Kenali Almarhumah Raja Ratiatul Zahar, Puteri Sulung Sultan Idris Shah II
Raja Ratiatul Zahar merupakan puteri sulung kepada Sultan Idris Shah II dan Raja Perempuan Muzwin. Baginda diputerakan pada pertengahan tahun 1944 dan dibesarkan di ‘Rumah Berempat’ yang terletak di kawasan Pintu Masuk Utama Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Keempat-empat rumah ini merupakan kediaman keluarga diraja yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah.

Namun, malang tidak berbau, Raja Ratiatul Zahar jatuh gering akibat masalah usus yang terbelit, di mana makanan tidak dapat diproses dengan sempurna dan tidak dapat keluar dari tubuhnya. Pada masa itu, doktor keluarga Dr. Megat Khas, tidak dapat melakukan pembedahan kerana kekurangan kemudahan perubatan yang mencukupi akibat situasi zaman pendudukan Jepun. Keadaan baginda semakin merosot dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 10:40 pagi, hari Khamis, 8 Januari 1945 bersamaan 4 Safar 1364, dalam usia yang sangat muda iaitu enam bulan.
Di saat-saat akhir hayatnya, Raja Ratiatul Zahar sempat menggenggam jari kelingking ayahandanya, Sultan Idris Shah II, sambil menyebut perkataan “Mak”. Peristiwa ini meninggalkan kesan yang mendalam dan amat menyedihkan bagi kedua-dua ayahanda dan bondanya. Selepas kemangkatan puteri sulung mereka ini, pasangan diraja itu tidak dikurniakan anakanda kedua selama tujuh tahun, sehinggalah keputeraan Raja Nazhatul Shima pada tahun 1952. Raja Ratiatul Zahar dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran, Kuala Kangsar.

Kisah hidup Raja Ratiatul Zahar yang singkat namun penuh makna menjadi satu kenangan pahit bagi keluarga diraja Perak, terutamanya Sultan Idris Shah II dan Raja Perempuan Muzwin. Pemergiannya menggambarkan betapa getirnya kehidupan pada zaman pendudukan Jepun, di mana kekurangan kemudahan perubatan menjadi punca kepada kehilangan yang tidak dapat dielakkan.

Almarhum Sultan Idris Shah II pernah bermimpikan anakandanya itu dan kemudian baginda terus melakarkan lukisan tentang anakandanya sepertimana yang baginda lihat dalam mimpinya itu. Pada lakaran tersebut baginda mencatatkan “Ilham daripada mimpi” dengan tarikh lakaran pada 23 Mei 1973. Lakaran ini juga menggambarkan kemiripan Raja Atiatul Zahar dengan kedua adindanya Raja Nazhatul Shima dan Raja Zarith Sofia.
Sultan Idris mengikat tali perkahwinan pertamanya dengan Raja Noor Izah binti Raja Ali, yang bergelar Raja Puan Besar sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Kemudian Sultan Idris berkahwin dengan sepupu baginda, Raja Muzwin pada 12 Ogos 1943. Raja Muzwin merupakan anak perempuan kepada Raja Ariff Shah bin Raja Harun. Hubungan kekeluargaan mereka terjalin melalui datuk Sultan Idris, Sultan Idris Shah I, yang juga merupakan moyang kepada Raja Muzwin. Apabila Sultan Idris menaiki takhta Perak, Raja Muzwin dikenali sebagai Raja Perempuan.

Pasangan ini dikurniakan beberapa orang anak, antaranya:
- Raja Radziatul Zahar (lahir 1944), meninggal dunia semasa masih bayi.
- Raja Nazhatul Shima (lahir 1952), yang bergelar Raja Puan Besar Perak. Baginda berkahwin dengan Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, Raja Muda Perak, pada 12 Januari 2019.
- Raja Iskandar Dzurkarnain (lahir 1955), yang memegang gelaran Raja Di-Hilir Perak. Baginda berkahwin dengan Tunku Soraya (lahir 1960). Tunku Soraya merupakan anak angkat dan juga anak saudara dari sebelah ibu kepada Sultan Abdul Halim dari Kedah.
- Raja Zarith Sofiah (lahir 1959), Duli Yang Amat Mulia Raja Permaisuri Agong serta Permaisuri Johor. Baginda telah berkahwin dengan Sultan Ibrahim dari Johor.
- Raja Jamil Ariffin (lahir 1962), telah menikahi Datin Seri Fazilah Hani binti Dato’ Harun pada 18 Februari 2021, selepas kematian isteri pertamanya, Tengku Datin Seri Dato’ Zalila binti Tengku Kamarulzaman, pada tahun 2020.
Keluarga Sultan Idris merupakan salah satu keluarga diraja yang terkenal dengan sejarah dan sumbangan mereka kepada negeri Perak dan Malaysia secara keseluruhan.
Demikianlah kisah yang menyayat hati berkenaan Raja Ratiatul Zahar, anakanda sulung Sultan Idris Shah II yang meninggal dunia semasa masih kecil. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah Raja Ratiatul Zahar dan menempatkannya bersama-sama orang yang beriman. Amin.
Rujukan :
- Yang Mulia Syed Idris Alsagoff