26.3 C
Ipoh
Thursday, 17 July 2025

Sultan Nazrin Lancar ZAPAR, Transformasi Digital Urus Zakat & Wakaf di Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Sultan Nazrin Lancar ZAPAR, Transformasi Digital Urus Zakat & Wakaf di Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) sebagai entiti rasmi pengurusan kutipan zakat dan wakaf tunai negeri di Pusat ZAPAR di sini, hari ini.

Dalam titah baginda, penubuhan ZAPAR oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) digambarkan sebagai inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan akauntabiliti organisasi. “Langkah dinamik ini akan memastikan perkhidmatan kutipan zakat lebih berkualiti dan responsif kepada pelanggan serta rakyat,” titah Sultan Nazrin.

Baginda menekankan bahawa kewujudan ZAPAR bakal memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan pembayar zakat melalui tatakelola cekap, teratur, dan berorientasikan digital. “Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menepati sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun,” jelas baginda.

“Kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekaligus meningkatkan ketelusan serta integriti institusi ini,” tegas Sultan Nazrin pada Majlis Pelancaran ZAPAR yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Transformasi Berani Hadapi Cabaran

Menghadapi trend peningkatan kutipan zakat dan cabaran tugas yang kian kompleks, Sultan Nazrin menegaskan kepentingan pendekatan berani. “Amatlah bertepatan untuk mengambil langkah strategik, melakukan penghijrahan, serta mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa cadangan penubuhan ZAPAR telah diperkenankan selepas persidangan MAIPk pada 12 Januari 2024, di mana majlis itu bersetuju menambah baik sistem pungutan zakat melalui penubuhan anak syarikat milik penuh MAIPk.

“Alhamdulillah, niat murni yang disusuli dengan usaha ikhlas telah dimakbulkan Ilahi. Ketika MAIPk genap 78 tahun penubuhannya mengikut tahun Hijri, dengan izin Allah SWT, kita dihimpunkan untuk menyaksikan pelancaran ZAPAR,” ujar Sultan Nazrin penuh syukur.

Pencapaian MAIPk & Faktor Peningkatan Zakat

Baginda turut berkongsi sejarah kejayaan MAIPk yang ditubuhkan pada 23 Oktober 1949 sebagai baitulmal mengurus harta umat Islam, khususnya zakat dan wakaf di Perak.

“Pada 2004, kutipan zakat MAIPk bagi semua kategori termasuk harta dan fitrah hanya RM26.3 juta. Tahun lalu, jumlah itu meningkat kepada RM253 juta, mencatat pertumbuhan 858% dalam 20 tahun,” titah Sultan Nazrin.

Enam faktor utama menyumbang kepada peningkatan ini:

  1. Kesedaran, kefahaman, dan penghayatan umat Islam terhadap kewajipan zakat.
  2. Peningkatan pendapatan umat Islam sama ada secara peribadi, perniagaan, atau pertanian.
  3. Insentif kerajaan seperti rebat cukai pendapatan dan potongan cukai perniagaan bagi pembayar zakat.
  4. Pengenalan sistem wakalah.
  5. Penambahbaikan pengurusan zakat.
  6. Keyakinan masyarakat terhadap MAIPk.

Lawatan & Sesi Bergambar

Sebelum majlis berakhir, Sultan Nazrin berkenan meninjau pejabat ZAPAR, melawat reruai pameran, menandatangani buku lawatan, serta menyempurnakan sesi serahan zakat dan bergambar.

Pelancaran ZAPAR menandakan era baharu pengurusan zakat dan wakaf di Perak, menggabungkan tradisi agama dengan inovasi digital bagi memastikan khidmat lebih efisien dan telus untuk kebaikan ummah.

– BERNAMA

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here