Negeri Perak sememangnya sebuah negeri makmur dan diberkati dengan pemerintahan Sultan-Sultan Perak yang adil dan sentiasa menyantuni rakyat sejak zaman berzaman.
Kepimpinan hebat yang diwarisi sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ini ternyata merupakan suatu rahmat buat rakyat Perak.
Pada kali ini orangperak.com akan menyentuh kisah Sultan Perak ke 30 yang mempunyai keperibadian agung serta sangat mementingkan ajaran agama Islam. Baginda ialah Paduka Seri Sultan Iskandar Shah yang memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dari tahun 1918 sehingga tahun 1938.
Diputerakan pada 10 Mei 1876 di Kampung Kuala Keboi, Kampar, Perak dan baginda telah diputerakan dengan nama Raja Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Idris Mushidul A’zam Shah. Baginda mula bersekolah di Sekolah Inggeris Central di Taiping. Baginda memperoleh pendidikan awal di Central School Taiping (sekarang King Edward VII School Taiping) kemudiannya melanjutkan pelajaran di Belliol College Oxford, England.
Pada tahun 1902, baginda berangkat pulang ke Negeri Perak bersama Paduka ayahanda baginda iaitu Sultan Idris Shah I setelah Paduka ayahanda baginda menghabiskan lawatannya ke England. Setelah pulang ke tanah air, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Taiping.
Pada tahun 1906, baginda berkhidmat dalam pasukan polis dan tidak berapa lama kemudian telah dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur. Kegemaran Baginda ialah bermain bolasepak, hoki serta kriket. Baginda juga merupakan seorang ahli pasukan polo Negeri Selangor dan pasukan polo Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Meskipun setelah baginda sudah ditabalkan sebagai Sultan Perak, baginda tetap merupakan pemain polo yang handal dan menubuhkan satu pasukan polo Negeri Perak di Kuala Kangsar.
Sewaktu berkhidmat didalam pasukan polis, ayahanda baginda iaitu Sultan Idris mangkat. Disebabkan kemangkatan ayahanda baginda, kekandanya iaitu Raja Abdul Jalil telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang baharu dan baginda telah dilantik sebagai Raja Bendahara Perak. Ditakdirkan Allah bahawa kekanda baginda iaitu Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah mangkat pada 26 Oktober 1918 setelah hampir dua tahun berada diatas takhta kerajaan negeri. Kemudian Raja Alang Iskandar telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang baharu dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah.
Terkenal sebagai Sultan yang berjiwa rakyat, baginda merupakan antara Raja Melayu yang paling kuat menyokong usaha penubuhan Pasukan Askar Melayu ataupun Malay Regiment di dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Baginda juga kuat mendesak pentadbiran British agar merombak kembali kuasa pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang banyak dikuasai oleh Residen Jeneral di Kuala Lumpur agar dikembalikan kuasa tersebut kepada Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri yang terbabit. Desakan tersebut telah disampaikan oleh baginda sendiri kepada Setiausaha Kolonial di Pejabat Kolonial di London pada 1924 dan baginda telah berjaya dalam rancangan tersebut.
Sewaktu zaman pemerintahan baginda, sejarah terukir kembali apabila pihak British telah memulangkan kembali kawasan yang pernah termasuk dalam pentadbiran Negeri-Negeri Selat iaitu daerah Dinding (sekarang Manjung) serta Pulau Pangkor kepada Negeri Perak. Kerajaan Perak yang diwakili Sultan Iskandar Shah sendiri telah menandatangani Perjanjian Penyerahan Wilayah dengan pihak British pada Februari 1935. Kerajaan negeri juga telah membayar pampasan sebanyak RM86,850 kepada kerajaan British diatas pengambil alihan bangunan, jalanraya, jambatan dan harta-harta hak milik pentadbiran British.
Sultan Iskandar Shah juga merupakan seorang Sultan yang sangat menitik beratkan urusan agama dikalangan rakyat baginda. Baginda juga gemar mendampingi guru-guru agama dan baginda pernah berguru dengan Shaikh Haji Mohammad Salleh di Istana Bukit Chandan. Sultan Iskandar disebut begitu kasihkan gurunya itu sehinggakan baginda sering bersantap dengan tokoh agamawan tersebut.
Disebabkan oleh dorongan daripada baginda keatas usaha pengembangan agama Islam di Perak, beberapa tokoh agama telah memilih untuk menubuhkan institusi-institusi Islam di Perak antaranya Maahad Ehya Al Syariff Gunung Semanggol, Al Huda Matang Kunda, Madrasah Irsyadiah dan Al Ulum di Bagan Datuk, Al Akhlak Islamiah Masjid Tinggi, Bagan Serai serta banyak lagi sekolah agama yang lain.
