Sebut sahaja tentang Negeri Perak, pasti ada yang terbayangkan tempat pelancongan menarik seperti Pulau Pangkor, Gua Tempurung, Kellie’s Castle, Royal Belum Rainforest dan berbagai lagi. Ada juga yang teringat dengan keenakan dan keunikan makanan yang ada.
Di negeri Perak, memang terkenal dengan makanan dari pelbagai kaum seperti Mi Rebus, Rendang Tok, Satay, Nasi Kandar, Maruku, Ayam Taugeh, Kacang Puteh, Kopi Puteh dan banyak lagi. Setiap daerah di negeri ini memiliki keunikan makanannya yang tersendiri.
Di Ipoh, kebanyakan makanan yang popular ialah makanan yang bercirikan masyarakat Cina seperti Kopi Puteh, Ayam Taugeh dan Chee Cheong Fun. Kebanyakan makanan Cina ini boleh didapati di Pekan Lama Ipoh atau kopitiam-kopitiam. Mesti yang belum pernah merasai keenakan Kopi Puteh beranggapan yang ianya kopi yang berwarna putih kan? Tapi sebenarnya ia adalah kopi hitam yang mengeluarkan aroma berlainan kopi lain dan berbuih perang keputih-putihan.
Berlainan pula dengan makanan masyarakat India disini. Antara yang terkenal adalah Nasi Kandar dan Kacang Puteh. Nasi Kandar atau lebih dikenali sebagai ‘Nasi Ganja’ paling sedap dan digemari oleh orang-orang Ipoh ialah di Kedai Vanggey di Jalan Yang Kalsom dan Medan Selera Dato’Sagor. Untuk merasai masakan Melayu, jangan lepaskan peluang untuk menikmati Mi Rebus di Restoran Mi Rebus Ramli dan Ikan Bakar di Restoran Tasik Raban yang tersohor dengan masakan kampung.
Apabila anda singgah di Taiping, jangan lupa untuk mencuba Mi Udang Banjir di Kuala Sepetang yang menjadi sebutan. Kedudukan Kuala Sepetang yang berhampiran dengan Selat Melaka membolehkan ia menjadi syurga makanan laut seperti Mi Udang dan Nasi Goreng Udang. Makanan ini amat senang didapati di gerai-gerai sepanjang jalan Taiping-Kuala Sepetang. Harga makananya juga adalah mengikut saiz udang dari RM6-RM15. Gerai Mi Udang yang popular di sini ialah Gerai Mak Teh.
Selain itu juga, Taiping juga terkenal dengan cendol. Cendol yang popular di bandar ini ialah di Gerai Cendol Bismillah, Jalan Stesen dan Cendol Kamunting. Di Kuala Kangsar, cendol ini dijadikan juadah menjamu selera bersama-sama Laksa Kuala Kangsar yang lazat. Pengunjung boleh menikmati kedua-dua makanan ini di Medan Selera Kuala Kangsar dengan melihat pemandangan indah tebing Sungai Perak. Mengenai laksa, Laksa Kuala Kangsar ini mempunyai kelainan dari laksa tempat lain dari segi kepekatan kuahnya.
Ini adalah sedikit penerangan dan info tentang makanan yang popular di negeri Perak. Jangan lupa, apabila anda singgah bercuti ke negeri Perak, anda harus mencuba makanan dan  minuman yang enak disini.