Home Blog Page 9

Kerjasama Erat Negeri-Pusat Pemacu Kejayaan Pelan Perak Sejahtera 2030

Kerjasama Erat Negeri-Pusat Pemacu Kejayaan Pelan Perak Sejahtera 2030

Menteri Besar, Dato Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa sinergi mantap antara kerajaan negeri dan persekutuan merupakan antara faktor utama kejayaan Pelan Perak Sejahtera 2030 setakat ini.

Menurutnya, kerjasama padu ini telah memungkinkan pelaksanaan berjaya 108 projek dan inisiatif di bawah pelan berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa Pelan Perak Sejahtera 2030 selari dengan visi Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sinergi ini jelas kelihatan melalui keserasian kepimpinan di peringkat negeri dan persekutuan, serta kesungguhan pelbagai jabatan dan agensi untuk saling melengkapi.

“Kami ingin memperkukuh lagi kerjasama ini demi mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya semasa membentang laporan kemajuan tahun ketiga pelan tersebut di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini semalam.

Saarani turut menyebut beberapa pendekatan kreatif melibatkan agensi negeri dan persekutuan yang memungkinkan kelima-lima projek berimpak tinggi di Perak dilaksanakan dengan pantas.

Antaranya ialah inisiatif Muallim-Speed Lane yang memendekkan proses kelulusan pembinaan sehingga penerbitan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta lesen operasi.

Kerian Green Lane pula mengamalkan prinsip ‘agile regulation’ bagi mempercepat kelulusan di kawasan perindustrian, manakala Land Affairs Express Lane diperkenalkan untuk memendekkan proses kelulusan tanah kepada hanya satu hari, berbanding tiga hingga enam bulan sebelumnya.

“Terdapat juga kerjasama erat dalam pelaksanaan pelbagai program kebajikan rakyat, di mana agensi negeri dan persekutuan berganding bahu meringankan beban golongan memerlukan,” jelasnya.

Laporan tersebut menyerlahkan komitmen kerajaan negeri dalam memacu pembangunan mampan selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Sumber NSTP

Enam Pelatih MAIPk Raih Pingat Perak di Malaysia Culinary World Cup 2025

Enam Pelatih MAIPk Raih Pingat Perak di Malaysia Culinary World Cup 2025

Enam orang pelatih Program Kemahiran Asnaf MAIPk yang sedang mengikuti Kursus Penyediaan dan Pembuatan Makanan di Haaza Centre of Excellence telah mencipta sejarah dengan menyertai Malaysia Culinary World Cup 2025. Pertandingan berprestij itu berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, Ipoh dari 27 hingga 29 Jun 2025, dengan penyertaan lebih 20 negara.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Nur Shafia Irdina binti Anuar, yang berjaya meraih Pingat Perak bagi kategori Modern Western. Kemenangan ini diharapkan menjadi pencetus semangat buat beliau untuk terus cemerlang dalam bidang kulinari.

Menurut MAIPk, seramai 25 orang belia asnaf kini sedang menjalani latihan selama sembilan bulan di Haaza Centre of Excellence bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang kulinari. Mereka dijangka menamatkan latihan pada Julai 2025.

Program Kemahiran MAIPk merupakan inisiatif strategik bagi membantu golongan belia asnaf membina laluan kerjaya yang lebih jelas. Latihan ini juga menjadi ‘jalan pintas’ kepada mereka untuk keluar daripada belenggu pengangguran dan seterusnya menjana pendapatan demi menyara kehidupan keluarga.

Dengan pencapaian Nur Shafia Irdina ini, MAIPk yakin bahawa program ini bukan sekadar melatih kemahiran, tetapi juga membuka peluang kepada peserta untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Temasya Budaya@Negeri Perak Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan Global

Temasya Budaya@Negeri Perak Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan Global

Temasya Budaya@Negeri Perak berpotensi untuk diangkat sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa, sekaligus menarik lebih banyak pelancong asing ke negeri ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris, menegaskan bahawa usaha mempromosikan temasya ini memerlukan kerjasama erat antara agensi pelancongan di peringkat pusat dan negeri.

“Kerjasama strategik ini akan membolehkan temasya budaya ini dijadikan sebagai elemen utama dalam pelancongan kebudayaan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di perkarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) semalam.

Menurutnya, promosi, publisiti, dan pemasaran yang lebih agresif perlu dilaksanakan oleh semua pihak, termasuk agensi pelancongan, agar program seumpama ini tidak hanya dikunjungi pelancong tempatan, malah mampu menarik minat pelancong antarabangsa.

