalam industri berkenaan. Rozaida juga adalah satu contoh bahawa anak kelahiran negeri Perak mampu bersaing dengan pereka-pereka antarabangsa kerana beliau turut membantu Givi Itali seperti yang telah dinyatakan di atas.

careta.my

kredit gambar, sumber penceritaan dan olahan semula dari careta.my

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here