Asal usul dan sejarah nama negeri Perak masih samar-samar penceritaannya. Hal ini adalah kerana kisah dan penceritaan banyak diturunkan melalui cerita lisan dan kurangnya rekod bertulis.
Cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sejak ratusan tahun yang lalu amat sukar untuk diangkat menjadi satu fakta sebenar.
Permasalahan dalam proses penceritaan lisan ini nyata terdapat begitu banyak tokok tambah sehinggakan wujudnya pelbagai versi cerita yang menarik untuk didendangkan pada generasi yang baru.
Dalam buku Sejarah Ringkas Negeri Perak pada halaman 4 ada bertulis sebanyak 6 versi tentang cerita asal usul nama negeri Perak yang telah diringkaskan penceritaannya.
Versi Pertama – Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama negeri Perak dikatakan berasal daripada anak panah perak milik putera Raja Merong Mahapudisat.
Diceritakan kisahnya, putera ini sedang mencari satu tempat baru untuk dijadikan sebuah negeri. Apabila tiba di sebuah kawasan yang bertasik, beliau telah memanah ke udara dengan menggunakan anak panah daripada perak dan busur panahnya pula bernama Indera Sakti.
Anak panah tersebut akhirnya jatuh di sebuah pulau lalu pulau tersebut diberi nama Pulau Indera Sakti. Pulau tersebut kemudian dijadikan pusat negeri baru yang diberi nama Negeri Perak.
Komen editor orangperak.com : Sepertimana yang kita tahu, dalam Hikayat Misa Melayu tulisan Raja Chulan ada direkodkan nama Pulau Indera Sakti yang menjadi pusat pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar Zulkarnain (sultan Perak ke 15).
Pada asalnya pulau tersebut bernama Pulau Cempaka Sari dan diubah namanya kepada Pulau Indera Sakti setelah baginda berpindah tempat bersemayam dari Barhaman Indera ke Pulau Cempaka Sari.
Jadi kisah versi pertama ini mungkin tidak relevan kerana ianya nyata berlaku dalam zaman yang berbeza namun mungkin lokasi pulau yang disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa mungkin tidak sama dengan Pulau Cempaka Sari atau ia langsung tidak berkaitan. Saya tidak dapat beri komen yang panjang kerana belum membaca Hikayat Merong Mahawangsa.
*gambar hiasan
Versi Kedua – Semasa Megat Terawis sedang mudik di sebatang sungai, beliau terlihat seekor ikan haruan yang amat besar dengan anak-anaknya sehinggakan air sungai menjadi keruh putih berkilat laksana perak. Sungai itu dinamakan oleh Megat Terawis sebagai Sungai Perak dan demikianlah juga munculnya nama negeri Perak.
Komen editor orangperak.com : Ianya jelas kisah sumber dari cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Hal ini adalah kerana nama negeri Perak telah wujud pada zaman kesultanan Melaka lagi yang mana ia wujud sebelum Megat Terawis diangkat menjadi bendahara negeri Perak.
Versi Ketiga – Di hulu sebatang sungai yang masih belum bernama, terdapat sepohon pokok kekabu yang terletak betul-betul di kawasan sepadan dengan Siam.
Semua bunga kekabu yang masuk ke dalam kawasan sepadan Siam berwarna merak manakala bunga kekabu yang bertentangan dengan sepadan Siam pula berwarna putih melepak seakan-akan warna perak. Maka dari situlah timbulnya nama negeri Perak dan sungai Perak.
Komen editor orangperak.com : Ianya juga adalah kisah sumber dari cerita lisan yang telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
Versi Keempat – Nama negeri Perak muncul daripada bijih timah yang banyak didapati di negeri Perak. Ianya kelihatan putih berkilat seakan perak apabila terkena cahaya matahari.
Komen editor orangperak.com : Aktiviti perlombongan timah mula aktif di negeri Perak pada zaman Long Jaafar di Larut. Semuanya bermula dengan seekor gajah bernama Si Larut milik Long Jaafar yang hilang ditemui semula dan apabila ditemui semula, terdapat kesan timah di kaki Si Larut dan menyebabkan Long Jaafar berusaha membuka lombong bijih.
Namun, aktiviti melombong timah sebenarnya telah bermula sejak dari zaman pemerintahan Almarhum Sultan Muzaffar Shah III (sultan Perak ke 13) lagi. Berikutan hal ini dapat dibuktikan dalam rekod tulisan Raja Chulan dalam Hikayat Misa Melayu dan dari situlah wujudnya Kota Belanda di Pengakalan Halban dan Pulau Pangkor sebagai pusat pengumpulan bijih timah. Jadi, kisah penceritaan ini mungkin juga tidak relavan untuk dijadikan sebagai fakta asas untuk asal usul nama negeri Perak.
Sungai Perak di Hulu Perak
Versi Kelima – Terdapat peneroka awal yang melihat air sungai yang berkilat putih seperti hamparan perak apabila terkena cahaya matahari. Maka sungai itu dinamakan sebagai sungai Perak dan begitulah juga negeri dinamakan sebagai negeri Perak.
Komen editor orangperak.com : Ini adalah kisah yang selalu didendangkan sehingga ke hari ini yang mana sungai Perak yang dahulunya jernih warnanya tidak seperti hari ini. Cerita lisan yang diperturunkan ini berkemungkinan adalah salah satu faktor kenapa negeri ini dinamakan sebagai negeri Perak namun ia tidak direkod dalam mana-mana penulisan lama.
Versi Keenam – Nama negeri Perak berasal daripada nama bendahara Tun Perak yang cukup terkenal dalam sejarah Melaka.
Komen editor orangperak.com : Bendahara Tun Perak dikatakan berasal dari kawasan negeri Perak dan menetap di Klang. Beliau adalah bendahara Melaka yang ke 5 dan beliau juga adalah bendahara yang paling masyhur antara semua bendahara Melaka. Sekali lagi, ini adalah kisah penceritaan lisan yang seringkali didendangkan dan nama Perak sebenarnya telah wujud sebelumnya lagi.
Dari keenam-enam versi cerita yang tertera dalam artikel ini, yang mungkin relavan sekali adalah kisah versi yang kelima yang mana peneroka awal yang melihat air sungai yang berkilat putih seperti hamparan perak apabila terkena cahaya matahari.
Maka sungai itu dinamakan sebagai sungai Perak dan begitulah juga negeri dinamakan sebagai negeri Perak. Namun sekali lagi ingin kami tekankan bahawa tiada rekod jelas tentang penceritaan asal usul nama untuk negeri Perak yang masih lagi samar-samar sehingga ke hari ini.