Home Blog Page 69

Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak

0

Menurut sumber dari catatan penulisan Allahyarham Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas iaitu waris kepada Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab (Pemerintah Mukim Lambor Sebelum Penjajahan British), ada kisah yang menyatakan tentang terdapat satu usaha untuk mendamaikan perbalahan perebutan takhta Sultan Perak pada waktu itu.

Perbalahan dalam perebutan takhta Sultan Perak ini sebenarnya berlaku sebelum Raja Bendahara Ismail diangkat menjadi Sultan Perak ke 25 lagi dalam tahun 1871. Takhta tersebut direbut antara Raja Muda Abdullah (sebelum menjadi Sultan Perak ke 26) dengan Raja Bendahara Ismail (sebelum menjadi Sultan Perak ke 25).

Jadi, Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek dan Toh Paduka Raja Alang Abu Kassim serta saudara mereka iaitu Toh Seri Nara Diraja Alang Dayan telah berikhtiar untuk mendamaikan perbalahan perebutan takhta untuk Sultan Perak yang telah berlaku pada waktu itu.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, usaha dalam mendamaikan kedua-dua belah pihak yang berkuasa ini amatlah susah. Tambahan lagi kerana perjalanan dari Batak Rabit yang terletak di Hilir Perak iaitu tempat Raja Muda Abdullah bersemayam dengan Sayong, Kuala Kangsar tempat bersemayam Sultan Ismail begitu jauh.

Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak

Makam Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab

Zaman dahulu manalah ada kenderaan seperti hari ini. Perjalanan dari Sayong ke Batak Rabit mengambil masa hampir seharian dengan menggunakan sampan melalui Sungai Perak. TToh Maharaja Dewa Panjang Ogek terpaksa berulang-alik berkali-kali selama bertahun-tahun sehinggalah akhirnya berjaya melembutkan hati kedua-dua belah pihak untuk berjumpa dan berbincang.

Perjumpaan dikatakan akan diadakan di satu tempat dikawasan mukim Belanja yang mana pada waktu itu dikatakan Sultan Ismail bersetuju untuk menyerahkan takhta Sultan Perak kepada Raja Muda Abdullah serta perkakas kerajaan yang berada di tangan baginda.

Maka berangkatlah kedua-dua pihak menuju ke kawasan yang telah dipersetujui untuk berjumpa. Raja Muda Abdullah berangkat dari Batak Rabit dan Sultan Ismail berangkat dari Sayong. Akan tetapi, Sultan Ismail berlabuh di Kuala Pasir manakala Raja Muda Abdullah pula singgah di Hujung Pasir. Kedua-dua belah pihak masing-masing enggan berangkat ke tengah-tengah kawasan untuk perjumpaan dan ia memakan masa selama beberapa hari.

Oleh kerana itu, Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek terpaksa berulang-alik untuk kedua-dua belah pihak supaya dapat membawa perutusan ke dari satu pihak ke satu pihak yang lain. Namun begitu, kedua-dua belah pihak masih enggan bertemu kerana masing-masing punyai alasannya yang tersendiri.

Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26)

Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26)

Alasan sebelah pihak Raja Muda Abdullah mengatakan jika benar pihak Sultan Ismail ingin bersungguh-sungguh menyerahkan kuasa dan perkakas kerajaan, mengapa enggan menemui baginda sedangkan perjalanan dari Sayong ke Belanja memakan masa.

Manakala di pihak Sultan Ismail pula mengatakan bahawa jika benar Raja Muda Abdullah hendak datang mengadap dengan aman untuk mengambil perkakas kerajaan dan beruding dengan baginda, mengapa enggan mudik sedikit sedangkan perjalanan dari Batak Rabit ke Belanja juga memakan masa yang panjang.

Akhirnya di suatu pagi, kelihatan perahu-perahu pihak Sultan Ismail bertolak ke hilir daripada kepala pasir menuju ke arah perahu kenaikan Raja Muda Abdullah sambil ke hilir mengikut arus tanpa menyinggah disitu sementara perahu kenaikan baginda Sultan Ismail melintasi perahu kenaikan Raja Muda Abdullah.

Maka Raja Muda Abdullah pada waktu itu telah terdengar akan Sultan Ismail bertitah sekiranya Raja Muda Abdullah berkehendakkan gelaran Sultan dan perkakas kerajaan maka bolehlah baginda menuntut dihujung laras meriam dan senapang maka dengan ini luputlah sama sekali pintu jalan kedamaian yang diusahakan sekian lama.

Ekoran dari itu, Raja Muda Abdullah telah meminta bantuan dari pihak Inggeris maka terjadinya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 mengangkat Raja Muda Abdullah sebagai Sultan Perak dan Raja Bendahara Ismail bekas Sultan dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda dengan bersara dan dibayar pencen.

