Menara jam adalah sejenis binaan menara yang dibina khusus dengan satu atau lebih buah permukaan jam yang dipertontonkan dikawasan awam. Terdapat menara jam yang berdiri bebas, dan ada juga yang menjadi bahagian bangunan seperti tempat ibadah atau dewan bandaraya.
Sebenarnya, menara jam bukanlah sekadar dibina untuk tujuan tahu masa semasa sahaja tetapi ianya adalah simbolik kepada sesuatu peristiwa penting wajar diingati agar semua orang tidak pernah akan lupa akan peristiwa yang telah pun berlalu pada zaman dahulu.
Dalam artikel orangperak.com kali ini ingin menceritakan tentang cerita apakah disebalik pembinaan kebanyakan menara jam yang ada dibina disekitar pekan-pekan dalam daerah di serata negeri Perak. Antara kawasan yang terlibat adalah Kampar, Parit, Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Lumut dan banyak lagi.
Menara Jam Kampar – Menara jam di Kampar punyai reka bentuk segitiga dan punyai jam disetiap permukaannya. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, menara jam ini sempat beroperasi pada 31 Ogos 1957 walaupun tidak siap sepenuhnya pada waktu itu.
Terpahat tulisan “MERDEKA 1957” pada badan bangunan menara jam Kampar. Mungkin anda tidak tahu, menara jam di Kampar ini dibina dengan hasil wang derma dari penduduk setempat pada waktu itu untuk menyambut hari kemerdekaan negara kita yang pertama pada tahun 1957.
Menara Jam Dataran Ipoh – Menjadi tumpuan setiap anak Perak pada 30 Ogos saban tahun sejak tahun 1957 lagi. Penantian detik 12 malam setiap tahun disini memberi makna untuk simbolik pada pembinaannya sejak tahun 1957 lagi apabila negara kita mencapai kemerdekaan.
Menara Jam Sungai Siput – Menara jam di Sungai Siput ini terletak di jalan besar dan jelas tertera perkataan “MERDEKA 1957” pada badan jam tersebut. Sama seperti menara jam Kampar, pembinaan jam di Sungai Sipuk ini adalah bukti perpaduan penduduk disana sama-sama mengeluarkan dana untuk membinanya.
Pada 20 Januari 1958, perdana menteri Malaysia yang pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman telah merasmikan menara jam Sungai Siput. Menara jam ini adalah satu warisan sejarah untuk tatapan generasi akan datang sebagai lambang yang menjadi kebanggaan penduduk Sungai Siput.
Menara Jam Kuala Kangsar – Dengan menggunakan dana kerajaan negeri Perak bersama dengan sumbangan rakyat di Kuala Kangsar, menara jam Kuala Kangsar siap dibina pada tahun 1939 sebagai pada asalnya untuk memperingati sambutan pertabalan King George Vi di England.
Kemudian, pada 31 Ogos 1957, simbolik peringatan menara jam ini diubah ke sambutan kemerdekaan negera dan sejak dari tarikh tersebut, menara jam di Kuala Kangsar ini secara tidak langsung menjadi simbol kebanggaan pembebasan negara dari penjajah.
Menara Jam Parit Buntar – Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pembinaan menara jam di Parit Buntar sedikit terlewat dari menara jam lain seperti yang telah disenaraikan. Dua tahun selepas negara mendapat kemerdekaan iaitu pada tahun 1959, barulah menara jam ini siap dibina.
Bapa kemerdekaan negara kita iaitu Tunku Abdul Rahman telah merasmikan menara jam ini pada 24 Ogos 1961 dan menara jam di Parit Buntar ini adalah simbolik untuk kemakmuran dan kemerdekaan negara Malaysia yang telah bebeas dari penjajah. Rekaan umpama sebuah menara masjid ini sangat mengagumkan. Terdapat 4 buah jam besar di letakkan di setiap permukaan atas menara ini.
Menara Jam Parit – Sebuah pekan kecil yang amat gah pada satu ketika dahulu menjadi persinggahan jalan utama antara pekan Beruas dan Kuala Kangsar untuk ke Siputeh, Pusing, Batu Gajah dan ke Ipoh. Menara jam ini telah dibina dengan kos sebanyak 3,370 USD daripada wang yang dikumpulkan hasil derma penduduk tempatan.
Rekaan dengan senibina Moor dan inskripsi “Amaran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu,” telah dirasmikan pada 20 Januari 1963 oleh Tun Abdul Razak yang ketika itu berjawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sehingga ke hari ini, menara jam ini menjadi simbol kebanggaan dan kemerdekaan penduduk tempatan dan menjadi mercu tanda utama pekan Parit.
Menara Jam Lumut – Sedih untuk diceritakan, namun kita harus teris hakikat ini kerana ianya sudah pun berlalu. Menara Jam Lumut yang menjadi lambang kemerdekaan negara 1957 sebenarnya sudah dimusnahkan kerana pembangunan Pelabuhan Lumut suatu ketika dulu. Maka hilanglah satu monumen sejarah yang menjadi lambang kemerdekaan negara Malaysia di kawasan Lumut.
Kredit dan olahan penceritaan dari relaksminda.com