Home Blog Page 11

Bicara Sejarah Teluk Intan & Kampung Baru: UiTM Perak Cungkil Warisan Budaya Tempatan

Program “Bicara: Menyelusuri Sejarah Teluk Intan & Pembentukan Kampung Baru” berlangsung di Studio AP025-AP030, UiTM Seri Iskandar, Perak pada 15 Jun 2025. Acara ini merupakan inisiatif pelajar Semester 5 dari Program Seni Bina Landskap, Fakulti Alam Bina (FAB) dan berjaya dijalankan dalam satu sesi ilmiah.

Dengan objektif untuk menelusuri akar sejarah bandar Teluk Intan dan konsep Kampung Baru, program ini menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan kembali naratif sejarah tempatan kepada masyarakat. Ia membuka ruang perbincangan terbuka berkaitan pembentukan identiti komuniti serta kesan sejarah terhadap kehidupan masyarakat moden.

Perkongsian Ilmu oleh Pasukan Orang Perak

Panel jemputan khas daripada Orang Perak membawa nafas segar dalam sesi ini. Freddie Aziz Jasbindar, selaku pengasas, serta rakan panel iaitu Iskandar Zulqarnain bin Zaheruddin dan Saiful Reza bin Mohd Razali, tampil berkongsi pelbagai perspektif berasaskan pengalaman mereka dalam mendokumentasikan sejarah negeri.

Mereka menekankan bahawa penting untuk masyarakat tempatan, terutamanya generasi muda, memahami sejarah sebagai tunjang pembentukan jati diri. Perkongsian mereka tidak hanya terhad pada fakta sejarah, malah diperkuatkan dengan naratif budaya, cerita lisan, dan kepentingan dokumentasi sejarah melalui medium digital seperti blog dan video.

Kupasan Tentang Warisan Budaya dan Sosial

Antara isu penting yang dibangkitkan adalah bagaimana warisan budaya di Teluk Intan, termasuk struktur tradisional, amalan komuniti, dan naratif sejarah, perlu dipelihara agar tidak pupus ditelan masa. Perbincangan turut menyentuh impak penjajahan, kemerdekaan, serta peranan penduduk tempatan sebagai tapak perpaduan dan pengekalan budaya Melayu.

Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pemeliharaan warisan sebagai asas pembangunan masa depan. Sejarah bukan sekadar cerita lama, tetapi satu khazanah yang membentuk nilai dan norma dalam masyarakat. Warisan sosial inilah yang mencorak cara hidup, gaya berfikir dan semangat kolektif komuniti setempat.

Interaksi Dinamik dan Sambutan Luar Jangka

Sesi yang sepatutnya berakhir jam 12.00 tengah hari dilanjutkan sehingga awal petang kerana keterujaan peserta dalam mengikuti perbincangan dan menyuarakan pandangan. Ini menunjukkan betapa besar minat masyarakat terhadap sejarah apabila ia disampaikan secara menarik dan relevan dengan konteks semasa.

Peserta program terdiri sepenuhnya daripada pelajar UiTM Seri Iskandar, khususnya dari Fakulti Alam Bina. Walaupun hanya melibatkan pelajar, sambutan yang diberikan sangat luar biasa dengan penglibatan aktif dalam sesi soal jawab dan perbincangan sepanjang program berlangsung.

Ini menunjukkan bahawa apabila sejarah dikupas dengan pendekatan yang relevan dan dekat dengan masyarakat, ia mampu menimbulkan minat mendalam dalam kalangan generasi muda. Penglibatan pelajar yang tinggi dalam program ini membuktikan bahawa warisan budaya dan sejarah masih mendapat tempat di hati anak muda apabila ia dipersembahkan dengan cara yang menarik.

UiTM Seri Iskandar Sebagai Pusat Pemacu Ilmu Tempatan

Program ini sekali lagi mengukuhkan peranan UiTM Seri Iskandar sebagai pusat pendidikan yang bukan hanya menumpukan kepada teori akademik, tetapi juga berfungsi sebagai wadah intelektual yang mengangkat nilai sejarah dan budaya tempatan. Penganjuran program ini adalah bukti bahawa kampus boleh menjadi jambatan antara ilmu dan masyarakat.

Fakulti Alam Bina dan para pelajarnya berjaya memanfaatkan kreativiti serta pendekatan berstruktur dalam membawa sejarah hidup ke tengah masyarakat. Dengan memberi ruang kepada suara komuniti seperti Orang Perak, institusi ini menyahut seruan untuk memartabatkan ilmu tempatan dalam kerangka pembangunan negara.

