Tidak perlu ada alasan untuk terus maju dalam hidup walaupun banyak halangan yang menimpa diri. Sifat beginilah yang patut kita pegang dalam diri untuk terus membangun dan bergerak maju dengan mengetepikan alasan demi alasan untuk mencapai sesuatu yang kita impikan.
Dalam artikel orangperak.com hari ini ingin menceritakan tentang kisah dan perjalanan hidup seorang belia Perak yang gigih memperjuangkan nasib belia melalui platform Dewan Undangan Belia Negeri Perak dan juga beberapa saluran NGO. Nama individu tersebut adalah saudara Muhammad Ariff Zaky Bin Mohd Zolkafly.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Ariff Zaky Zolkafly atau lebih senang dengan panggilan Ariff Zaky oleh kenalannya ini berasal dari Sungai Siput, Perak. Beliau dilahirkan pada 8 Jun 1991 dan merupakan anak ke empat iaitu anak bongsu buat Hajah Fadziah Binti Shariff dengan Dato Haji Mohd Zolkafly.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Methodist Sungai Siput Utara dan sewaktu di darjah 3, beliau telah lulus Peperiksaan Tahap Satu (PTS) dengan cemerlang dan berjaya lompat terus ke darjah lima. Seperti anda semua sedia maklum, Peperiksaan Tahap Satu (PTS) kini sudah tiada lagi dan sudah dibubarkan selepas tahun 2000.
Apabila umur belia hebat ini mencapai 11 tahun, beliau mula menunjukkan minat dalam bidang perniagaan dan dalam masa yang sama juga, ayah dan ibunya telah bercerai. Hal tersebut sedikit sebanyak telah membuatkan emosi seorang kanak-kanak yang berumur 11 tahun sedikit terganggu untuk mengejar impian dan menjalani kehidupan remaja dalam sebuah keluarga sempurna.
Biarpun Ariff Zaky ini adalah anak kepada seorang yang punyai status Dato merangkap wakil rakyat di Lintang, beliau jarang sekali dimanjakan bapanya untuk merempuh liku hidup demi memperoleh pengalaman hidup sepertimana orang lain.
Hidupnya sama seperti insan biasa yang datang dari keluarga tidak sempurna. Namun ini bukanlah satu alasan buat dirinya yang gigih untuk membuktikan bahawa beliau boleh berjaya sama seperti orang lain yang punyai keluarga yang sempurna.
Jauh di sudut hatinya berharap agar golongan belia yang sama nasib seperti beliau tidak menjadikannya sebagai satu alasan untuk memberontak dan menyalahkan ibu bapa serta keluarga bahawa mereka adalah punca utama kegagalan diri sendiri.
Ariff Zaky sentiasa memegang pesanan ayahnya Dato Haji Mohd Zolkafly iaitu sentiasa mengambil kira apa yang terjadi pasti ada hikmah yang terselindung dan perlu ingat, ada lagi orang di luar sana punyai nasib yang lebih teruk dari kita.
Walaupun ibu bapa Ariff Zaky telah berpisah, Dato Haji Mohd Zolkafly tidak pernah terlepas pandang dalam melaksanakan tanggung-jawabnya terhadap anak-anak. Inilah satu contoh taudalan yang wajar menjadi ikutan dengan memberi perhatian kepada anak-anak walaupun telah bercerai.
“Dia anak Dato, apa yang nak dihairankan”, ungkapan yang seringkali dihadam tanpa prejudis oleh insan bernama Ariff Zaky ini sejak kecil sehinggalah ke hari ini. Untuk makluman anda, yang sebenarnya beliau banyak bergerak sendiri bersama-sama sahabat dan kenalan untuk memulakan perniagaan.
Selepas lulus cemerlang dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), beliau tidak tunggu lama dan terus cuba berjinak-jinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan. Masih tersemat dalam ingatan walaupun pada waktu itu baru berumur 11 tahun, perniagaan pertama beliau adalah menjual kacang putih di acara kejohanan motorcross yang diadakan di Sungai Siput.
Sampai satu tahap, beliau pernah menggajikan kawan-kawan sekelasnya sendiri. Langkah pertama beliau dalam bidang perniagaan tidak begitu baik dan mengalami kerugian. Namun, inilah asam garam buat mereka yang baru bertaktih dalam bidang perniagaan dan disinilah asalnya proses pembelajaran pertama beliau untuk raih pengalaman dalam selok belok perniagaan.
