Kampung Guru Teluk Intan, Skim Perumahan Guru Pertama Di Malaya

Teluk Intan merupakan antara bandar terancang terawal yang dibangunkan di Tanah Melayu oleh pihak Inggeris selain daripada bandar Taiping dan juga Kuala Lumpur. Disebabkan itu, maka tidak hairanlah jika Teluk Intan menerima sentuhan-sentuhan awal pembangunan di Tanah Melayu apatah lagi dengan statusnya sebagai sebuah bandar perlabuhan penting untuk mengeskport bijih timah dan sebagai pusat pendaratan minyak serta hasil petroleum di Tanah Melayu pada ketika itu.

Dalam artikel kali ini, orangperak.com ingin menyentuh mengenai sebuah skim perumahan bagi guru-guru yang pertama di Malaya, iaitu penempatan di Kampung Guru Teluk Intan. Terletak di Jalan Changkat Jong dan hanya 2 kilometer dari pekan Teluk Intan, Kampung Guru Teluk Intan merupakan hasil daripada inisiatif yang dilakukan oleh Encik Weeratunge Edward Perera.

kampung guru

Beliau merupakan guru besar bagi sekolah Anglo-Chinese School Telok Anson (sekarang Sekolah Horley Methodist Teluk Intan) dan seorang yang sangat berjasa dalam pembangunan Teluk Intan. Beliau juga merupakan diantara individu yang mempunyai banyak sumbangan dalam menyelamatkan penduduk di Teluk Intan sewaktu pendudukan Jepun dan juga sewaktu tentera Parti Komunis Malaya bermaharajala ketika kekosongan kerajaan selepas pengunduran tentera Jepun.

Inisiatif untuk membangunkan sebuah kawasan perumahan khas bagi guru-guru di Telok Anson (Teluk Intan kini) yang diilhamkan oleh Encik Edward Perera ini adalah disebabkan beliau mendapati bahawa guru-guru di Telok Anson ketika itu sukar untuk memiliki rumah disebabkan gaji yang kecil.

peta kampung guru

Beliau dan guru-guru serta bekas guru di Telok Anson kemudiannya menubuhkan sebuah koperasi guru yang dinamakan sebagai ‘English Teachers Co-operative Society’ pada tahun 1952. Koperasi tersebut dengan bimbingan daripada Encik Edward Perera mula membeli kawasan ladang getah berhampiran dengan Jalan Changkat Jong dan mula membina 40 buah rumah.

Projek perumahan berkenaan selesai pada tahun 1953 dan telah dirasmikan oleh Gabenor Mc Gillivray. Seperkara yang menarik mengenai projek perumahan perguruan ini ialah, ianya juga merupakan penempatan berbilang kaum pertama di Tanah Melayu.

Kampung Guru di Teluk Intan sekitar 1950 an

Kampung Guru di Teluk Intan sekitar 1950 an

Kawasan perumahan perguruan tersebut pada asalnya hendak dinamakan sebagai Kampung Edward Perera, namun beliau sendiri menolak cadangan tersebut dengan baik dan akhirnya kawasan perumahan tersebut dinamakan sebagai Kampung Guru Telok Anson.

Kini meskipun sudah lebih 6 dekad berlalu dan dengan kepesatan pembangunan di Teluk Intan, Kampung Guru tetap kekal indah untuk didiami oleh bekas-bekas guru di Teluk Intan sehingga ke hari ini.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.