Harapan dan Masa Depan Warisan Perak

Program seperti ini wajar diteruskan secara konsisten kerana ia bukan sahaja mengangkat nilai sejarah tempatan, malah membuka ruang kepada anak muda untuk lebih menghargai warisan budaya yang membentuk jati diri mereka. Melibatkan pelajar dalam program seumpama ini adalah langkah bijak untuk mendekatkan golongan muda dengan realiti sejarah negeri yang selama ini mungkin hanya dikenal melalui buku teks.

Pendidikan sejarah tidak seharusnya terhad di dalam bilik darjah sahaja. Ia perlu dibawa keluar ke ruang sosial, agar pelajar dapat melihat sendiri kaitan sejarah dengan kehidupan moden serta membina hubungan emosi dengan identiti negeri mereka. Penerapan nilai warisan ini akan lebih berkesan apabila disampaikan dalam bentuk pengalaman sebenar, melalui wacana, pameran, atau perkongsian seperti yang telah dilakukan dalam program ini.

Kolaborasi antara institusi pendidikan, pihak komuniti, dan platform sejarah seperti Orang Perak harus diperkukuhkan agar warisan negeri terus hidup dan berkembang. Jika ada mana-mana pihak seperti sekolah, universiti, NGO, atau jabatan kerajaan yang ingin menjemput pihak kami untuk berkongsi dalam program sejarah, budaya atau komuniti, sila hubungi kami terus di talian 0135000507. Kami amat mengalu-alukan sebarang kerjasama demi melestarikan warisan Perak untuk generasi akan datang.

Solidariti Warga Perak Dermakan Darah untuk Pelajar UPSI Terlibat Kemalangan Bas

Solidariti Warga Perak Dermakan Darah untuk Pelajar UPSI Terlibat Kemalangan Bas

Tindakan pantas lebih 200 orang yang hadir ke Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, semalam menggemparkan ramai. Gelombang solidariti itu tercetus selepas satu maklumat tular di media sosial memohon sumbangan darah untuk membantu seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas bas maut di Gerik, Perak.

Menurut laman Beautifulnara, seruan menderma darah itu tersebar luas apabila ramai warganet berkongsi permohonan segera bagi membantu mangsa yang masih hidup. Rakaman video yang viral menunjukkan pusat pendermaan darah dipenuhi orang ramai yang sanggup beratur panjang demi menyumbang darah untuk menyelamatkan nyawa.

Mangsa Stabil, Tapi Stok Darah Masih Kritikal
Semua mangsa yang terselamat kini mendapat rawatan, namun stok darah di hospital masih rendah. Menurut Derma Darah Ipoh dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, bekalan darah untuk mangsa kemalangan bas UPSI telah mencukupi berikutan sambutan hangat orang ramai.

Namun, mereka menegaskan bahawa stok darah di HRPB masih tidak stabil, terutamanya semasa musim perayaan yang permintaannya tinggi.

“Kami menggesa orang ramai untuk terus menderma darah kerana keperluan ini berterusan, bukan hanya untuk mangsa kemalangan ini, tetapi juga pesakit lain yang memerlukan,” jelas pihak hospital.

Mereka turut menyeru, “Mari kita pupuk budaya menderma darah dalam masyarakat.”

Tindakan pantas dan prihatin rakyat Malaysia ini membuktikan betapa sikap tolong-menolong masih kukuh dalam kalangan masyarakat, terutama ketika negara berdepan dengan situasi genting.

Dewan Belia Perak Sesi ke-5 Dilantik, Sedia Pimpin Suara Anak Muda

Dewan Belia Perak Sesi ke-5 Dilantik, Sedia Pimpin Suara Anak Muda

Satu lembaran baharu bermula buat belia Perak hari ini dengan berlangsungnya Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Dewan Belia Negeri Perak Sesi ke-5 Tahun 2025-2026 pada jam 2.00 petang tadi. Acara bersejarah ini menandakan pelantikan rasmi barisan kepimpinan baharu, termasuk Speaker, Timbalan Speaker I & II, Setiausaha serta Penolong Setiausaha I & II, yang bakal memikul tanggungjawab memperjuangkan aspirasi generasi muda negeri ini.