Pemuliharaan Budaya untuk Generasi Muda

Mohd. Amran turut menekankan bahawa penglibatan dalam program sebegini dapat memastikan adat dan tradisi yang semakin dilupakan terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Ada adat dan tradisi lama yang diperbaharui agar lebih menarik, sekaligus mendorong minat generasi muda untuk turut serta mempertahankannya,” ujarnya.

Beliau memberikan contoh adat berendoi (meraikan kelahiran bayi) yang hampir pupus, namun masih dipertahankan oleh beberapa pertubuhan di peringkat kampung.

“Sebelum ini, adat berendoi hanya melibatkan marhaban dan selawat, tetapi saya agak terkejut apabila ia turut diserikan dengan pukulan rebana Perak. Pembaharuan sebegini menjadikan tradisi ini lebih menarik dan relevan,” jelasnya.

Gabungan Kesenian Pelbagai Kaum

Temasya ini turut menampilkan elemen kesenian seperti rebana Perak, tarian dabus, dan seni kraftangan sebagai daya tarikan utama. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi permainan tradisional serta kesenian kaum India, Cina, dan Orang Asli, yang mencerminkan kekayaan kepelbagaian budaya di Perak.

“Ini bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi juga platform untuk mempromosikan perpaduan melalui seni dan tradisi,” tambah Mohd. Amran.

Dengan potensi yang dimiliki, Temasya Budaya@Negeri Perak diharap dapat menjadi antara destinasi wajib pelancong global, sekaligus memacu industri pelancongan negeri ke peringkat lebih tinggi.

Titah Sultan Nazrin Shah : Hijrah Sikap, Pelihara Alam Sekitar

Titah Sultan Nazrin Shah : Hijrah Sikap, Pelihara Alam Sekitar

Dalam titah rasmi sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menegaskan betapa peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi suatu revolusi rohani yang membebaskan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Majlis yang berlangsung di Casuarina@Meru, Ipoh itu mengangkat tema “Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah, Memulihara Bumi”, selaras dengan keprihatinan terhadap krisis alam sekitar yang semakin membimbangkan.

Hijrah: Transformasi Spiritual dan Tanggungjawab Alam
Baginda Sultan Perak menegaskan, Hijrah Rasulullah S.A.W. membawa misi pembebasan ummah daripada kejahilan, sekaligus mengangkat martabat manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi.

“Hijrah membebaskan minda ummah daripada belenggu kejahilan, membina kekuatan rohani, mengukuhkan keyakinan, dan mengangkat martabat ummah menjadi insan kamil berteraskan prinsip agama yang murni,” titah Baginda.

Namun, Baginda mengingatkan, bumi hari ini semakin uzur dengan pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, pemanasan global, kebakaran hutan, dan banjir besar yang mengorbankan nyawa dan harta benda.

Manusia Punca Keruntuhan Alam
Baginda menyeru semua pihak insaf bahawa kerosakan alam berpunca daripada sikap manusia yang rakus, melampaui batas, dan mengabaikan amanah Ilahi.

“Allah S.W.T. murka terhadap mereka yang melakukan kerosakan. Bumi ini pinjaman Ilahi, bukan milik mutlak manusia. Setiap pencabulan terhadap alam—sama ada pencemaran, pemburuan haram, atau kemusnahan habitat—adalah dosa dan pengkhianatan terhadap amanah Allah,” tegas Baginda.

Islam dan Kelestarian: Ibadah yang Diabaikan
Islam, sebagai agama syumul, menitikberatkan kelestarian alam. Baginda mengingatkan, Nabi Muhammad S.A.W. bukan sahaja mengajar ibadah ritual, tetapi juga menekankan kewajipan memelihara alam.

“Menjaga alam adalah ibadah, lambang ketaatan hamba kepada Pencipta. Rasulullah S.A.W. mengajar kita agar berbelas kasih kepada semua makhluk, kerana manusia dan alam saling berkait. Jika alam dizalimi, manusia akan menanggung musibah,” titah Baginda.

Seruan Hijrah Sikap demi Bumi yang Lestari
Baginda menyeru ummah melakukan hijrah sikap—beralih daripada sikap acuh tak acuh kepada kesedaran melestarikan alam.

“Bumi ini rumah sementara sebelum kita kembali kepada Ilahi. Setiap usaha memulihara alam adalah fardu kifayah yang mesti ditunaikan. Pembangunan mesti seimbang dengan pemuliharaan alam,” tegas Baginda.

Misi Rahmatan lil ‘Alamin
Mengutip Surah Al-Anbiya’ ayat 107, Baginda menegaskan, Rasulullah diutus sebagai rahmat seluruh alam. Misi ini mesti diteruskan oleh umat Islam hari ini.