Baginda turut melantik seorang alim ulama agama Islam bernama Shaikh Muhammad Saleh yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, untuk menjalankan kerja-kerja tabligh di Teluk Anson (sekarang dinamakan Teluk Intan). Sheikh Muhammad Saleh digelarkan Sheikhul-Islam (pangkat itu sesama dengan mufti sekarang) bagi Negeri Perak.
Baginda juga sering mengunjungi masjid-masjid serta surau-surau diserata negeri Perak dan baginda sering memberi titah mengenai agama Islam kepada rakyat jelata. Sultan Iskandar juga terkenal tegas dalam beragama. Terdapat kisah dari orang-orang tua di Teluk Intan yang menyebut Sultan Iskandar pada bulan Ramadhan pernah mengkalungkan agok (tempurung) kelapa di leher dan juga memberi denda dengan memerintahkan orang yang makan dikhalayak ramai sewaktu bulan puasa agar memakan rumput di padang Teluk Ansoni atau disuruh berlari keliling padang dengan disaksikan oleh orang ramai. Baginda juga pernah bertitah kepada rakyatnya bahawa celakalah seseorang lelaki itu jika tidak menghadiri Solat Jumaat tanpa sebab.
Baginda sendiri turut memantau rakyat baginda yang tidak menghadiri solat Jumaat. Di muka surat 121 dalam Risalah Iskandar, disertakan salinan surat baginda kepada Setiausaha Sulit baginda Y.A.M. Raja Harun Al-Rashid, titahnya, “Adinda Raja Harun P/S, boleh khabarkan kepada kadi-kadi dan penghulu-penghulu wajiblah mereka bersungguh-sungguh menyuruh anak buah mereka di dalam jajahan masing-masing membuat sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat dan dikehendaki mereka itu menghantar repot di atas perkara ibadat ini pada tiap-tiap tiga bulan sekali.
Mana-mana rakyat beta yang tidak mahu sembahyang lima waktu dan Jumaat boleh mereka itu menghantar nama orang itu kepada kekanda dengan seberapa segera dan kekanda boleh pergi di mukim itu bicarakan hal itu. Siapa siapa kadi-kadi dan penghulu-penghulu yang bantah atau kurang usahanya di atas pekerjaan ini Insya Allah nanti mendapat susah yang besar sekelian naib-naib yang wajib menjalankan ini adanya. Tamat.”
Ketegasan baginda juga terserlah apabila di Lambor Kanan, baginda pernah meletakkan tangan agak keras ke perut seorang pengembang ajaran sesat dan bertitah dengan penuh kemurkaan, ” Iblis bersarang di perut kamu!” Tidak lama beberapa hari selepas itu orang itu pun meninggal dunia.
Menarik mengenai Sultan Iskandar ini juga ialah baginda pernah menguji ulama-ulama di Negeri Perak. Terdapat ksisah pada suatu hari Paduka Seri Sultan Iskandar Shah telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di Istana. Belum pun tiba waktu berbuka, Baginda telah menyeru kepada semua yang hadir supaya menjamah makanan. Kesemua dari mereka yang hadir terdiam tidak berani membantah.
Namun kemudian Haji Nawawi bangun memberitahu kepada baginda dengan kata-kata : “Jikalau Tuanku hendak masuk neraka, masuklah seorang”. Baginda memuji keberanian Haji Nawawi menegur Baginda dan kemudian memarahi ulama-ulama yang membisu dengan titah “Nasib baiklah di Negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta!”. Keberanian baginda membendung kemungkaran telah menginsafi rakyatnya sehingga mereka tidak berani untuk berbuat maksiat secara terang-terangan.
Setelah memerintah Negeri Perak dengan penuh gemilang selama hampir 20 tahun, baginda akhirnya mangkat dijemput Ilahi pada 14 Ogos 1938 dan dimakamkan di Makam Perkuburan Diraja Al-Ghufran Kuala Kangsar. Sesungguhnya baginda telah meninggalkan nama yang harum diatas watak dan keperibadian agung baginda yang menjadi contoh buat rakyat jelata. Di atas kenang-kenangan buat Almarhum Sultan Iskandar, kami kepilkan bersama nasihat baginda didalam Risalah Iskandar yang dikarang oleh baginda sendiri;
“… maka siapa-siapa Raja-raja, Orang-orang Besar, Kadi-kadi dan Penghulu-penghulu hendak digemar dan disukai oleh Rajanya hendaklah mereka itu taat dan bersungguh menjalankan perkara yang dituntut oleh Tuhan dan meninggalkan perkara yang ditegah oleh Tuhannya. Maka hendaklah mereka itu menegur ajar kepada anak buah mereka itu diatas perkara-perkara tersebut… Maka hendaklah mereka itu ingat pada zaman ini. Inilah perkara kegemaran kami.. Silalah Tuan-tuan buat…”