Majlis penuh bermaruah ini disaksikan oleh YB Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak; YB Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak; dan Tuan Mohd Ikram bin Ahmad, Setiausaha Dewan Negeri Perak. Kehadiran pemimpin negeri ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memberi ruang dan sokongan kepada kepimpinan belia.

Turut hadir memberi dorongan ialah En. Aldrin Ng, Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK); Encik Iqbal Jamal bin Jamaludin, Pengarah Unit Komunikasi Strategik Negeri Perak (STRATCOMM); serta Dr. Maisarah binti Ahmad, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR). Kehadiran mereka mencerminkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan wakil belia.

Ucapan tahniah ditujukan kepada Prof Madya Sr Dr Mohd Azian bin Zaidi atas pelantikan beliau sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Perak bagi sesi ini. Turut memikul amanah penting ialah Muhammad Asree bin Abdul Aziz (Timbalan Speaker I), Malik Syam bin Mohammed Latiff (Timbalan Speaker II), Noor Azwan bin Mohd Taib (Setiausaha), Darwisyah Izatti Azmira binti Mohd Yunus (Penolong Setiausaha I), dan Muhammad Faiz Nazrin bin Zulkeflee (Penolong Setiausaha II).

Untuk pengetahuan semua, Cikgu Malik Syam bin Mohammed Latiff yang dilantik menjadi Timbalan Speaker II Dewan Belia Perak kali ini merupakan penulis dan sukarelawan Orang Perak. Beliau aktif bersama Orang Perak sejak dari tahun 2018 lagi. Beliau juga sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Belia Negeri Perak, Yang Dipertua GPMS Batang Padang dan Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Batang Padang. Perlantikan ini sangat tepat dengan sumbangan kepada belia yang telah beliau curahkan selama ini. Kami di Orang Perak berbangga dengan keberadaan beliau di dalam Dewan Belia Negeri Perak dan mendoakan kejayaan beliau mengemudi Dewan Belia Negeri Perak bagi sesi baharu kali ini.

Dewan Belia Negeri Perak Sesi ke-5 dijangka akan mengadakan persidangan pertamanya pada Ogos 2025, di mana pelan tindakan dan inisiatif baharu untuk belia Perak akan dibentangkan.

Jangan Berhenti Merakam Lokasi Kemalangan, Gajah Boleh Muncul Bila-Bila Masa

Jangan Berhenti Merakam Lokasi Kemalangan, Gajah Boleh Muncul Bila-Bila Masa

Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah berhenti untuk merakam lokasi kemalangan bas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli kerana kawasan tersebut merupakan zon kemunculan gajah liar.

Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, sekiranya terdapat keperluan untuk berada di lokasi berkenaan, waktu yang paling sesuai adalah pada tengah hari, antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.

“Waktu gajah biasanya mula muncul adalah dari lewat petang hingga awal pagi esoknya. Sila berhati-hati. Potensi untuk gajah muncul memang ada. Kalau malam dan awal pagi, jangan berhenti di situ,” tegasnya.

Tinjauan di lokasi mendapati terdapat banyak najis gajah di sepanjang jalan menuju ke tempat kejadian kemalangan bas. Malah, lokasi tersebut hanya kira-kira 20 minit dari tempat kejadian anak gajah yang mati dilanggar lori pada awal bulan lalu.

Seorang pemandu kenderaan berat yang berada di lokasi turut mengesahkan bahawa selain gajah, harimau juga kadangkala boleh muncul di kawasan berkenaan.

“Apabila tiba di puncak Titiwangsa ini, kami yang kerap memandu di sini akan berhati-hati terutama pada waktu malam. Malah, ketika kita berhenti dan bercakap di sini pun, mungkin ada haiwan liar yang sedang memerhati,” katanya ketika ditemu bual semasa kenderaannya dihentikan bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa membersihkan kawasan kemalangan.

Sejak kejadian kemalangan bas dua hari lalu, banyak kenderaan yang melalui kawasan tersebut dilihat bergerak perlahan untuk melihat lokasi kejadian, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk merakam video atau mengambil gambar.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi nasihat yang diberikan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Sultan dan Raja Permaisuri Perak Ziarahi Mangsa Tragedi Bas Penuntut UPSI, Titah Langkah Pencegahan

Sultan dan Raja Permaisuri Perak Ziarahi Mangsa Tragedi Bas Penuntut UPSI, Titah Langkah Pencegahan

