Home Blog Sejarah Lokasi Sebenar Pelabuhan Kuala Sepetang Yang Hilang

Lokasi Sebenar Pelabuhan Kuala Sepetang Yang Hilang

0
Lokasi Sebenar Pelabuhan Kuala Sepetang Yang Hilang

Ramai yang tidak tahu tentang pernah wujudnya pelabuhan Kuala Sepetang sejak zaman kegemilangan Ngah Ibrahim lagi sebelum Inggeris menggunakannya sebagai pelabuhan untuk mengangkut bijih timah dari Perak ke Pulau Pinang.

Kombinasi sebuah pelabuhan dan stesen kereta api pada waktu itu adalah satu perkara yang sangat unik dan mampu menggerakkan ekonomi penduduk setempat dan secara tidak lansung menyumbang kepada ekonomi negeri Perak.

Pada 22 April 2017 yang lalu, krew #jelajahperak berbasikal kami telah ke Taiping untuk mencari sejarah-sejarah dan peninggalan lama serta maklumat untuk dikongsikan bersama-sama pembaca orangperak.com semua.

Kami juga turut mendapat penyertaan dari pembaca setia dan krew orangperak.com yang bernama Encik Nizam, Encik Naqiuddin serta Cik Rin dalam misi di Taiping ini. Sebelum memulakan penceritaan, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka terlibat dalam program #jelajahperak kami ini.

krew jelajahperak berbasikal orangperak

Untuk makluman anda semua, Port Weld adalah nama lama bagi Kuala Sepetang. Bandar pelabuhan ini adalah antara pelabuhan yang sangat penting di dunia pada waktu itu semasa adanya bijih timah di Larut dan Taiping.

papan tanda pelabuhan kuala sepetang

Hal ini adalah kerana timah di Perak adalah sumber yang utama kepada dunia pada waktu itu. Hulu Sungai Larut mengalir dari Bukit Larut yang juga dikenali dengan nama Bukit Maxwell terus ke muara Sungai Larut berhampiran dengan Port Weld / Kuala Sepetang.

lokasi sebenar pelabuhan kuala sepetang

Tidak lama selepas kami sampai di Kuala Sepetang, kami dapat menjejaki lokasi sebenar pelabuhan yang paling gemilang pada satu ketika dahulu. Buat anda yang berminat untuk mencari lokasi ini, anda boleh gunakan koordinat ( 4°50’07.8″N 100°37’37.3″E ) dan rujuk gambar yang kami berikan di atas ini untuk kenal pasti lokasi sebenar pelabuhan yang menjadi kemegahan Perak pada waktu itu.

penamat landasan kerata api port weld

Pelabuhan ini dikatakan adalah penamat buat landasan kerata api yang beroperasi pada satu ketika dahulu. Di hadapan pelabuhan ini, dahulunya adalah landasan kereta api yang kini sudah bertukar kepada jalan tar yang kecil dan tidak ada lansung tinggalan landasan kerata api disitu.

Kami ada bertemu ramah dengan penduduk setempat berbangsa cina yang memaklumkan bahawa, sisa kayu-kayu dan besi landasan kereta api asal telah diambil orang ramai dan dijual kerana kualitinya yang bagus dan dapat dijual dengan nilai yang tinggi.

bertemu ramah dengan penduduk setempat berbangsa cina

Tujuan utama British membina landasan kereta api dari Taiping ke Port Weld ialah bagi mengangkut bijih timah yang banyak di kawasan Larut, Taiping dan Matang. Sebelum adanya landasan kereta api, bijih timah diangkut melalui Sungai Larut dan terus ke Pulau Pinang. Menerusi Pelabuhan Pulai Pinang, bijih timah akan dieksport ke Britain.

Sungai Larut tidak lagi sesuai dengan jumlah bijih timah yang banyak. Perang Larut berlaku antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San menyebabkan pengangkutan sungai Larut tidak cukup selamat. Muara Sungai Larut juga semakin cetek untuk kapal-kapal masuk dan rapat ke tepian.

laluan ke pelabuhan kuala sepetang

Betapa ruginya kita pada hari ini kerana kita hanya dapat mampu membayangkan keadaan asal persekitaran di kemegahan Perak pada waktu itu. Sewaktu berada di Kuala Sepetang, aura pelabuhan ini masih gah dapat kami rasai apabila kami dapat temui bahan asal yang masih lagi berdiri teguh menampung bangunan baru yang menggantikan pelabuhan itu. Cerucuk bersilang seperti dalam gambar adalah antara yang asal sejak dari zaman kemegahan Ngah Ibrahim.

cerucuk bersilang asal pelabuhan kuala sepetang

Permata penting Kuala Sepetang ini dikatakan masih menggunakan kayu tiang kekuda asal serta atap asal yang digunakan sejak dibinanya pelabuhan ini. Usia kayu tiang kekuda itu berumur lebih 100 tahun dan dimaklumkan ia datang dari kawasan eropah manakala atap asal pula adalah dari India.

Bentuk asas pelabuhan itu masih lagi dalam keadaan asal dan mungkin ada sedikit perubahan yang dibuat pada bahagian dinding dan lantai. Apa yang uniknya adalah pemasangan kekuda adalah menggunakan teknologi pasak yang amat popular pada waktu itu yang mana lansung tidak menggunakan paku.

kayu tiang kekuda asal pelabuhan kuala sepetang

Dengar khabar kayu-kayu asal yang digunakan pada kekuda pelabuhan tersebut mungkin akan dibuang dan digantikan dengan yang baru walaupun keadaan nampak masih lagi kukuh dari pandangan secara kasar.

Namun pemilik premis tersebut kini berhak untuk buat apa sahaja kerana mungkin risau ia boleh runtuh pada bila-bila masa dan boleh mengundang kerugian dalam perniagaannya.

Mustahil untuk kita kembalikan khazanah ini semula dan apa yang berlaku harus dijadikan iktibar dan perbetulkan segala ruang yang ada kesilapan untuk tatapan generasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here