Negeri Perak Darul Ridzuan sememangnya terkenal kerana mempunyai satu sistem yang digelar Raja-Raja Bergelar dan ianya merupakan sistem diraja paling unik yang diamalkan di Malaysia hanya di negeri Perak Darul Ridzuan.
Sebelum seseorang anak gahara ingin menjadi Sultan Perak, mereka perlu menjawat jawatan salah satu yang bermula dengan Raja Kechil Bongsu dan sehingga Raja Muda.
Kali ini orangperak.com ingin membawa pembaca untuk lebih mengenali keperibadian ulung Raja Muda Perak iaitu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Raja Muda Ja’afar diputerakan pada 26 September 1941 di Hospital Taiping. Baginda merupakan putera kepada Raja Muda Perak diketika itu Raja Dato’ Musa ibni Almarhum Sultan Abdulaziz dan Cik Puan Mariam binti Encik Abdullah.
Baginda memperoleh pendidikan awal di Anderson School, Ipoh dan kemudian di Anglo-Chinese School, Telok Anson (sekarang Teluk Intan) sebelum menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran awam di Universiti Malaya dan menyambung pengajian dalam peringkat seterusnya sehingga memperoleh ijazah sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Cornell University, Amerika Syarikat pada 1975.
Raja Muda Ja’afar mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam. Baginda menyertai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 1966 dan kemudian berkhidmat di Pejabat Tanah Daerah dari tahun 1966 sehingga tahun 1971. Dari 1976 sehingga 1979, baginda merupakan perunding pengurusan di Pejabat Perdana Menteri.
Dari 1979 sehingga 1984 baginda memberi khidmat kepada Kementerian Pendidikan di Bahagian Pengajian Tinggi dan kemudian baginda menjadi setiausaha Jawatankuasa Perlaburan Asing di Unit Perancangan Ekonomi.
Baginda turut pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pembangunan dan Kewangan di Kementerian Pertahanan sebelum akhirnya bersara dari perkhidmatan kerajaan pada 1996.
Didalam kedudukan sebagai Raja di Negeri Perak, baginda pernah dilantik menjadi Raja Kechil Tengah pada 3 Februari 1984, Raja Kechil Sulong pada 1988, dan kemudian menjadi Raja Di-Hilir pada 10 Mac 1998 kerana kemangkatan DYAM Raja Ahmad Hisham bin Raja Abdul Malik. Baginda menjadi Raja Di Hilir Perak selama 16 tahun.
Sebagai putera raja yang paling senior dalam kedudukan Raja-Raja Bergelar Perak, Raja Ja’afar bin Almarhum Raja Muda Musa telah dimashyurkan sebagai Raja Muda Perak di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 1 Julai 2014. Manakala isteri baginda bergelar Raja Puan Besar Perak.
Raja Jaafar mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah pada tahun 1970 an. Kali keduanya baginda mendirikan rumah tangga dengan Cik Puan Hasliza Ishak namun Cik Puan Hasliza telah meningga dunia. Raja Jaafar dikurniakan seorang putera dan seorang puteri iaitu YM Raja Shah Azman dan YM Raja Nor Azwina.
Raja Muda Ja’afar sentiasa berangkat ke majlis-majlis bersama dengan rakyat. Baginda merupakan seorang yang sangat gemarkan sejarah mengenai negeri Perak dan baginda sukakan sukan seperti bermain golf, muzik, dan kapal terbang kawalan.
Baginda merupakan Komander Kehormat Tentera Laut DiRaja Malaysia. Baginda juga merupakan Presiden Pemilik Kereta Sport Mini serta Penaung DiRaja Kelab Golf Perak.
Gelaran penuh baginda ialah Duli yang Teramat Mulia Raja Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa, Raja Muda Perak Darul Ridzuan, D.K, S.P.C.M, J.S.M. Kami dari orangperak.com merafak sembah serta menjunjung kasih keatas Duli Tuanku dan sentiasa mendoakan agar Tuanku dilindungi dan sentiasa diberkati oleh Allah. Dirgahayu Tuanku.