Penemuan Patung Avalokitesvara Membuktikan Kewujudan Kerajaan Melayu Gangga Negara

Terdapat sesetengah pihak yang hanya percaya bahawa orang-orang Melayu mula menetap di negeri Perak setelah kesultanan Perak diwujudkan. Mereka terpengaruh dengan dakwaan bahawa negeri ini hanyalah hutan tebal sebelum kedatangan Sultan Muzaffar Shah tiba.

Untuk menepis dakwaan ini, orangperak.com ingin menceritakan sejarah penemuan patung yang berkait dengan ajaran Buddha dan sekaligus membuktikan wujudnya kerajaan-kerajaan Melayu yang menganut ajaran Hindu-Buddha sebelum tibanya Kerajaan Melaka dan kemudian Kerajaan Perak yang memerintah negeri ini di zaman yang terkemudian.

Sebelum tibanya Sultan Muzaffar Shah yang mewujudkan Kesultanan Perak, terdapat beberapa kerajaan silam yang pernah wujud dan memerintah negeri ini sebelum itu. Kerajaan Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan silam yang terdapat di negeri Perak.

Namun begitu, kurangnya kajian dan bukti serta jumpaan artifak yang dapat menyokong serta menguraikan rahsia kewujudan kerajaan ini berserta kerajaan-kerajaan awal yang lain yang terdapat di negeri Perak.

Kerajaan-kerajaan awal lain yang pernah ada di negeri Perak selain daripada kerajaan Gangga Negara ialah kerajaan Beruas dan Manjung.

Gangga Negara memerintah di Perak dengan jayanya dan mempunyai tamadun yang hebat namun kerajaan kemudiannya dimusnahkan oleh serangan Raja Rajendra Chola daripada India. Apabila Gangga Negara musnah, barulah lahir dua buah kerajaan yang mengambil alih kekuasaannya, iaitu Kerajaan Melayu Beruas dan kerajaan Manjung.

Berdasarkan sumber tempatan iaitu teks Sejarah Melayu, Kerajaan Gangga Negara ialah sebuah kerajaan yang terletak di kawasan Sungai Dinding iaitu dari Kuala Sungai Dinding ke Sungai Dendang dan merangkumi kawasan Pengkalan Baharu, Segari, Beruas, Lembah Kinta, Bidor, Sungai Siput, Pengkalan di Ipoh serta kawasan-kawasan sekitarnya. Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan besar pada masa itu dan pusat pemerintahannya sentiasa berubah-ubah.

Sumber sejarah khususnya daripada Sejarah Melayu yang mengesahkan tentang penyerangan “Raja Suran” dan sekaligus menyatakan dengan terperinci mengenai kedudukan Gangga Negara ini, Sejarah Melayu menyatakan bahawa:

‘‘….., setalah beberapa lamanya, maka Raja Suran pun sampailah kepada sebuah negeri. Gangga Nagara namanya, Raja Gangga Shah Johan nama rajanya. Adapun negeri itu di atas bukit, dipandang dari hadapan terlalu tinggi, dan dari belakang rendah juga: ada sekarang kotanya di darat Dinding ke sana Perak sedikit ….’’

Ayat ini jelas menyatakan bahawa Gangga Negara tersebut berada di kawasan darat wilayah Dinding (kini Manjung) yang berada di negeri Perak. Ibu negeri kerajaan ini diceritakan dengan jelas di dalam kitab Sejarah Melayu iaitu lokasinya yang terletak di atas bukit.

Menurut sumber dari tulisan Ptolemy dalam Geographike Huphegesis yang dicatatkan pada tahun 150 Masihi pula ada menyentuh mengenai sebuah kerajaan yang disebut sebagai “Konkonagara”, dan negara ini dikatakan berada di Sungai Bernam atau Sungai Perak.

Konkonagara seakan-akan menyerupai nama Gangga Negara dan sekiranya kita merujuk kepada catatan Ptolemy ini maka kerajaan tersebut diandaikan sudah pun wujud sekitar kurun ke 2 lagi.

Namun yang pasti bahawa kerajaan itu bertempat di negeri Perak dan lokasinya mungkin di sekitar kawasan yang meliputi kawasan Kinta, Utara Dinding dan Kawasan Perak Tengah. Yang mana kawasan tersebut adalah luas. Tambahan pula, tempat yang begitu tepat bagi kerajaan ini tidak dapat dibuktikan tanpa mempunyai sebarang kesan atau artifak.

