Tersergam indah masjid yang punyai rekaan seni reka bentuk asli yang mengkagumkan di jalan Masjid (Jalan Hume) terletak di Kampung Kuchai, Ipoh. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, keunikan reka bentuk masjid yang bernama Masjid Panglima Kinta ini adalah ianya mempunyai reka bentuk kolonial British yang bercampur motif Moghul dan Neoklasik (Yunaani dan Romawi) dan reka bentuknya masih asli sejak dahulu lagi.
Masjid Panglima Kinta direka bentuk oleh seorang arkitek dan jurutera British yang juga dipertanggung-jawabkan untuk menyiapkan binaan masjid ini. Beliau juga pernah bekerja di Indiadan empayar British yang lain. Masjid ini dibina dengan menggunakan bahan asas daripada batu-bata dan plaster kapur yang pada masa itu, ianya adalah moden berbanding dengan masjid lain yang menggunakan papan kayu secara keseluruhan.
Masjid Panglima Kinta dibina di atas sebidang tanah yang punyai luas sebesar 45,000 kaki persegi dan kawasan yang dibangunkan adalah sebanyak 8,288 kaki persegi. Pernahkah anda pembaca setia orangperak.com berkunjung ke masjid ini? Inilah antara pengenalan secara ringkas berkenaan Masjid Panglima Kinta sekadar pengetahuan umum anda. Tahukah anda, apakah kisah yang ada disebalik Masjid Panglima Kinta ini? Teruskan membaca untuk ketahuinya.
Segalanya bermula pada tahun 1898 apabila Datoh panglima Kinta Mohamed Yusof bin Lasam ingin memperingati arwah isteri tercintanya yang meninggal dunia dalam tahun yang sama iaitu tahun 1898. Oleh yang demikian, Datoh panglima Kinta Mohamed Yusof bin Lasam telah bercadang untuk membangunkan sebuah masjid yang besar untuk kegunaan penduduk setempat dan sesiapa sahaja menunaikan ibadat.
Dengan kos pembinaan sebanyak $15,000 (Dolar Selat), maka terbinalah masjid yang tersergam indah seperti mana yang anda dapat lihat hari ini di tapak yang sama. Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, Dolar Selat ialah mata wang Negeri-negeri Selat dari 1904 hingga 1939. Pada waktu itu, mata wang ini juga digunakan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sarawak, Brunei, dan Borneo Utara British. Anda boleh rujuk matawang yang pernah digunakan dalam negeri Perak untuk maklumat tambahan.
Beberapa tahun kemudian selepas masjid ini siap dibina, bangunan makam keluarga Datoh Panglima Kinta dan sebuah Madrasah bangunan kayu dua tingkat pula dibina di Masjid Panglima Kinta. Tahukah anda pembaca setia orangperak.com bahawa makam tersebut adalah dikhaskan hanya untuk kaum kerabat keturunan Datoh Panglima Kinta Mohamed Yusuf sahaja.
Madrasah yang dibina sebelum perang dunia kedua ini kemudian dibaik pulih oleh Dato’ Haji Mahamed Eusoff Bin Mohammed Yusuf dalam tahun 1951 hingga 1957 dan dinamakan sebagai Madrasah Kamaliah iaitu sempena nama isteri beliau yang bernama Hajah Kamaliah bt haji Abdul Ghani.
Fakih Ghazali adalah seorang ulama bersama-sama dengan Shaik Tholji yang juga merupakan seorang ulama dari Mesir pernah berada di Madrasah Kamaliah untuk memulakan sekolah pendidikan Islam dan bahasa Arab yang pertama di Ipoh. Mereka mengajar penduduk setempat mendalami al-Quran dan ilmu agama Islam.
Mimbar Masjid Panglima Kinta ini pula adalah mungkin diantara yang paling cantik yang pernah dilihat. Ianya dibina oleh seorang tukang kayu dan pengukir termasyhur bernama Mahamed Sopian bin Haji Abdul Wahabdari yang berasal dari Seberang Perai pada tahun 1928. Mimbar ini dibuat daripada kayu dengan kaedah tanggam tanpa menggunakan paku.
Mungkin ramai yang tidak tahu, pada zaman dahulu kawasan Masjid Panglima Kinta ini adalah antara pusat pendidikan untuk penduduk di sekitar bandar Ipoh. Di sebelah kompleks masjid pula terdapat bangunan sekolah melayu yang pertama di Ipoh, yang sekarang ini adalah bangunan Galeri Aminuddin Baki.