Lokasi sebenar J.W.W. Birch dibunuh

Lokasi sebenar J.W.W Birch dibunuh

Waktu itulah pihak Inggeris telah menghantar seorang pegawai Residen Bristish yang pertama di negeri Perak iaitu J.W.W Birch. Berikutan perjanjian ini, pihak Inggeris telah telibat secara langsung dalam pentadbiran negeri Perak dan tidak beberapa lama kemudian, telah berlaku perselisihan faham antara Sultan Abdullah dengan J.W.W Birch sehingga menyebabkan J.W.W Birch dibunuh di Pasir Salak. Rujuk artikel Perincian Kisah Detik Pembunuhan J.W.W. Birch.

Peperangan telah berlaku diantara pihak British dengan pihak Sultan Abdullah dan ekoran dari peperangan itu, pihak British memutuskan Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Dato’ Syahbandar Uda Maamor, Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seychelles dan Sultan Ismail dibuang negeri ke Skudai, Johor.

Bersama-sama dalam mengiringi baginda Sultan Muda Ismail ke Skudai, Johor ialah kerabat keluarga Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek sendiri iaitu Toh Paduka Raja Alang Abu Kassim yang juga merangkap besan beliau dan saudara mereka Toh Seri Nara Diraja Alang Dayan.

Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak

Makam Sultan Ismail di Johor

Sultan Muda Ismail mangkat pada 4 September 1889 dan almarhum baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu serta telah diberi gelaran Marhum Mangkat di Skudai. Anda boleh rujuk artikel orangperak.com yang lalu bertajuk Menjejaki Makam Sultan Perak Ke 25 Di Negeri Johor.

Selepas kemangkatan Sultan Muda Ismail pada tahun 1889, Toh Paduka Raja Alang Abu Kassim bersama dua orang anaknya iaitu Long Jati dan Ngah Kenta pulang semula ke negeri Perak manakala Toh Seri Nara Diraja Alang Dayan tidak sempat pulang ke negeri Perak beliau telah meninggal dunia pada tahun yang sama dan dimakamkan di negeri Johor, tetapi anaknya Mohd Yatim dan isteri beliau Toh Seri Nara Suri Long Madin telah pulang semula ke negeri Perak.

Qawwam Sri Bota, Warung Pahlawan Di Bota Kiri

Warung pahlawan terletak di Teluk Kepayang, Bota Kiri. Lokasinya betul-betul terletak berhadapan dengan sekolah tahfiz yang ada di Kampung Seri Kaya, Teluk Kepayang Bota Kiri.

Sejarah Rumah Agam Usang Di Pekan Karai

Pekan Karai cukup popular dengan namanya yang seringkali menjadi sebutan buat penduduk di sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput. Karai adalah sebuah pekan kecil yang terletak di tebing sungai Perak. Ia adalah sebuah mukim yang berada dibawah jajahan dan pentadbiran daerah Kuala Kangsar.

Peristiwa Letupan Bom Keretapi Di Batu Gajah 1973

0

Peristiwa letupan bom keretapi yang berlaku dekat dengan stesen keretapi di Batu Gajah pada tarikh 22 Jun 1973 semakin dilupakan. Buat warga emas di sekitar kawasan Batu Gajah mungkin masih ingat akan ceritanya tentang peristiwa ini yang pada masa itu amat heboh diperkatakan.

Akibat daripada peristiwa letupan bom yang berlaku di stesen keretapi Batu Gajah itu, seramai 13 orang telah cedera dan 2 orang daripadanya telah meninggal dunia. Letupan bom tersebut berlaku kira-kira 1.40 pagi pada tarikh 22 Jun 1973.

Letupan bom yang mengorbankan seramai 2 orang penumpang itu berlaku dalam gerabak keretapi penumpang kelas ke 3. Keretapi tersebut dalam perjalanan laluan kebiasaannya dari Kuala Lumpur untuk ke Pulau Pinang. Kebanyakan penumpang dalam gerabak keretapi tersebut terdiri daripada ramai anggota batalion ke 11 Askar Melayu. Mereka pewira negara ini adalah anggota dari Kluang, Johor yang dalam perjalanan ke sempadan Malaysia – Thailand untuk bertugas disana.

Dari kesemua 11 orang mangsa letupan bom tersebut empat darinya adalah orang awam, enam orang tentera dan seorang polis hutan. Seorang daripada orang awam adalah seorang wanita yang sedang hamil dan juga merupakan isteri kepada seorang mangsa.

Seorang yang terbunuh dalam letupan bom tersebut adalah orang awam dan Kementerian Pertahanan ada buat pengumuman di Kuala Lumpur pada sebelah petang keesokan harinya untuk mengumumkan tentang seorang tentera yang terbunuh itu bernama Darman bin Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Darman yang merupakan seorang tentera dikatakan meninggal dunia sejurus selepas letupan bom tersebut berlaku. Hal ini adalah kerana bom tersebut meledak dibawah kerusinya. Jenazah Darman bin Mat telah diterbangkan ke Kelantan pada keesokan paginya selepas peristiwa tersebut untuk dikebumikan di kampung halaman arwah.

Orang awam yang terbunuh sewaktu letupan bom tersebut adalah individu yang bernama Khalid bin Awang yang berasal dari Kulim, Kedah. Arwah dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampungnya halamannya dan arwah telah meninggal dunia pada jam 4.00 pagi di Hospital Besar, Ipoh semasa sedang dapatkan rawatan.