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (Canselor UPSI), berkenan mencemar duli berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, bagi menziarahi keluarga mangsa dan mendapatkan taklimat terperinci berkenaan tragedi nahas jalan raya di KM53, Jalan Timur Barat Jeli-Gerik. Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin, 9 Jun 2025 itu meragut 15 nyawa dan mengakibatkan 24 pelajar cedera, dengan 22 daripadanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Gerik, manakala dua lagi menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Dalam lawatan penuh hikmah itu, Baginda berdua menyatakan rasa dukacita yang mendalam atas kejadian menyayat hati yang meragut nyawa secara tragik. Baginda menegaskan, meskipun ajal dan maut adalah ketentuan Ilahi, manusia diperintahkan untuk berikhtiar sedaya upaya menghindari malapetaka melalui langkah-langkah proaktif.

“Allah subhanahu wataala menyeru hamba-Nya agar sentiasa berusaha mencegah bahaya dan bencana,” titah Baginda, sambil menekankan bahawa insiden terbaru ini harus dijadikan pengajaran oleh semua pihak. “Kita perlu menilai semula kelemahan yang wujud, terutamanya dari aspek penguatkuasaan undang-undang jalan raya, agar tragedi sedih seumpama ini tidak berulang,” tegas Baginda, merujuk kepada peningkatan kes kemalangan maut kebelakangan ini.

Baginda turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa dan keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam usia muda secara mendadak. “Kami turut berasa sedih atas ujian berat yang menimpa keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi dugaan ini dengan penuh redha,” titah Baginda.

Di akhir ziarah, Baginda berdoa agar roh para mangsa dilimpahi rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh, sementara yang cedera diharapkan pulih sepenuhnya. Lawatan penuh kasih sayang ini sekali lagi menyerlahkan keprihatinan mendalam Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Tuanku Zara terhadap keselamatan serta kebajikan rakyat jelata.

Seruan Perubahan
Tragedi ini diharapkan menjadi pemangkin kepada transformasi sistem pengangkutan negara, dengan penekanan terhadap pematuhan undang-undang, kesedaran pemanduan berhemah, serta infrastruktur jalan raya yang lebih selamat. Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan berulangnya insiden sedih sebegini pada masa akan datang.

Menteri Besar Perak Menangis Ziarahi Waris Pelajar UPSI Yang Terkorban Dalam Nahas

Menteri Besar Perak Menangis Ziarahi Waris Pelajar UPSI Yang Terkorban Dalam Nahas

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata ketika menziarahi waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Saarani, yang ditemui media di perkarangan hospital, menyatakan beliau turut merasai kesedihan mendalam keluarga pelajar terbabit dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.

Beliau turut sempat berbincang dan bertanya khabar beberapa waris yang hadir bagi proses pengecaman jenazah.

“Kepada mangsa yang masih berada di hospital untuk tujuan penyembuhan, sama ada kritikal atau tidak, kita doakan mereka mendapat kesembuhan dan cepat pulih agar dapat meneruskan pengajian di UPSI,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh perasaan keluarga yang kehilangan ahli terdekat.

“Kepada kaum keluarga yang lain, saya yakin peristiwa sedih ini memberi kesan mendalam. Pihak UPSI telah menyediakan khidmat kaunseling. Kita harap mereka dapat menerima hakikat ini dan reda sebagai takdir Allah,” katanya.

Saarani turut mengumumkan kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan RM1,000 kepada setiap waris pelajar bagi kos perbelanjaan dan penginapan sepanjang pengurusan jenazah.

“Kerajaan negeri sedia membantu segala keperluan. Saya juga telah meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan khemah sebagai tempat berteduh, selain makanan bungkus untuk waris dan kakitangan forensik,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan UPSI menyediakan kenderaan jenazah jika proses bedah siasat sudah selesai.

“Terima kasih kepada Ketua Polis Negeri yang akan menguruskan kemudahan trafik bagi memastikan jenazah selamat dibawa pulang dan dikebumikan di kampung masing-masing,” tambahnya.

Kejadian nahas pagi tadi mengorbankan beberapa pelajar UPSI dan ada yang masih kritikal. Operasi bantuan dan siasatan masih diteruskan pihak berkuasa.

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Santuni Waris Mangsa Kemalangan Pelajar UPSI

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Santuni Waris Mangsa Kemalangan Pelajar UPSI

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, telah menzahirkan rasa prihatin dan kasih sayang dengan berkenan menyantuni waris mangsa kemalangan tragis yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kejadian menyayat hati itu berlaku di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, pada awal pagi kelmarin.

