27.8 C
Ipoh
Tuesday, 18 February 2025

Sejarah Pembinaan Istana Ulu, Warisan Permodenan Negeri Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Sejarah Kesultanan Perak yang panjang telah meninggalkan banyak warisan diraja di Negeri Perak ini. Terdapat banyak istana yang telah dibina untuk Paduka Seri Sultan dan kerabat diraja dari Kuala Kangsar sehinggalah Teluk Intan.

Banyak diantara istana ini masih megah berdiri menjadi lambang keutuhan Kesultanan Perak, namun ada yang kini hanya tinggal sebagai kenangan sejarah negeri Perak.

Kali ini orangperak.com akan membawa pembaca menghayati sejarah pembinaan iaitu Istana Ulu yang indah dan kini menjadi Galeri Sultan Azlan Shah.

Istana Ulu atau lebih dikenali juga dengan nama Istana Kota, Istana Hijau, Istana Cempaka Sari dan Istana Cinta Berahi ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah.

Istana ini pada asalnya ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke 28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887 hingga ke tahun 1916.

Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, Istana Ulu ini telah menjadi tempat bersemayamnya Almarhum Sultan Abdul Jalil, putera kepada Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah.

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, Istana ini telah disemayami pula oleh putera baginda iaitu Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Perak yang ke-32 yang memerintah Negeri Perak dari tahun 1948-1963.

Sejarah Pembinaan Istana Ulu

Umum mengetahui bahawa pusat pemerintahan Kesultanan Perak bermula di Tanah Abang iaitu pada tahun 1594. Sultan Perak yang ke-2 iaitu Almarhum Sultan Mansur Shah I, telah memindahkan kota tersebut ke Kota Lama Kanan iaitu kira-kira dua batu mudik melalui Sungai Perak dari Kuala Kangsar. Kota Lama Kanan telah kekal menjadi pusat pentadbiran kerajaan Negeri Perak sehinggalah pemerintahan Sultan Perak yang ke 27.

Istana Ulu mempunyai perkaitan yang rapat dengan permulaan pertukaran kawasan pemerintahan Kesultanan Perak dari daerah Sayong ke daerah Bukit Chandan.

Apabila Almarhum Sultan Idris ditabalkan menjadi Sultan, Baginda telah memindahkan kawasan pemerintahan dari Sayong ke Bukit Chandan. Baginda telah membina sebuah istana berhampiran dengan Batang Hari iaitu dikenali sebagai Istana Negara pada tahun 1895.

Sejarah Pembinaan Istana Ulu

Berlakulah kemajuan yang pesat di sebelah Bukit Chandan dimana kemudiannya Baginda telah membina dua buah istana serentak iaitu Istana Ulu dan Istana Hilir.

Istana Ulu digunakan sebagai tempat persemayaman baginda. Istana Ulu telah direkabentuk oleh Kapten Maurice Alexander Cameron, Timbalan Jurutera Kolonial dan Ketua Juruukur Negeri-negeri Selat pada masa itu.

Bahagian bumbungnya pula menggunakan pengaruh Acheh dengan pengunaan bumbung yang berbentuk limas. Pengaruh dari senibina India pula terdapat di bahagian kubah di kedua-dua menara bangunan.

Ukiran-ukiran kayu kayu yang terdapat pada istana tersebut telah diukir oleh Raja Harun Al-Rashid yang merupakan seorang pengukir terkenal ketika itu.

Beliau mengambil ilham berdasarkan tumbuhan alami yang terdapat di taman istana tersebut. Sementara ukiran batu yang telah dibuat oleh pengukir mengikut arahan dan perkenan Sultan Idris 1 di mana Almarhum memastikan supaya tidak terdapat sebarang bentuk ukiran yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti bentuk binatang atau patung-patung.

Sejarah Pembinaan Istana Ulu

Penyusunan dan konsep ruang yang terdapat pada istana tersebut adalah berdasarkan pada ilham baginda di masa-masa yang lepas. Rekabentuk bangunan istana ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bangunan Istana Negara, Mahkamah Tinggi Ipoh dan Stesyen Keretapi Ipoh. Kebanyakan daripada bahan binaan untuk Istana Ulu ini dibawa dari luar negara.

Atapnya dari Perancis dan jubinnya pula dari India. Walau bagaimanapun, banyak bahan tempatan yang digunakan seperti kerangka bumbung yang dibuat daripada kayu cengal dan ukiran daripada kayu meranti yang terbaik.

Kapal-kapal dagangan yang melalui perairan Sungai Perak telah digunakan untuk membawa bahan-bahan binaan untuk pembinaan Istana Ulu ini. Sementara itu gajah telah digunakan bagi mengangkut bahan-bahan tempatan.

Istana Ulu ini dipagari dengan tembok kota yang dibina di sekeliling Istana tersebut sehingga namanya turut dikenali dengan nama Istana Kota. Pada bahagian atas tembok tersebut kerawang besi berukiran bunga kemboja telah dibina dengan cantik.

Sejarah Pembinaan Istana Ulu

Pada tahun 1954, Istana ini telah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan pada tahun 1970, ia telah dijadikan Sekolah Kebangsaan Istana kota dan kemudiannya kepada Sekolah Raja Perempuan Muzwin.

Pada awal tahun 2000 Sultan Azlan Shah mengilhamkan pembinaan galeri supaya rakyat dapat melihat dan mengetahui sejarah Kesultanan Perak dan kemajuan Perak dizaman pemerintahan Baginda.

Kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan galeri ini pada 13 Jun 2001. Pembinaan galeri ini bermula pada 30 November 2001 dan siap pada 15 April 2003. Sultan Azlan Shah telah merasmikan Galeri Sultan Azlan Shah ini pada 9 Disember 2003 dan ianya merupakan salah satu tempat pelancongan di Kuala Kangsar, Perak.

Kemegahan dan keagungan istana ini dilukiskan dengan seni pembinaannya yang halus dan indah dan terus kekal berdiri teguh walaupun telah seabad didirikan. Pembinaan semula bangunan ini telah menyempurnakan lagi talian warisan kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan.

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here