29.7 C
Ipoh
Saturday, 18 January 2025

Kisah Anak Jati Taiping Dalam Serang Hendap Komunis

- Advertisement -
- Advertisement -

Sekitar jam 2.30 petang pada tarikh 3 Jun 1970 di Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 BGD) telah menerima satu laporan tentang kelihatan 5 orang pengganas komunis yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua orang perempuan yang berada dalam keletihan.

Pengganas komunis ini dikatakan bertanyakan kepada penduduk kampung Kuak Tengah untuk jalan ke sempadan Siam. Oleh yang demikian, panglima tentera telah mengarahkan OC Kompeni Alpha untuk mencari dan memusnahkan musuh di kawasan Kuak Tengah.

Setelah dapat arahan operasi daripada Lt Kol Aman, sekitar jam 3.30 petang yang mana Kapt Latif bersama-sama dengan anggotanya mula bergerak ke Kampung Kuak Tengah.

Pbt Zi Yacob yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak juga turut serta dalam operasi ini. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Pbt Zi Yacob dilahirkan di Taiping, Perak dalam tahun 1932. Beliau mula menganggotai pasukan keselamatan sebagai anggota Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) pada 6 April 1964.

Pada tarikh 15 Mei 1969 hingga 31 Mac 1973, beliau teruskan kerjayanya sebagai anggota kerahan dan seterusnya beliau diserap masuk menjadi anggota Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja yang ketika itu berpangkalan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang.

Pbt Zi Yacob yang pada ketika itu ditempatkan sebagai anggota Platun Satu, Kompeni Alpha. Akhirnya Pbt Zi Yacob telah menamatkan perkhidmatannya setelah berkhidmat selama sepuluh tahun ekoran daripada kecederaan yang dialaminya.

Peristiwa serang hendap yang akan diceritakan dalam artikel orangperak.com ini telah berlaku pada hari yang sama selepas arahan operasi daripada Lt Kol Aman dikeluarkan untuk mencari dan memusnahkan musuh di kawasan Kuak Tengah yang kelihatan disana.

Peristiwa serang hendap tersebut telah menggugurkan empat orang anggota iaitu Kpl Adnan, Kpl Syed Mustafa, LKpl Shobian serta Pbt Wahab dan terdapat tiga anggota yang telah cedera parah iaitu Pbt Zi, Pbt Mohamad Bolia dan Pbt Mohamad Rozali.

Seramai sembilan anggota lagi termasuk Platun Sarjan, Sjn Abd Jail Ali dan dua anggota Platun Tiga, Kpl Hamid Md Noor dan Pbt Daud Abdul Rahman hanya mengalami kecederaan ringan.

Atas kecemerlangan dan keberanian yang dipaparkan oleh Pbt Zi, beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 2 Jun 1971.

Kisah Anak Jati Taiping Dalam Serang Hendap Komunis

Kisahnya bermula pada tepat jam 4.30 petang yang mana pada waktu itu Pbt Zi bersama-sama anggota kompeninya telah diturunkan di Dewan Orang Ramai di kampung tersebut.

Setibanya di sana, mereka telah dibawa oleh seorang pemuda kampung untuk menunjukkan kawasan pinggir hutan. “Makcik, ada nampak sekumpulan komunis di kawasan ini?”, Kapt Latif bertanyakan penduduk kampung.

Itulah yang dilakukan oleh beliau sepanjang melewati denai menuju ke kawasan hutan tersebut. Rata-rata daripada mereka memberikan jawapan yang sama iaitu musuh sedang bergerak ke Kuak Ulu.

Setibanya mereka tiba di penghujung kampung, mereka telah ternampak tiga buah rumah yang berada di kawasan terpencil. Kapt Latif memutuskan untuk bertanyakan setiap penghuni rumah berkenaan untuk dapatkan maklumat lanjut.

Setelah pergi bertanya, Kapt Latif kembali semula di tempat mereka berkumpul dengan wajah yang runsing. Hal ini adalah kerana jawatan yang diberikan oleh ketiga-tiga penghuni rumah tersebut amat mencurigakan.

Oleh yang demikian, mereka telah bahagikan kepada tiga kumpulan yang mana salah satu darinya akan melalui denai ke arah sebelah kanan untuk menuju ke sempadan negara Malaysia dengan Thailand manakala kumpulan yang satu lagi akan berada di belakang Markas Kompeni dan kumpulan yang terakhir akan bergerak menuju dan menghala ke atas bukit dan terus menuju ke arah sempadan negara Malaysia dengan Thailand.

Lantas kemudian, pejuang negara kita ini pun teruskan gerakan untuk menuju ke arah masing-masing yang telah diarahkan. Pbt Zi dan anggota seksyennya mula bergerak ke haluan yang telah ditetapkan.

Pada waktu itu, jam menunjukkan tepat 5.15 petang. Platun Zi kini telah tiba di kaki bukit yang mana di atasnya terdapat jalan balak lama. Mereka semua diarahkan untuk berehat dan mencari tapak untuk berkhemah memandangkan hari telah pun hampir malam.