Baginda berdua hadir ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini bagi menyampaikan sokongan moral dan bantuan kepada keluarga mangsa yang sedang berduka. Kehadiran pasangan diraja itu menggambarkan betapa eratnya hubungan antara rakyat dan istana, terutamanya dalam saat-saat getir sebegini.

Kemahami kesakitan yang ditanggung oleh waris mangsa, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim turut menitipkan pesan agar keluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Tindakan penuh hikmah baginda ini bukan sahaja meringankan beban emosi keluarga, malah menjadi sumber kekuatan buat mereka yang terkesan.

Kemalangan tersebut telah mengejutkan masyarakat setempat, dan kedatangan pasangan diraja ke hospital jelas menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat. Semoga keluarga mangsa diberi ketabahan, dan roh mangsa dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa.

Dengan ini, sekali lagi terpancarlah sinar kepimpinan yang penuh belas kasihan daripada Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim, yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat di hati.

Sumber berita dan gambar dari Bernama

Setem-Setem Malaya Negeri Perak: Cebisan Sejarah dalam Sekeping Kertas

Dalam dunia moden yang serba digital, mungkin ramai menganggap setem hanyalah helaian kecil yang kian dilupakan. Namun, bagi para penggemar sejarah dan filateli, sekeping setem mampu menyimpan cerita yang jauh lebih besar daripada saiznya. Ia menjadi saksi bisu kepada perubahan zaman, lambang identiti, dan bukti kesinambungan budaya. Salah satu koleksi yang mencuri perhatian ialah setem-setem Malaya dari Negeri Perak yang dikeluarkan menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.

Lebih Daripada Alat Bayaran Pos

Setem bukan sekadar alat penghantaran surat. Ia membawa bersama naratif tentang siapa kita, dari mana asal kita, dan ke mana arah tuju negara. Siri setem Motif Tempatan dikeluarkan pada tahun 1957 bagi semua negeri di Perseketuan Tanah Melayu termasuk Negeri-Negeri Selat dan menurut catatan rekod, setem siri ini bagi Negeri Perak telah dikeluarkan pada 21 Ogos 1957, hanya 10 hari sebelum Tanah Melayu Merdeka, merupakan antara usaha membina identiti nasional di bawah nama “Malaya”.

Walaupun motif-motif yang digunakan bersifat umum bagi semua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, setem Negeri Perak tetap unik kerana menampilkan potret DYMM Paduka Seri Sultan Yussuf Izzudin Shah, Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan pada ketika itu yang juga merupakan nenda kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Simbolisme Dalam Rekaan Setem

Reka bentuk dan percetakan setem dilakukan oleh Syarikat De La Rue di United Kingdom, yang terkenal dengan kepakaran mencetak wang kertas dan dokumen keselamatan dan masih wujud sehingga ke hari ini. Setiap nilai setem membawa imej yang melambangkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat:

1 Cent – Industri Kelapa (Kopra)

Kawasan seperti Bagan Datoh di Perak terkenal dengan penanaman kelapa secara komersial – antara nadi ekonomi tempatan.

2 Cents – Industri Nanas

Walaupun bukan tanaman utama di Perak, nanas adalah komoditi penting dalam perdagangan Tanah Melayu.

4 Cents – Kerbau Membajak Sawah

Simbol peranan utama kerbau dalam penanaman padi dan kehidupan desa.

5 Cents – Masjid

Melambangkan Islam sebagai agama rasmi dan kepercayaan majoriti penduduk.

8 Cents – Laluan Keretapi Pantai Timur

Simbol kejayaan pembangunan infrastruktur rel di Tanah Melayu.

10 Cents – Harimau Malaya

Lambang keberanian dan identiti negara.

20 Cents – Bot Nelayan

Menggambarkan industri perikanan sebagai sumber rezeki komuniti pesisir pantai.

50 Cents – Orang Asli dan Sumpit

Memberi penghargaan kepada budaya dan komuniti Orang Asli tempatan.

$1 – Bangunan Sekretariat

Kini dikenali sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad, simbol pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu.

$2 – Seni Silat

Menonjolkan silat sebagai warisan seni mempertahankan diri yang penting dalam budaya Melayu.

$5 – Industri Tenun (Songket)

Memartabatkan seni tenunan tradisional sebagai warisan budaya yang bernilai tinggi.

