26.6 C
Ipoh
Sunday, 18 May 2025

Masjid Jamek Ar-Ridzuan: Derma Jumaat Seluruh Perak Diguna Tebus Tanah

- Advertisement -
- Advertisement -

Kerajaan Negeri Perak telah mengambil inisiatif penting bagi menyelamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai, daripada kehilangan sebahagian tanahnya selepas ia dijual oleh waris pewakaf kepada pemilik bukan Islam.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri akan digunakan untuk membeli semula tanah bernilai RM1.8 juta tersebut, yang kini dituntut oleh pemilik sah berbangsa Cina.

“Masjid Jamek Ar-Ridzuan didirikan di atas tanah wakaf tetapi cucu pewakaf tersebut telah menjual bahagian tanah itu kepada seorang Cina. Maka ia didaftarkan hak milik kepada pembeli berkenaan dan dia menuntut tanah itu,” ujar beliau.

“Kalau tuntutan tidak dipenuhi, maknanya masjid itu kena roboh sebahagian daripadanya. Malulah umat Islam di Perak ini, malulah exco agama Islam di Perak ini.”

Sejarah Pembinaan Masjid Jamek Ar-Ridzuan

Masjid Jamek Ar-Ridzuan dibina pada tahun 1931, hasil sumbangan wang daripada penduduk kampung. Pada awal pembinaannya, masjid ini hanya mampu menampung sekitar 200 jemaah, sejajar dengan jumlah penduduk ketika itu. Tapak asalnya merupakan ladang kelapa sawit yang telah diwakafkan oleh pengusahanya, dan masjid ini telah dirasmikan oleh Haji Yunus bin Haji Alias, Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai. Sebelum itu, penduduk hanya berjemaah di sebuah surau berhampiran kawasan kediaman.

Kos pembinaan asal dianggarkan sekitar RM64,000, hasil daripada kutipan derma serta sokongan masyarakat setempat. Masjid ini telah melalui beberapa proses pengubahsuaian penting. Ruang tambahan pertama dibina pada tahun 1998 di bahagian sisi bangunan utama, dan majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera Dato’ Sri Mohd Zulkifli Kushairi, mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Ruang tambahan ini turut diiktiraf sebagai sebahagian kawasan sah untuk beriktikaf.

Pertambahan populasi mula berlaku apabila ramai penduduk, terutamanya dari negeri Kedah, berhijrah ke Alor Pongsu untuk meneroka tanah terbiar. Keadaan ini menyebabkan ruang solat yang sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang kian meningkat.

Usaha meluaskan ruang solat diteruskan dari semasa ke semasa, terutamanya selepas pembukaan beberapa taman perumahan baharu seperti Taman Sri Pongsu, Taman Pongsu Melati, Taman Pongsu Mawar, dan Taman Pongsu Teratai.

Selain itu, pembukaan Tol Alor Pongsu turut menjadikan Masjid Jamek Ar-Ridzuan sebagai lokasi persinggahan utama bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, khususnya bagi menunaikan solat fardu Jumaat.

Kutipan Derma Jumaat Seluruh Perak Diguna Untuk Tebus Tanah

Dalam Majlis Pelancaran Kitab Bacaan bagi masjid dan surau di seluruh negeri baru-baru ini, Saarani menjelaskan bahawa beliau telah berbincang bersama Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim, Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini, serta CEO MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh mengenai hal ini.

Menurut maklumat yang diterima daripada MAIPk, kutipan derma solat Jumaat di seluruh negeri Perak dianggarkan mencecah RM5 juta hingga RM7 juta sebulan, iaitu sekitar RM1 juta seminggu.

“Sudilah apa kiranya nak tunjukkan solidariti umat Islam di Perak ini, supaya wang tersebut, sebahagian daripadanya insya-Allah digunakan untuk menebus tanah itu yang katanya berjumlah RM1.8 juta,” ujar Saarani.

Sebagai langkah rasmi, JAIPk telah mengeluarkan surat pemakluman kepada semua masjid dan surau di negeri Perak untuk memaklumkan penggunaan kutipan derma ini demi tujuan penyelamatan tanah masjid berkenaan.

Solidariti Umat Islam Perak Diperlukan

Saarani menekankan bahawa amat malang dan memalukan sekiranya sebuah masjid yang menjadi pusat ibadah umat Islam perlu dirobohkan hanya kerana tuntutan hak milik oleh bukan Islam.

“Sangat malang kepada kita kalau kita biarkan, apatah lagi kalau kita robohkan masjid itu hanya kerana tuntutan daripada orang bukan Islam kerana tanah itu telah dimiliki dia,” katanya.

Nama Bank: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
Nombor Akaun: 08013010091983
Nama Akaun: Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan

Tarikh kutipan derma disyorkan adalah 9 Mei 2025 (Jumaat) dan 16 Mei 2025 (Jumaat).

Penutup

Masjid Jamek Ar-Ridzuan bukan sekadar tempat ibadah, tetapi simbol warisan dan perjuangan awal penduduk Islam di Alor Pongsu. Isu pemilikan tanah ini membuka mata ramai pihak tentang pentingnya menjaga dan memelihara amanah wakaf serta harta agama agar tidak tergadai.

Dengan sokongan solidariti umat Islam di Perak, diharapkan usaha menebus semula tanah ini akan berjaya demi kesinambungan masjid yang telah berkhidmat lebih 90 tahun kepada masyarakat.

Rujukan:

  • https://076115masjid.blogspot.com/2009/04/maklumat-ringkas-mengenai-masjid-ar.html
  • https://masjid.islam.gov.my/maklumatDetailMS/1/0807069
📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here