Meningkat remaja, saudara Ariff Zaky terus menyambung pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Methodist Sungai Siput Utara (tingkatan 1 hingga 3) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun (tingkatan 4 hingga 5).
Selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Ariff Zaky mula berniaga burger untuk menambah pengalaman dan raih pendapatan sampingan sementara menunggu panggilan masuk ke universiti. Perniagaan burger agak maju dengan meraih RM3,000 sebulan dan wang untung itulah dijadikan sebagai simpanan untuk kegunaan hari esok.
Setelah tamat persekolahan peringkat menengah, saudara Ariff Zaky dapat tawaran untuk melanjutkan pekajaran dalam bidang asasi kejuruteraan mekanikal dengan biasiswa penuh tajaan dari MARA. Kemudian terus ke bidang Degree in Mechanical Engineering, Major in Oil and Gas Upstream Engineering di Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Pada usia 17 tahun, beliau menjejakkan kaki ke alam universiti dan fokus dalam pelajarannya. Di Universiti Teknologi Petronas (UTP), beliau bergiat aktif dengan menjadi exco MPP UTP dan President Mechanical Engineering Club (Meche Club). Beliau berpengalaman dalam melaksanakan pelbagai acara peringkat universiti sehinggalah antarabangsa.
Hari ini pada usia 27 tahun, Ariff Zaky punyai beberapa syarikat sendirian berhad dan ada diantaranya adalah syarikat perumahan yang dimulakan secara kecil-kecilan. Sekarang, saudara Ariff Zaky mula bergiat aktif untuk memperjuangkan nasib belia yang masih tidak berpeluang untuk mendapatkan rumah pertama mereka.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, saudara Ariff adalah Ahli Dewan Undangan Belia Negeri Perak dan Ahli Parlimen Belia Malaysia. Dalam usulnya pada persidangan pertama dahulu, beliau pernah mencadangkan kerajaan negeri Perak bersama pihak swasta untuk menjual rumah pada kadar harga bawah RM100,000.
Cadangan bernas daripada saudara Ariff Zaky ini mendapat perhatian sudah digerak langkah oleh kerajaan Negeri. Pada 2016, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) diperkenalkan di mana rumah dijual dari harga RM70,000 (bersubsidi kerajaan) sehinggalah ke RM140,000.
Dalam konteks penceritaan kisah hidup Ariff Zaky Zolkafly ini wajar dijadikan ikutan untuk semua pembaca setia orangperak.com bahawa segala permasalahan dari pelbagai faktor jangan dijadikan alasan untuk terus berjaya walaupun anda dihanyutkan emosi negatif.
Untuk pemilihan sebagai Ahli Dewan Undangan Belia Perak ke 2 pada tahun 2018, saudara Ariff Zaky sekali lagi tercalon dan akan bertanding dalam undian atas talian pada 16 Oktober 2017 hingga 29 Oktober 2017 yang akan datang.
Laman Sosial Ariff Zaky:
- Facebook : ariff zaky
- Facebook page: Ariff Zaky Zolkafly
- Instagram : ariffzaky
Pembaca setia orangperak.com yang punya kreteria seperti dibawah boleh daftarkan diri di www.mp2mpa.com sebagai pemilih dan berikan sokongan kepada Muhammad Ariff Zaky Bin Mohd Zolkafly untuk meneruskan perjuangan belia dalam membawa usul-usul yang akan membawa kepentingan pada kita sebagai belia.
Kreteria sebagai pemilih DUN Belia Perak:
- Berumur antara 15 hingga 40 tahun.
- Warganegara Malaysia.
- Anak kelahiran Perak atau..
- Anak kelahiran negeri lain yang alamat di kad pengenalan beralamat di Perak.
Semoga informasi berkenaan diri saudara Muhammad Ariff Zaky Bin Mohd Zolkafly dapat menjadi dorongan dan ikutan belia-belia diluar sana. Kegigihan beliau dalam hidup wajar dijadikan contoh dan ikutan kita semua. Semoga beliau sekali lagi terpilih dalam Dewan Undangan Belia negeri Perak yang akan datang.