Setem sebagai Naratif Sejarah

Menariknya kini, walaupun setem-setem siri ini bagi Negeri Perak mudah didapati dan mempunyai nilai pasaran yang rendah dalam dunia filateli (kerana jumlah cetakan yang besar), ia tetap menyimpan nilai sejarah yang tinggi kerana ia menjadi bukti bahawa Negeri Perak ketika itu merupakan antara negeri paling maju dalam Persekutuan Tanah Melayu, dan pencetakan setem yang banyak mencerminkan kekuatan ekonomi negeri Perak.

Penggunaan perkataan “MALAYA” pada setiap setem juga bukan sesuatu yang remeh. Ia membawa makna naratif besar untuk menyatukan negeri-negeri di bawah satu bendera – menuju kemerdekaan yang berdaulat.

Akhir Kata: Warisan Dalam Sekeping Setem

Setem-setem ini ibarat jendela kecil ke masa lampau, memperlihatkan bagaimana sebuah negara yang masih dalam proses mencari dirinya telah menggunakan sekeping kertas kecil untuk menyuarakan identiti, sejarah dan harapan masa depan. Bagi pengumpul dan pencinta sejarah, ia bukan hanya koleksi, tetapi dokumen hidup yang merakam perjalanan bangsa.

Jadi lain kali jika anda terlihat sekeping setem lama, jangan anggap ia sekadar hiasan. Barangkali, anda sedang memegang sebahagian daripada warisan negara.

Ada Yang Mengajar Rakan Mengucap Meskipun Tahu Sudah Meninggal Dunia, Saksi Kemalangan Penuntut UPSI

Ada Yang Mengajar Rakan Mengucap Meskipun Tahu Sudah Meninggal Dunia, Saksi Kemalangan Penuntut UPSI

Keadaan huru-hara dan penuh kesedihan menyelubungi lokasi kemalangan maut di Lebuhraya Gerik-Jeli berdekatan Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi. Sebanyak 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban, manakala tujuh lagi cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam perjalanan pulang ke kampus.

Razali, 45, seorang penduduk Jeli yang tiba di lokasi kejadian, berkongsi detik-detik menyayat hati yang disaksikannya. Menurutnya, dia segera bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat berita kemalangan, pada mulanya menyangka insiden itu berlaku di Kelantan.

“Saya tiba sekitar jam 1.50 pagi. Pasukan bomba dan ambulans sudah berada di sana, tetapi pemandangan di depan mata sungguh memilukan,” katanya dengan suara sebak.

“Ada yang masih tersepit dalam besi buruk, ada yang menangis menjerit meminta pertolongan kerana kesakitan. Yang paling mengharukan, beberapa pelajar tidak berputus asa membimbing rakan mereka mengucap dua kalimah syahadah, walaupun menyedari rakan itu sudah tidak bernyawa,” tambah Razali.

Mangsa yang terkorban disusun dengan penuh hormat, sementara pasukan perubatan berusaha memberikan rawatan kecemasan kepada yang cedera. Dalam keadaan cemas, anggota bomba terpaksa memotong badan bas untuk mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.

“Saya turut membantu sebaik mungkin sebelum pulang ke Jeli kira-kira jam 3 pagi,” ujar Razali.

Kejadian menyedihkan ini berlaku kira-kira jam 1 pagi, ketika bas membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan pulang ke universiti. Sehingga kini, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan duka mendalam buat keluarga mangsa, tetapi juga menggemparkan masyarakat, khususnya warga UPSI yang kehilangan anak didik mereka dalam keadaan begitu menyakitkan.

Sumber asal Berita Harian

Salam Takziah Buat Keluarga Mangsa Tragedi Bas Penumpang Penuntut UPSI

Salam Takziah Buat Keluarga Mangsa Tragedi Bas Penumpang Penuntut UPSI

Dengan penuh rasa duka, kami di Orang Perak merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa tragedi meruntun jiwa di Jalan Jeli-Gerik yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI.

Dalam tragedi yang berlaku pada jam 1 pagi, 9 Jun 2025 hari ini, bas yang membawa 48 orang penumpang yang kebanyakkannya merupakan penuntut UPSI telah terlibat dalam nahas jalan raya yang menyebabkan 13 orang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat, ditempatkan bersama para solehin, serta diberikan ketenangan di sisi Ilahi. Kepada ahli keluarga yang ditinggalkan, semoga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.

Kami turut mendoakan agar mangsa yang cedera cepat pulih, dan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama berkongsi kesedihan di saat getir ini.

Al-Fatihah