Sewaktu berehat, mereka ambil kesempatan untuk makan dan minum. Entah kenapa pada waktu itu Pbt Zi tidak berselera untuk menjamah makanan. Lantas selepas berehat, Kapt Latif arahkan untuk meneruskan perjalanan.

Pbt Zi mula mengetuai kumpulan tersebut setelah 10 minit berjalan di jalan balak lama dan peninjau hadapan pada waktu itu Pbt Mustaffa tiba-tiba berhenti dan terpaku apabila ternampak satu susuk yang agak pelik.

Pbt Mustaffa pada waktu itu terus memanggil Penolong Ketua Seksyennya iaitu LKpl Mohd Shobian untuk lihat apa yang ada di depan. Ianya seakan babi yang baru lepas berkubang sambil menunjukkan arah susuk berkumpur warna kuning kemerahan.

LKpl Shobian terus memandang tepat ke arah susuk itu dan matanya fokus mengenalpasti apakah yang dilihat oleh beliau. Yang disangkan babi itu kelihatan bangun dan terjun ke satu kubu.

Dengan terlihatnya aksi babi tersebut, ia memberi keyakinan kepada mereka yang melihatnya bahawa ianya bukanlah babi tetapi pengganas komunis. “BANDIT!!!!!!!!!!!!!”, jerit LKpl Shabian namun semua telah terlambat.

Malangnya wira negara kita ini betul-betul berada di kawasan serang hendap musuh. Pengganas komunis sememangnya sudah lama menunggu pelanduk masuk ke jerat. Ianya bagaikan makanan yang terhidang dan pengganas negara kita komunis ini terus rakus melepaskan tembakan.

Dalam keadaan yang pada ketika itu amat huru hara, Pbt Zi terus terjun ke bahu jalan balak mencari perlindungan. Beliau yang pada ketika itu bersama-sama dengan Pbt Wahab kerana mereka berdua adalah anggota senjata bantuan.

Wahab mengendalikan senjata General Purpose Machine Gun (GPMG) manakala Zi pula membawa pelurunya. Pbt Zi memerhatikan keadaan sekeliling dengan bunyi peluru bersimpang-siur kedengaran di atas bahu jalan silih berganti dentuman letupan.

Beliau juga ada terlihat Ketua Seksyennya iaitu Kpl Adnan turut sama berlindung di bahu jalan yang mana baru sahaja hendak menjerit memanggil Kpl Adnan tiba-tiba letupan jerangkap samar telah mengenai Kpl Adnan.

Kpl Adnan terus rebah. Kpl Syed Mustafa yang turut terlihat kejadian tersebut lantas berlari ke arah Kpl Adnan namun nasibnya juga malang setelah beberapa das tembakan menembusi dadanya dan beliau turut rebah bersebelahan Adnan.

Keadaan menjadi semakin tegang. Hujan peluru dan letupan berlarutan hampir satu jam. Moral wira nigara semakin lemah dengan keadaan itu. Tembakan seksyen mereka kurang berkesan memandangkan kedudukan musuh amat strategi berada di puncak bukit.

Dalam masa yang sama, Pbt Zi terlihat Pbt Wahab yang sedang bertungkus-lumus cuba menggunakan GMPG yang dilihat tidak berfungsi pada masa itu.

Ia mungkin telah rosak kerana terkenan serpihan letupan jerangkap samar sebentar tadi. Jantung Pbt Zi berdegup kencang melihat senjata bantuan yang paling penting itu tidak dapat digunakan.

Segalanya kelihatan tidak ada harapan lagi untuk mereka keluarg dari sana dengan selamat. Pbt Zi cuba untuk sembunyikan kegusaran beliau apabila melihat Wahab bersungguh-sungguh mencuba memastikan senjata itu berfungsi kembali.

Akhirnya keadaan mula sunyi sepi kerana tembakan telah berhenti. Wahab masih lagi gigih membaiki senjata bantuan mereka. Pada masa yang sama, kedengaran suara pengganas yang berteriak untuk mengarahkan mereka mencari wira negara yang telah rebah.

Lalu kelihatan tiga pengganas kemunis yang mana salah seorang darinya adalah wanita keluar dari balik rumpun yang dijadikan tempat perlindungan.

Pbt Zi yang melihat keaadaan itu memanggil Wahab yang berada beberapa meter daripadanya. “Musuh datang!”, suara Pbt Zi separuh berbisik sambil melambai-lambai memanggil Wahab.

Namun, Wahab tetap tidak mahu meninggalkan senjatanya. Beliau tetap meneruskan tekad dan usaha memastikan senjata itu kembali berfungsi sepenuhnya. Pengganas komunis wanita ternampak tindak-tanduk Wahab tetapi tidak perasan dengan Pbt Zi berada di sebalik rumpun berdekatan dengan Wahab.

Kisah Anak Jati Taiping Dalam Serang Hendap Komunis

Tanpa berlengah, pengganas komunis wanita itu terus tembak Wabah menembusi dari kanan ke kiri kepala Wahab. Seorang pengganas bersama-sama wanita itu bergerak menghampiri Wahab yang terkulai layu untuk mendapatkan senjatanya. Pbt Zi hanya memerhatikan setiap gerak-geri pengganas komunis itu dengan penuh geram.