Empat individu yang tercedera dari letupan itu dikatakan parah dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Besar Ipoh. Seorang daripada mereka adalah seorang pegawai polis yang bernama Taharuddin Bin Idris dari batalion ke 8 polis hutan yang bertugas di negeri Johor.

Sementara 7 orang mangsa selebihnya dirawat di Hospital Batu Gajah. Antara mereka adalah Korporal Abu Bakar bin Ayob yang berusia 26 tahun dan isterinya yang sedang hamil berusia 20 tahun dan seorang lagi mangsa adalah tentera bernama Osman bin Ismail berusia 23 tahun.

Peristiwa Letupan Bom Keretapi Di Batu Gajah 1973


keadaan gerabak yang rosak akibat letupan bom

Akibat daripada letupan bom tersebut, bumbung gerabak penumpang telah berlubang besar dan tingkap serta tempat duduk di dalam gerabak itu telah rosak teruk. Serpihan-serpihan bom juga turut ditemui berselerak dalam gerabak tersebut. Ketua pegawai polis Perak iaitu Timbalan Pesuruhjaya Mahmood bin Mohd Yunus dan pemerintah bridget ke 2 infanteri Malaysia Brig. Jeneral Abdul Latiff Bin Hussein serta beberapa orang pegawai polis dan tentera telah datang ke lokasi kejadian untuk jalankan siasatan lanjut.

Setelah siasatan dijalankan, pihak polis percaya bahawa letupan bom itu berlaku dan berpunca daripada sebutir bom lontar yang terledak dengan tidak sengaja. Bom itu dipercayai berada dalam sebuah beg tentera yang diletakkan di bawah tempat duduk yang terbunuh iaitu Darman bin Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Letupan tersebut telah menyebabkan perjalanan keretapi yang membawa sebanyak 22 gerabak itu tergendala selama beberapa jam. Gerabak yang telah rosak akibat daripada letupan itu terletak yang ke enam dari hadapan dan ia tinggalkan di stesen keretapi Batu Gajah.

Gerabak-gerabak yang selebihnya dibawa dan perjalanan ke destinasi diteruskan dengan membawa kira-kira 500 orang penumpang kira-kira tepat jam 3.25 pagi. Kopral Abu Bakar ketika ditemu ramah oleh wartawan Berita Harian di hospital berkata bahawa dia duduk bersama isterinya dan mereka dalam perjalanan pulang ke kampung isterinya yang bernama Normah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, dia sedang tidur lena dan terjaga apabila letupan tersebut berlaku dan gerabak itu bergegar dengan kuat. Dalam masa yang sama, dia juga terasa dahinya seperti kena pukul dan keadaan dalam gerabak sangat bising dengan jeritan penumpang yang lain. Melihat dalam keadaan dalam gerabak pada waktu itu amat menakutkan. Seluruh ruang gerabak gelap dengan asap putih tebal serta melihat keadaan isteri yang hamil disebelah dirinya yang juga cedera amat menakutkan.

Sumber dan rujukan:

  • Berita Harian 23 June 1973

Mangga Chokanan Di Lekir, Perak Setanding Mangga Harum Manis

Jika di negeri Perlis cukup terkenal dengan keenakan mangga harum manis, namun mangga di Lekir, Perak pula tidak kurang hebatnya. Mangga chokanan menjadi tarikan baru sebagai produk pertanian yang sedang giat dijalankan oleh pengusaha di kawasan Lekir, Perak.

Kisah Penubuhan Kumpulan Parang Panjang Di Kampung Bekor, Perak

Dalam usaha untuk mempertahankan orang Melayu, golongan ulama, pemimpin agama dan tokoh tempatan dikatakan memiliki kelebihan luar biasa pada waktu itu.

Kisah Lim Bo Seng Ditanam Tak Bertanda Di Belakang Penjara Batu Gajah

Setiap jalan yang dinamakan sempena nama individu sememangnya punyai cerita menarik dan semakin dilupai ramai. Tujuan jalan-jalan tersebut dinamakan sempena nama individu adalah untuk memperingati jasa mereka yang amat besar.

Kisah Menara Pavilion Di Kuala Kangsar

Menara Pavilion adalah salah satu mercu tanda buat Kuala Kangsar. Pada satu ketika dahulu, menara Pavilion ini adalah antara salah satu bangunan yang punyai sentuhan seni bina rekaan Melayu paling indah yang pernah ada di Kuala Kangsar.

Pengeboman Terbesar Darurat Malaya Berlaku Di Perak

Dalam bulan April 1958, pesawat British, Australia dan New Zealand telah selesai dari operasi pengeboman dari udara ke tanah negeri Perak yang mana ia adalah yang paling dahsyat sejak tanah air kita mendapat kemerdekaan sejak pada tahun 1957.

Kewujudan Pelabuhan Teluk Anson Yang Semakin Dilupakan

0

Sinonim dengan sejarah negara kita sebelum negara kita negara Malaysia dapat kemerdekaan, Teluk Intan yang kita dapat lihat hari ini punyai 1,001 cerita yang semakin hari semakin hilang ditelan zaman.