“Kita wajib menjadi pembawa rahmat—melindungi alam, bukan merosakkannya. Setiap bencana yang melanda adalah peringatan Allah agar kita insaf dan berubah,” titah Baginda.

Doa dan Harapan
Baginda berdoa agar Maal Hijrah 1447H menjadi titik tolak perubahan sikap ummah dalam memelihara bumi.

“Semoga tema ‘Hijrah dan Kelestarian’ menyedarkan kita semua. Bumi ini milik Allah, kita hanya khalifah. Hargai nikmat-Nya, jangan derhaka, dan hentikan kezaliman terhadap alam,” pesan Baginda.

“Moga kita dilindungi daripada bencana, hidup dalam rahmat Ilahi, dan wariskan bumi yang lestari untuk generasi akan datang.”

Dengan titah ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak menyeru seluruh rakyat negeri Perak dan umat Islam seluruhnya agar menjadikan semangat Hijrah sebagai pendorong memelihara alam sekitar demi kesejahteraan sejagat.

Sultan Nazrin Lancar ZAPAR, Transformasi Digital Urus Zakat & Wakaf di Perak

Sultan Nazrin Lancar ZAPAR, Transformasi Digital Urus Zakat & Wakaf di Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) sebagai entiti rasmi pengurusan kutipan zakat dan wakaf tunai negeri di Pusat ZAPAR di sini, hari ini.

Dalam titah baginda, penubuhan ZAPAR oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) digambarkan sebagai inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan akauntabiliti organisasi. “Langkah dinamik ini akan memastikan perkhidmatan kutipan zakat lebih berkualiti dan responsif kepada pelanggan serta rakyat,” titah Sultan Nazrin.

Baginda menekankan bahawa kewujudan ZAPAR bakal memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan pembayar zakat melalui tatakelola cekap, teratur, dan berorientasikan digital. “Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menepati sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun,” jelas baginda.

“Kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekaligus meningkatkan ketelusan serta integriti institusi ini,” tegas Sultan Nazrin pada Majlis Pelancaran ZAPAR yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Transformasi Berani Hadapi Cabaran

Menghadapi trend peningkatan kutipan zakat dan cabaran tugas yang kian kompleks, Sultan Nazrin menegaskan kepentingan pendekatan berani. “Amatlah bertepatan untuk mengambil langkah strategik, melakukan penghijrahan, serta mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa cadangan penubuhan ZAPAR telah diperkenankan selepas persidangan MAIPk pada 12 Januari 2024, di mana majlis itu bersetuju menambah baik sistem pungutan zakat melalui penubuhan anak syarikat milik penuh MAIPk.

“Alhamdulillah, niat murni yang disusuli dengan usaha ikhlas telah dimakbulkan Ilahi. Ketika MAIPk genap 78 tahun penubuhannya mengikut tahun Hijri, dengan izin Allah SWT, kita dihimpunkan untuk menyaksikan pelancaran ZAPAR,” ujar Sultan Nazrin penuh syukur.

Pencapaian MAIPk & Faktor Peningkatan Zakat

Baginda turut berkongsi sejarah kejayaan MAIPk yang ditubuhkan pada 23 Oktober 1949 sebagai baitulmal mengurus harta umat Islam, khususnya zakat dan wakaf di Perak.

“Pada 2004, kutipan zakat MAIPk bagi semua kategori termasuk harta dan fitrah hanya RM26.3 juta. Tahun lalu, jumlah itu meningkat kepada RM253 juta, mencatat pertumbuhan 858% dalam 20 tahun,” titah Sultan Nazrin.

Enam faktor utama menyumbang kepada peningkatan ini:

  1. Kesedaran, kefahaman, dan penghayatan umat Islam terhadap kewajipan zakat.
  2. Peningkatan pendapatan umat Islam sama ada secara peribadi, perniagaan, atau pertanian.
  3. Insentif kerajaan seperti rebat cukai pendapatan dan potongan cukai perniagaan bagi pembayar zakat.
  4. Pengenalan sistem wakalah.
  5. Penambahbaikan pengurusan zakat.
  6. Keyakinan masyarakat terhadap MAIPk.

Lawatan & Sesi Bergambar

Sebelum majlis berakhir, Sultan Nazrin berkenan meninjau pejabat ZAPAR, melawat reruai pameran, menandatangani buku lawatan, serta menyempurnakan sesi serahan zakat dan bergambar.

Pelancaran ZAPAR menandakan era baharu pengurusan zakat dan wakaf di Perak, menggabungkan tradisi agama dengan inovasi digital bagi memastikan khidmat lebih efisien dan telus untuk kebaikan ummah.