Dengan tiba-tiba satu semangat telah merasuk dirinya. “Aku akan pastikan kau mati! Aku akan bunuh kau! AKU AKAN BUNUH KAU!!!”, hati Pbt Zi menjerit-jerit kegeraman.

Rakan baiknya dibunuh di depan mata sendiri dengan kejam! Pbt Zi kini telah tekad untuk menuntut utang nyawa yang perlu dibalas dengan nyawa. Akhirnya Pbt Zi menyasarkan senjata SLR miliknya ke arah komunis yang cuba mengambil senjata Wahab.

Sedang pengganas itu tunduk tanpa berlengah Pbt Zi melepaskan tembakan. Tersungkur pengganas komunis itu menyembah bumi. Dua lagi rakan komunis yang menyaksikan kejadian itu dari kawasan terlindung terus melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Pbt Zi.

Punggung, peha serta betis kiri dan kanan Pbt Zi telah ditembusi peluru-peluru pengganas komunis. Oleh yang demikian, Pbt Zi tidak dapat melepaskan tembakan kerana tidak nampak arah kedudukan musuh.

Beliau akhirnya terbaring lemah sambil menahan kesakitan sambil melihat mayat Wahab yang masih menggenggam erat senjata GPMG itu menerbitkan perasaan pilu dan geram pada komunis-komunis itu. Semangat kelangsungan hidupnya kembali semula.

Seorang musuh telah keluar dari tempat perlindungannya kerana menyangkakan bahawa Pbt Zi sudah mati. Sementara pengganas komunis itu bergerak ke arah Wahab.

Pbt Zi yakin niatnya pasti sama dengan rakannya yang telah mati dibedil Zi sebelum ini. Pbt Zi terus perkemaskan tenangan tepat ke arah senjata Wahab. Sekiranya andaian terhadap niat musuh itu tepat, mudah baginya untuk terus memicit picu sahaja.

Kisah Anak Jati Taiping Dalam Serang Hendap Komunis

Akhirnya Pbt Zi melepaskan tembakan apabila musuh sedang membongkok untuk mengambil senjata Wahab. Komunis wanita yang melihat rakannya tumpas terus melepaskan tembakan ke arah Pbt Zi dan waktu itu Pbt Zi mengambil tindakan bijak dengan tidak membalas tembakan tersebut.

Beliau berpura-pura tersungkur lantas mematikan diri. Menyangkakan Pbt Zi benar-benar mati kali ini, wanita terus menuju ke arah mayat Wahab dengan niat yang sama.

Peluh jantan mula keluar, pandangan mata semakin kabur dan darah membasahi diri wira negara kita ini. Kesakitan yang semakin kian memuncak. Sebahagian badannya telah ditembusi peluru.

Namun Pbt Zi tetap mahu membunuh komunis tersebut. Beliau merapatkan udi senjata ke pipinya. Meskipun matanya tidak berapa nampak kerana hari sudah hampir malam dan peluh terus berjejeran. Tangannya menggenggam erat pistol grip dan picu telah bersedia dipicit.

Apabila wanita komunis itu merapat dengan senjata Wahab. Akhirnya Pbt Zi telah melepaskan tembakan dan tembakan tersebut telah mengenai musuh. Namun ianya hanya sekadar mencederakan dan tidak membunuh pengganas komunis tersebut.

Komunis wanita itu menjerit-jerit memanggil rakannya yang berada di atas bukit. Rakan komunis yang ada di atas bukit terus meluru turun dan terus melontar bom tangan ke arah Pbt Zi lalu melarikan diri.

Pbt Zi hanya sekadar dapat melihat bom tangan itu jatuh bergolek tepat di antara beliau dan mayat Wahab. Namun nasib wira negara kita ini menyebelahinya.

Bom yang dibaling itu tidak meletup lantas Pbt Zi menghela nafas lega. Kesakitan mula memuncak kembali dan Pbt Zi tidak berani bergerak ke mana-mana kerana khuatir akan terpijak jerangkap samar atau terjumpa musuh. Malam itu beliau baring sahaja di sebelah mayat sahabatnya itu Wahab dengan menahan kesakitan seorang diri.

Kisah Anak Jati Taiping Dalam Serang Hendap Komunis

Perasaan takut, bimbang dan kesakitan kian lega apabila mendengar tembakan meriam dilepaskan kedudukan musuh. Pada keesokan harinya dalam sekitar jam 7.00 pagi, Pbt Zi ditemui oleh pasukan penyelamat dan beliau telah dibawa ke Hospital Royal Australian Air Force di Butterworth, Pulau Pinang menggunakan helikopter nuri untuk dapatkan rawatan lanjut.

Atas kecemerlangan dan keberanian yang dipaparkan oleh Pbt Zi, beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 2 Jun 1971.

Gambar: Sjn Nurulhaswani Ruzaini dan ihsan dari Pbt (B) Zi Yaacob
Sumber dan rujukan : btdmonline.net

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here