Pada awal tahun 1900 an, terdapat beberapa penemuan barangan artifak berupa patung Buddha diperbuat daripada gangsa di Tanjung Rambutan dan juga di Pengkalan di Ipoh pada tahun 1931. Penemuan ini sekaligus menguatkan bukti wujudnya kerajaan-kerajaan awal di Perak.

Kemudian pada tahun 1936 pula telah ditemui sebuah patung jenis Avalokitesvara di Bidor dan ianya menguatkan lagi bukti ini. Hasil kajian arkeologi mengesahkan bahawa patung-patung Buddha ini datang daripada zaman Gupta di India yang wujud pada kurun ke 5 dan ke 6 Masihi.

Penyelidikan dan usaha arkeologi yang dijalankan di kawasan Tanjung Rawa di Kuala Selinsing, Perak seterusnya menemui banyak barang artifak seperti butiran manik, periuk belanga, barangan perhiasan, cincin emas dan cap mohor yang tertulis dalam tulisan Palava.

Hasil kajian secara klinikal mempercayai bahawa bahan-bahan artifak ini adalah daripada kurun ke 7 Masihi. Penemuan bukti arkeologi ini turut menguatkan hujah bahawa sudah wujud sebuah kerajaan awal di Perak selewat-lewatnya pada kurun ke 5 atau ke 6 Masihi yang bernama Gangga Negara.

Patung Avalokitesvara

Patung diperbuat daripada gangsa yang seberat 63 kg dan setinggi 93 cm ialah Avalokitesvara, salah satu “Bodhisattva” seperti kepercayaan Buddha. Ia dijumpai di Bidor, di sebuah bandar kecil di negeri Perak, Malaysia pada tahun 1936 di sebuah kilang bijih timah kepunyaan Anglo Oriental, iaitu sebuah syarikat terbesar bijih timah milik British ketika zaman British Malaya.

Ia diperbuat daripada gangsa dan mempunyai lapan tangan namun satu daripadanya telah patah. Mengikut pentarikhan, patung ini dianggarkan wujud antara kurun ke 7 hingga 12 Masihi pada zaman peradaban Hindu-Buddha.

Diiktiraf sebagai Artifak Warisan Kebangsaan, patung ini dipercayai berusia dalam lingkungan abad ke 7 hingga abad ke 12 ketika pemerintahan Raja-raja Melayu beragama Hindu-Buddha.

Kemakmuran dan kekayaan yang dimiliki hasil kekuatan kerajaan Gangga Negara berjaya mempertahankan diri daripada serangan kerajaan Srivijaya pada tahun 850 Masihi.

Kerajaan Gangga Negara didakwa telah musnah pada kurun ke 11 Masihi, apabila diserang Chola dibawah pimpinan Raja Rajendra Chola pada tahun 1025 Masihi.

Peristiwa ini turut tercatat dalam kisah serangan kerajaan Chola atas Srivijaya dan negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu khususnya peristiwa serangan terhadap kerajaan Kadaram atau Kedah.

Ramai sarjana menyatakan bahawa serangan ini merangkumi penaklukan terhadap kerajaan Gangga Negara. Fakta ini turut sama dipersetujui dalam sumber tempatan khususnya melalui sumber catatan Sejarah Melayu.

Namun, terdapat sedikit perbezaan berkaitan nama raja yang menyerang Srivijaya serta kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara, iaitu Raja Suran. Tidak dapat dipastikan sama ada Raja Rajendra Chola I dan Raja Suran adalah orang yang sama.

Banyak kajian yang mendapati bahawa kedua-dua pemimpin ini sememangnya dua individu yang berbeza. Namun apa yang pasti adalah, kerajaan Gangga Negara yang pernah memerintah dari kurun ke 5 sehingga kurun ke 11 masihi telah dimusnahkan oleh kerajaan Chola pada pada tahun 1025 Masihi.

Ini sekaligus menepis dakwaan bahawa Chola yang membentuk budaya dan peradaban Melayu kerana kerajaan-kerajaan Melayu silam sudah didirikan lama sebelum serangan kerajaan Chola. Serta Raja Suran atau pun Raja Chulan bukanlah Raja Rajendran Chola seperti yang didakwa seperti sesetengah pihak.

Serangan Chola membawa kepada jatuhnya kerajaan Srivijaya dari dinasti Sailendra dan masa serangan itu berlaku hampir sama dengan perjalanan pulang sami terkenal ajaran Buddha iaitu Atisa dari Sumatera ke India pada 1025.

Leave a Comment