Kota Ngah Ibrahim ialah satu bangunan bersejarah yang dibina oleh Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar iaitu seorang pembesar Perak yang masyhur kerana menjadi salah seorang penentang campur tangan British dalam Hal Ehwal Pentadbiran negeri Perak selepas Perjanjian Pangkor pada tahun 1874. Kota ini merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Larut yang pada ketika itu menjadi jajahan takluk di bawah kuasa Ngah Ibrahim.
Kota Ngah Ibrahim dibina di Matang dalam tahun 1854. Kota ini mempunyai tembok batu sepanjang 131 meter dan lebar 110 meter. Lokasi bersejarah ini terletak kira-kira 8 km dari bandar Taiping. Di dalam kawasan Kota ini, Ngah Ibrahim telah membina sebuah rumah besar yang menjadi kediaman rasminya. Sebuah bangunan setor digunakan sebagai tempat simpanan bijih timah.
Selepas Ngah Ibrahim dihukum buang negeri, Kota Ngah Ibrahim diambil alih oleh pihak British. Ia pula digunakan sebagai kediaman rasmi Kapten Tristam Speedy, Penolong Residen di samping digunakan sebagai bangunan mahkamah untuk perbicaraan Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor kerana tuduhan membunuh Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch. Mereka didapati bersalah dan menjalani hukuman gantung di hadapan Kota Ngah Ibrahim pada 21 Januari 1877.
Dalam tahun 1913, Bangunan Kota Ngah Ibrahim digunakan sebagai bangunan untuk Maktab Perguruan Melayu dikenali sebagai Kolej Matang sehinggalah pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris dalam tahun 1923. Bangunan itu kemudiannya digunakan sebagai bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan Matang. Semasa Pendudukan Jepun, bangunan ini dijadikan ibu pejabat tentera Jepun.