Kerabat Diraja Perak Yang Gugur Di Medan Perang

YM Kapten Raja Aman Shah merupakan anak kepada YAM Raja Haji Harun al-Rashid ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, Raja Kechil Sulong Perak pada tahun 1918 hingga 1945. Beliau dilahirkan pada tahun 1902 dan mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Beliau telah berkahwin dengan YAM Tunku Baharum binti Almarhum Sultan Abdul Hamid yang merupakan puteri Sultan Kedah, dan seorang dari anak beliau merupakan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia iaitu YM Mejar (B) Raja Ahmad Feisal Raja Aman Shah.

Raja Aman Shah

Raja Aman Shah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pasukan Batalion Pertama Perak dalam Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF) pada tahun 1929. Beliau juga merupakan Pembantu Pegawai Daerah dibeberapa daerah dalam wilayah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, ini termasuklah daerah Ulu Selangor dalam tahun 1933 hingga 1934, Kuala Langat pada tahun 1934 hingga 1936 dan Jelebu pada tahun 1936 hingga 1938, beliau akhirnya menjadi Pegawai Daerah Port Dickson pada 1938.

Raja Aman Shah menjadi Kapten dalam Batalion Ketiga Negeri Sembilan dan berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua setelah Jepun mula menyerang Malaya pada tahun 1941. Ketika pasukan bersenjata Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat mula digerakkan untuk menghadapi tentera Jepun, beliau menghantar surat perletakan jawatan sebagai Pegawai Daerah Port Dickson untuk menumpukan perhatian mempertahankan Malaya sedangkan beliau boleh berkhidmat tanpa meletakkan jawatan sebagai Pegawai Daerah.

Raja Aman Shah

Beliau bersama-sama rakan seperjuangannya dalam Pasukan Sukarela berjuang menentang Jepun dengan penuh keberanian di Johor dan akhirnya di Singapura pada tahun 1942. Setelah jatuhnya Singapura ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942, Kapten Raja Aman Shah bersama tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja dan Pasukan Sukarelawan British telah ditahan di Pusat Tahanan Farrer Park. Menurut Mustapha Hussain dalam bukunya yang bertajuk Memoir Mustapha Hussain: Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO, ada menyebut bahawa Kapten Raja Aman Shah menolak untuk cuba melarikan diri dari Pusat Tahanan Farrer Park dan beliau sanggup untuk melindungi rakan-rakan seperjuangannya di dalam tahanan perang terutamanya dari Perak jika pihak Jepun menjalankan soal siasat.

Beliau juga pernah diberi peluang untuk dibebaskan oleh pihak Jepun namun beliau menolak tawaran tersebut apabila beliau tahu hanya beliau seorang sahaja yang diberikan peluang untuk dibebaskan dari pusat tahanan dan yang lainnya tidak sama sekali. Beliau kemudiannya berkata ianya merupakan kehendak Allah jika beliau akan dibebaskan, dan juga merupakan kehendak Allah jika beliau dan rakan-rakan seperjuangannya mati bersama. Kami sebagai warga orangperak.com terharu dengan ungkapan dari seorang kerabat Diraja Perak yang hebat ini.

Raja Aman Shah

Pada 28 Februari 1942, beliau bersama-sama tahanan perang yang lain dipaksa berarak dari Farrer Park ke Geylang. Ketika ramai sukarelawan Melayu dibenarkan pulang kerumah oleh tentera Jepun, kebanyakkan pegawai tentera berbangsa Melayu tetap ditahan dan dibawa ke Bedok dimana mereka semua akan ditembak mati oleh skuad penembak tentera Jepun. Jenazah pegawai-pegawai tentera Melayu bersama-sama dengan jenazah Kapten Raja Aman Shah ditinggalkan ditempat mereka ditembak tanpa diberikan penghormatan pengebumian seperti mana yang sepatutnya.

Kapten Raja Aman Shah serta nama-nama pejuang lain yang gugur telah disemadikan dalam sebuah plak peringatan di St Andrew’s Cathedral Singapura. Kapten Raja Aman Shah selepas kematiannya juga telah diberikan darjah kebesaran tentera dan juga diabadikan dalam Tugu Peringatan Singapura di Perkuburan Perang Kranji Singapura.

Raja Aman Shah

Anda mungkin ingin membaca artikel Kisah Tentera Kelahiran Taiping Dihukum Tembak Mati Oleh Jepun ini juga. Kerana kisah dalam artikel tersebut adalah berkait rapat dengan kisah YM Kapten Raja Aman Shah ini. Mereka adalah rakan seperjuangan bersama-sama dengan YM Kapten Raja Aman Shah dan dihukum tembak sehingga mati pada hari yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

+ 9 = 15