Hanya kerana menegur sekumpulan mat rempit, seorang pemandu ambulan terpaksa menanggung akibat dengan menerima empat jahitan di muka selepas tindakannya menegur sekumpulan mat rempit yang sedang berlumba telah mendatangkan kemarahan kumpulan mat rempit berkenaan.
Dalam kejadian jam 1.40 pagi 17 Disember 2017, berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara Selatan, lelaki yang berusia 53 tahun itu cedera di kening kanan dan manakala seorang jururawat wanita dalam ambulans itu diterajang.
Mangsa yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia bersama seorang pembantu perubatan dan seorang jururawat dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping. Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran plaza tol itu, dia melihat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai sedang berlumba.
“Oleh kerana tindakan mereka boleh membahayakan perjalanan ambulans, saya menggunakan pembesar suara menegur mereka agar memberi laluan kepada kami. Tetapi, tindakan saya membangkitkan kemarahan mereka yang kemudian menghimpit ambulans sebelum seorang daripada mat rempit itu terjatuh, mereka makin marah dan terus menghalang laluan kami menggunakan motosikal masing-masing”, katanya ketika dihubungi wartawan berita harian.
Sebaik sahaja ambulan berhenti, kira-kira empat hingga enam remaja lelaki mat rempit itu kemudian membuka pintu dan menariknya keluar dari kenderaan sebelum menumbuk mukanya sehingga cedera dan membelasahnya bertubi-tubi.
Jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu untuk meleraikan kumpulan terbabit namun malang sekali dia pula diterajang. Apabila orang ramai menyedari kejadian itu, kumpulan mat rempit berkenaan terus melarikan diri dan mangsa pula meneruskan perjalanan menghantar pesakit ke hospital.
Selepas selesai menghantar pesakit, mangsa terus membuat laporan polis di Taiping sebelum pulang ke Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan. “Saya dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal seorang daripada remaja yang memukul saya, manakala motosikal lain tiada nombor pendaftaran. Difahamkan polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal terbabit dan tindakan serta siasatan lanjut sedang dijalankan”, katanya.
Semua orang pasti tahu lokasi panas tersebut seringkali menjadi litar lumba haram yang membabitkan motosikal dan kereta terutama pada malam minggu. Kebiasaannya malam minggu bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pasti ada kumpulan mat rempit dan kereta yang akan berlumba di sana.