– BERNAMA

Kerajaan Perak Peruntuk RM20 Juta Setahun untuk Urus 5 Sekolah Tahfiz Negeri

Kerajaan Perak Peruntuk RM20 Juta Setahun untuk Urus 5 Sekolah Tahfiz Negeri

Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan kira-kira RM20 juta setiap tahun bagi pengurusan lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR).

Menteri Besar, Dato Seri Saarani Mohamad, berkata peruntukan tersebut meliputi bayaran emolumen guru, program latihan, makanan pelajar, serta penyelenggaraan sekolah.

Lima SMTDR yang terlibat terletak di Pulau Pangkor (Manjung), Semanggol (Kerian), Lenggong (Hulu Perak), Sungai Lesung (Batang Padang), dan Ipoh (Kinta).

“Belanjawan Negeri Perak 2025 turut memperuntukkan hampir RM112 juta kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk pengurusan institusi Islam, sekolah agama, serta penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur masjid, surau, dan sekolah,” jelasnya.

“Selain itu, sebanyak RM15 juta disalurkan untuk membaik pulih dan membina masjid serta surau baharu, manakala RM5 juta diperuntukkan bagi pemerkasaan institusi pendidikan Islam,” tambah beliau.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, sempena penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan ke-11 Tahun 2025 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta hari ini.

Turut hadir Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.

MIISMAM merupakan program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa agama negeri bagi mencungkil bakat murid melalui pelbagai pertandingan seperti tilawah al-Quran, hafazan, syarahan bahasa Melayu dan Inggeris, khat, nasyid, serta kalam jamai’e.

Tahun ini, Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan MIISMAM.

– BERNAMA

106 Pelajar STPM 2024 di Perak Catat Kelulusan Cemerlang

106 Pelajar STPM 2024 di Perak Catat Kelulusan Cemerlang

Seramai 106 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Perak mencipta kejayaan gemilang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, iaitu gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Daripada jumlah tersebut, 103 pelajar berjaya meraih A dalam empat subjek, manakala tiga lagi pelajar mencatatkan lima A.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai, mengumumkan bahawa pencapaian ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, iaitu hanya 82 pelajar yang mencapai PNGK 4.00 pada tahun 2023.

“PNGK negeri Perak bagi STPM 2024 juga meningkat kepada 2.85 berbanding 2.83 pada tahun lepas. Ini merupakan PNGK tertinggi dicatatkan oleh negeri Perak sejak pelaksanaan sistem tiga semester pada tahun 2012,” jelasnya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2024 di sini hari ini.

Tambah beliau, daripada 3,088 calon yang menduduki peperiksaan, seramai 3,057 atau 99 peratus berjaya mencapai kelulusan penuh dengan memperoleh gred A hingga C.

Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan tetapi juga membuktikan komitmen tinggi pelajar, guru, dan pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik di negeri Perak.

Dengan rekod terbaharu ini, Perak terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara negeri yang unggul dalam prestasi pendidikan peringkat STPM di Malaysia.

Belia Perak Kurang Terlibat Dalam Sektor Pertanian Di Negeri Ini

Belia Perak Kurang Terlibat Dalam Sektor Pertanian Di Negeri Ini

Sektor pertanian di Perak masih didominasi oleh golongan berusia 46 tahun ke atas dengan penguasaan melebihi 76 peratus, manakala penyertaan belia dalam bidang ini kekal rendah.

Menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, hampir separuh (46.6%) pegangan pertanian individu dimiliki oleh mereka yang berusia 60 tahun ke atas, diikuti oleh kumpulan umur 46 hingga 59 tahun (30%). Sementara itu, hanya 23.4 peratus atau 24,555 orang belia berumur 15 hingga 45 tahun yang aktif dalam sektor ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, menggesa tindakan segera bagi menangani jurang generasi ini. “Data ini membongkar realiti bahawa sektor pertanian di Perak masih bergantung kuat kepada kelompok warga emas. Jurang penyertaan antara generasi tua dan muda ini bukan sahaja membimbangkan, malah membayangkan masa depan yang rapuh sekiranya tiada usaha drastik dilakukan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 hari ini, yang turut disaksikan oleh Exco Pertanian Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Banci tersebut mencatatkan 107,474 pegangan pertanian di Perak pada 2023, dengan 97.6% (104,878 pegangan) dimiliki individu dan selebihnya (2.4% atau 2,596 pegangan) di bawah pertubuhan.

Dengan trend semasa, kebimbangan semakin membesar tentang kelangsungan sektor pertanian negeri sekiranya minat belia terus berkurangan. Pihak berwajib diharap dapat melaksanakan inisiatif menarik bagi mendorong generasi muda menyertai bidang ini sebelum krisis tenaga kerja menjadi lebih parah.

Perak Catat Jumlah Pelancong Domestik Tertinggi di Malaysia pada 2024

Perak Catat Jumlah Pelancong Domestik Tertinggi di Malaysia pada 2024

Perak muncul sebagai negeri paling banyak dikunjungi pelancong domestik pada tahun lepas dengan mencatatkan 10.2 juta kunjungan, mengatasi negeri-negeri lain di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee, berkata statistik itu berdasarkan laporan Survei Pelancongan Domestik 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 19 Jun lepas.

Menurut beliau, Perak mencatatkan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong sebanyak 36.1 peratus berbanding 7.5 juta pada tahun 2023.

“Negeri Perak mencatatkan jumlah pelancong domestik paling tinggi, iaitu sepanjang tahun lepas, sebanyak 10.2 juta orang, diikuti Selangor dan Pahang, masing-masing mencatatkan 9.6 juta dan 9.5 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Loh turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam memajukan industri pelancongan negeri.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain industri termasuk pihak kerajaan, PBT (pihak berkuasa tempatan), pejabat daerah dan tanah (PDT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta terutamanya peniaga dan rakyat biasa yang telah berusaha menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.

Antara lima destinasi utama yang menjadi tumpuan pelancong ialah Teluk Batik, Lumut Waterfront, Pasar Malam Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang, dan Pulau Pangkor. Manakala, lima daerah yang paling banyak dikunjungi ialah Kinta, Larut dan Matang, Manjung, Kuala Kangsar, dan Batang Padang.

Loh menegaskan bahawa kejayaan ini turut disumbangkan oleh keberkesanan kempen Tahun Melawat Perak 2024, serta kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT), kerajaan negeri, dan kerajaan pusat.

Dengan pencapaian ini, Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di Malaysia.

Sumber Bernama

Kerajaan Negeri Perak Sasarkan Penguatkuasaan Pengharaman Vape Oktober Ini

Kerajaan Negeri Perak Sasarkan Penguatkuasaan Pengharaman Vape Oktober Ini

Kerajaan Negeri Perak menyasarkan pelaksanaan penguatkuasaan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri mulai Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan, berkata satu kertas kerja berkaitan perkara itu sedang dirangka oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Proses Penggubalan Sedang Dijalankan

“Kita telah arahkan JKN Perak, diterajui oleh pengarahnya Dr. Feisul Idzwan Mustapha, untuk memastikan kertas kerja ini dapat disiapkan secepat mungkin,” jelas Sivanesan.

Beliau menambah bahawa kertas kerja tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk kelulusan sebelum penguatkuasaan dijalankan, dengan sasaran pelaksanaan pada Oktober ini.

Sivanesan mengulas perkara itu selepas merasmikan Program Simposium Ortopedik: Perkembangan Terkini dan Amalan Terbaik dalam Bidang Ortopedik anjuran Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di sebuah hotel di Ipoh hari ini.

Kajian Menyeluruh Sebelum Pelaksanaan

Sebelum ini, pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menjelaskan bahawa kerajaan negeri sedang meneliti keperluan secara menyeluruh sebelum mengharamkan penjualan rokok elektronik di Perak.

Saarani berkata isu tersebut telah dibangkitkan dalam MMK, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi secara komprehensif bagi memastikan keputusan yang dibuat memberikan manfaat terbaik kepada rakyat.

Kepentingan Kesihatan Mengatasi Rungutan

Sivanesan mengakui bahawa langkah pengharaman ini mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengusaha vape, namun beliau menegaskan bahawa keputusan ini adalah untuk kebaikan rakyat terutamanya dalam aspek kesihatan.

“Kita dah bersedia (rungutan) dengan perkara ini, dan bagi kita, apa yang baik untuk rakyat, kita akan teruskan,” tegasnya.

NO SMOKING, NO VAPING combined sign. Printable sticker. Vector.

Simposium Ortopedik Jadi Platform Perkongsian Ilmu

Dalam pada itu, Sivanesan turut memuji inisiatif PCSH menganjurkan simposium ortopedik yang dihadiri lebih 90 pakar ortopedik dari seluruh negara.

Beliau berkata program seumpama ini wajar dicontohi oleh hospital swasta lain di Perak kerana ia bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, tetapi juga membantu mempromosikan teknologi terkini dalam bidang kesihatan.

Dengan pelaksanaan pengharaman vape yang bakal berkuat kuasa tidak lama lagi, kerajaan negeri berharap langkah ini dapat melindungi kesihatan awam sekaligus mengurangkan risiko penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik.